"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Kesihatan diminta jelaskan kenapa kliniknya terlibat dengan kontrak RM30 juta

MALAYSIA DATELINE
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba menjelaskan sama ada beliau terlibat dalam skandal perolehan bernilai RM30 juta yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut C4, carian di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan terdapat hubung kait antara pemegang saham dengan syarikat yang menawarkan kontrak dengan syarikat lain yang mempunyai saham di klinik swasta milik Adham, Klinik Adham.

“C4 menuntut Adham memberikan penjelasan penuh demi kepentingan umum mengenai kontrak perolehan dan juga pelantikan kontraktor.

“Memandangkan krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya, meletakkan sistem penjagaan kesihatan, keselamatan dan ekonomi di bawah tekanan yang sangat besar, sangat penting bahawa ketelusan dan kebertanggungjawapan terus menjadi intipati bagi tindak balas terhadap dasar negara,” katanya dipetik The Malaysian Insight.

SPRM sedang menyiasat lima syarikat yang dilantik secara langsung oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membekalkan peralatan ujian berkaitan Covid-19.

“Apakah Adham Baba menggunakan kawalan atau pengaruh bagi urusan berkaitan kementerian yang diterajuinya, khususnya pemilihan kontraktor?

“Apakah Adham menyalahgunakan kedudukannya dengan membuat keputusan dengan cara yang akan memberikan keuntungan peribadi dan pilih kasih terhadap rakan perniagaannya?”soal C4 dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, lima kontraktor dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan melibatkan kontrak yang dipercayai bernilai sekurang-kurangnya RM30 juta.

Kontrak tersebut merangkumi pembelian alat ujian Covid-19, peralatan pelindung diri dan topeng muka.

Siasatan itu dibuat selepas bekas ahli Parlimen Wee Choo Kiong mendakwa sebuah syarikat yang menerima kontrak membayar “wang pendahuluan yang banyak” dan tidak memenuhi syarat.

Tiada ulasan: