"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR pecat Adun Rembia dan Naib ketua AMK

Ramieza Wahid

Dua pemimpin PKR memberitahu menerima surat pemecatan keanggotaan mereka daripada parti pembangkang itu.

Naib Ketua AMK Mohd Nazree Mohd Yunus dan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis berkata telah menerima surat pemecatan mereka yang ditandatangani Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution Ismail.

Jailani ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat pemecatan itu, berkata beliau telah menerima dua pucuk surat tetapi surat yang pertama mempunyai masalah tarikh.

Bagaimanapun semalam beliau telah mendapat surat kedua dengan perubahan tarikh.

“Surat asal memang ada kesilapan tarikh dan dia jadi tular, lepas tular, semalam saya terima surat kedua.

“Isi lebih kurang sama cuma pertukaran tarikh. Saya juga tak ingat tarikh yang tertera di surat itu tetapi saya terima semalam lah,” katanya yang enggan mengulas lanjut berkenaan surat tersebut.

Menurut surat pertama pemecatan Jailani yang dilihat Malaysiakini, tarikh pada surat berkenaan adalah pada 16 Mac lalu.

Surat itu menyatakan antara sebab Jailani dipecat kerana beliau telah menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), menghadiri perjumpaan bersama gabungan parti tersebut dan menjadi anggota pentadbiran kerajaan Melaka pada 13 Mac di bawah PN yang diketuai Sulaiman Md Ali dari Umno.

Pada 4 Mac lalu, Jailani menegaskan beliau masih ahli PKR kerana tidak pernah mengisytiharkan keluar parti walaupun sudah menyatakan sokongan secara terbuka kepada PN, petik laporan BH Online.

Sementara itu, memetik laporan The Star, Mohd Nazree menjelaskan bahawa beliau terkejut mendapat surat tersebut.

“Saya terkejut dengan surat itu, saya tak sangka ia akan terjadi kepada saya,” katanya.

Untuk rekod, Nazree merupakan penyokong kuat bekas timbalan ketua AMK Hilman Idham.

Hilman merupakan setiausaha politik kepada bekas timbalan presiden PKR Mohammed Azmin Ali, kedua-duanya sudah dipecat daripada parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution turut menjelaskan bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media secepat mungkin susulan perkara tersebut.

Tiada ulasan: