"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Mahathir dan Mukhriz tidak dipanggil mesyuarat MPT Bersatu

ARIF ATAN
Bersatu difahamkan tidak memanggil pengerusi dan timbalan presiden parti untuk Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dijadualkan berlangsung esok.

Mengikut notis yang diedarkan panggilan mesyuarat bermula dengan Presiden diikuti dua Naib Presiden, Ketua Srikandi, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) seterusnya pemimpin tertinggi lain.

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mendakwa beliau masih Pengerusi parti itu, namun mengakui Bersatu sudah terbahagi dua.

Sementara itu, anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Notis daripada Setiausaha Kerja Bersatu, Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya itu memaklumkan mesyuarat jam 12 tengah hari tersebut berlangsung di Dewan Utama, Pertubuhan Alumni Universiti Malaya (PAUM).

“Kehadiran semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi adalah amat diperlukan, dan saya hargai,” katanya dengan ungkapan “amat diperlukan” dihurufbesarkan.

Pada 24 Februari lalu, Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli MPT.

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu mengumumkan memangku jawatan Pengerusi parti pada 29 Februari lalu.

Pemilihan Bersatu yang dijadualkan pada Jun depan menyaksikan Muhyiddin dicabar Mukhriz dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Cheras, Mohd Faiz Azleesham bagi jawatan Presiden parti.

Pertandingan jawatan Timbalan Presiden membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung parti, Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada, Anas Akashah Nazri.

Seramai 15 orang menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden dan 168 bagi jawatan MPT pada pemilihan depan.

Tiada ulasan: