Malaysiakini
Bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari dilantik naib presiden Amanah yang baru, menurut kenyataan oleh Presidennya, Mohamad Sabu.
Mohamad berkata pelantikan tersebut sebagai menggantikan jawatan yang dikosongkan oleh Husam Musa sebelum ini.
“Perlantikan Adly selaras dengan aspirasi Amanah untuk menampilkan lebih ramai pemimpin pelapis untuk menerajui kepimpinan parti dan negara di masa hadapan.
“Selaras dengan matlamat ini juga, Amanah telah melantik Izham Hashim, 59, Pengerusi Amanah Selangor sebagai bendahari agung Amanah menggantikan Adly.
“Kami yakin perlantikan ini akan mengukuhkan lagi imej Amanah sebagai parti yang membawa mesej 'Rahmatan lil alamin' di kalangan masyarakat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Adly yang juga Adun Bukit Katil merupakan pengerusi Amanah Melaka.
Pada 14 September tahun lalu, Amanah mengesahkan Husam telah melepaskan jawatan sebagai naib presiden parti.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa tindakannya itu berpunca akibat pergeseran dengan presiden parti.
Bagaimanapun, Husam menafikan dakwaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan