"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19: Kematian di AS catat rekod tertinggi 2 hari berturut-turut

Reuters
WASHINGTON:
Angka korban Covid-19 di Amerika Syarikat mencatat rekod buat hari ke-2 berturut-turut dengan sekurang-kurangnya 2,371 kematian pada Rabu yang menjadikan keseluruhannya 30,800 kes setakat ini, menurut statistik Reuters, ketika negara itu bercadang menarik balik sebahagian sekatan ke atas perniagaan dan kehidupan sosial menjelang 1 Mei ini.

AS mencatatkan kematian pertama Covid-19 pada 29 Feb lalu. Ia mengambil 38 hari untuk mencapai 10,000 kematian dan tambahan 9 hari bagi mencecah 30,000 kematian. Angka korban tertinggi sebelum ini ialah 2,364 orang pada Selasa.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 635,000 dan 2 juta kes di seluruh dunia.

Walaupun jumlah kematian meningkat, terdapat petanda sementara di sesetengah bahagian di AS yang penularan virus itu mula berkurangan.

Gabenor di kira-kira 20 negeri yang tidak mencatatkan banyak kes koronavirus percaya mereka mungkin sudah bersedia membuka semula ekonomi seperti yang disasarkan Presiden Donald Trump menjelang 1 Mei ini, kata pegawai kesihatan tertinggi pada Rabu.

Gabenor di negeri paling teruk terjejas – New York, California, Louisiana, New Jersey, Massachusetts dan Michigan – berkata terdapat keperluan untuk ujian secara meluas dijalankan.

Pegawai kesihatan mendapati jumlah kematian adalah petunjuk susulan penularan virus itu dan tidak bermakna sekatan keluar rumah gagal menghalang penyebaran Covid-19.

New York dan kawasan lain yang teruk terjejas akibat Covid-19 melaporkan penurunan mendadak dari segi jumlah pesakit dimasukkan ke hospital dan memerlukan ventilator, walaupun sumber dan kakitangan kesihatan barisan depan masih menghadapi tekanan luar biasa.

Pegawai kesihatan turut berwaspada terhadap jumlah kematian berkaitan koronavirus mungkin tidak dikira dengan betul kerana ada pesakit meninggal dunia di rumah atau pusat jagaan orang tua yang tidak pernah menjalani ujian saringan virus itu.

Tiada ulasan: