"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kita cepat hilang sabar, cepat koyak’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengakui adanya persengketaan antara Pas dan Umno yang dianggapnya mewakili parti besar umat Islam di negara ini.

Menurutnya, wujud sifat berjiwa besar hendak menyatukan umat Islam di Palestin supaya mengambil semula Al Quds sebaliknya tidak dalam mengurus hubungan kedua-dua parti tersebut dalam negara sendiri.

“Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yemen, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

“Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan Pas dan Umno saja pun.

“Kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Tulisan Nasrudin itu muncul ketika hubungan Pas dan Umno dilihat semakin dingin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Semangat Muafakat Nasional (MN) dilihat luntur apabila BN Johor mahu berseorangan dengan bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN tanpa kerjasama parti lain.

Malah, BN Johor yang kini menguasai 16 kerusi DUN yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi yang dipertandingkan ketika Pas sekarang hanya mempunyai satu kerusi DUN.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, dia melihat Pas dan Umno banyak menghabiskan masa bergaduh dalam perkara yang tidak perlu hanya demi mencari ‘kepuasan hati’.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, Pas dan Umno banyak melayani karenah pihak yang anti perpaduan kedua-dua parti itu hingga terpedaya dengan provokasi licik agen perpecahan.

“Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan.

“Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, cepat koyak dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

“Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. Sikit-sikit gaduh. Kebanyakannya kerana ‘react’ dari kenyataan media,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: