"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jadi bahan jenaka jika ‘kluster mahkamah’ dilantik timbalan speaker, kata pembangkang Perak

FMT Reporters

Abdul Aziz Bari berkata, Ahmad Maslan perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang penting di Parlimen.

PETALING JAYA: Kemuliaan dan ketinggian Parlimen sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya “kluster mahkamah” dilantik sebagai timbalan speaker, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan akan dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Katanya, Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Jan tahun lalu.

“Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Umno Azalina Othman Said meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau mengundurkan diri bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan, beliau menegaskan keperluan Dewan Rakyat berfungsi sebagai “forum persaingan profesional dan kerjasama antara parti mengenai polisi dan urus tadbir negara”.

Sementara itu, Aziz berkata, di Parlimen masih ramai calon lain yang sesuai untuk jawatan itu dan melantik seorang yang masih terpalit dengan ‘kluster mahkamah’ akan menjadikan Parlimen “bahan jenaka” di dalam dan luar negara.

“Dalam keghairahan Umno ‘memberi imbuhan’ kepada pimpinan mereka dengan jawatan dalam kerajaan, mereka secara bersahaja dan sengaja membelakangkan bukan sahaja kepentingan rakyat malah mengabaikan teguran dan pesanan Raja-raja Melayu yang mahukan kerajaan baharu ini bersih daripada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

Aziz berkata, pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekarang tidak serius dalam melakukan reformasi institusi yang dilaungkan.

“Melihat kepada cadangan ini nampaknya reformasi yang dilaungkan itu hanyalah retorik politik dan sekadar meneruskan budaya pimpinan kerajaan sebelumnya,” tambahnya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada FMT Ahmad meminta rujukan dibuat kepada Pejabat Speaker dan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berhubung khabar angin mengenai pelantikannya.

“Sila rujuk Pejabat Speaker dan Timbalan YB Rashid. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

Tiada ulasan: