"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Johor: ‘Belum bincang dah tuduh kita tolak tawaran, tak patut!’ PAS bidas Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tuduhan PAS menolak tawaran empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan oleh Umno kepada parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dibuat kerana belum ada perbincangan mengenai agihan kerusi antara kedua-dua parti.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata sehingga kini, belum ada perbincangan dibuat bersama Umno Johor mengenai pengagihan kerusi apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

“Kenyataan ini merujuk kepada video yang tular di mana Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad mempersoalkan kejujuran PAS dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada Umno dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

“Sebagai rakan dalam Muafakat MN, PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain Hasni, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed turut mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan PAS sebagai “tamak” kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi berbanding tawaran empat kerusi diberikan parti itu untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Nur Jazlan dalam laporan FMT sebelum ini berkata, PAS sepatutnya perlu menyedari kemampuan mereka sebelum meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi di negeri itu.

Justeru, Abdullah berkata, PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan salah faham di samping ia dapat mengelakkan andaian dan laporan mengelirukan di media sosial.

Pada masa sama, Abdullah juga menafikan parti itu menyokong calon Berjasa ketika pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai bahkan seluruh jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA ketika itu.

Tiada ulasan: