"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasib Zuraida, pengikut dalam PBM diketahui lusa

Malaysiakini 

Zuraida Kamaruddin dan beberapa ahli politik yang dekat dengan bekas naib presiden PKR itu mungkin sedang menghitung hari untuk kekal bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Hal itu kerana menurut presiden parti itu, Larry Sng, mereka hanya mempunyai masa sehingga Isnin ini untuk memberi respon kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan awal minggu ini.

Kata Sgn, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Zuraida serta sejumlah individu lain - yang kini digantung keahliannya - dipecat serta-merta.

Menurut ahli parlimen Julau itu, Majlis Tertinggi PBM mengadakan mesyuarat pada minggu lalu namun Zuraida dan beberapa pemimpin lain tidak hadir.

“Saya telah hantar surat tunjuk sebab (kepada mereka) pada Isnin lalu kepada Zuraida dan mereka yang lain yang masih digantung keahlian.

“Jika mereka gagal untuk membalas surat saya hantar secara bertulis dalam masa se­minggu ini, mereka akan di­singkirkan daripada parti," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Zuraida merupakan pemimpin kanan PKR yang memenangi kerusi parlimen Ampang sejak 2008 sehingga 2018. Dia merupakan seorang daripada 11 ahli parlimen parti itu yang berpaling tadah menjadi wakil rakyat bebas pada akhir Feb 2020 dan membawa kepada jatuhkan kerajaan PH.

Mereka kemudian menjadi ahli Bersatu dan menyertai kerajaan semula sebagai anggota PN.

Bagaimanapun sebahagian daripada bekas pemimpin PKR berkenaan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Turut bertindak menganggotai PBM ialah Adun Selangor seperti Haniza Mohamed Talha dan Dr Daroyah.

Biar parti tentukan

Bagaimanapun berlaku pergolakan dalaman pada PBM khususnya mengenai cadangan peralihan kepimpinan yang diuar-uarkan bakal diserahkan oleh Sng kepada Zuraida.

Menurut Sng, dalam mesyuarat PBM baru-baru ini, mereka bersetuju supaya penggantungan jawatan dua ahli majlis tertinggi parti yang dibatalkan.

Mereka ialah Chua Liam Chye dan Mira Muniraa Abu Bakar.

Selain Chua dan Mira Munira, individu yang masih digantung ialah Zuraida sendiri, Haniza, Daroyah, Rahimah Majid, Dr G Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Sebelum itu, PBM turut menggantung setiausaha agung­nya, Nor Hizwan Ahmad dan ketua penerangan, Zakaria Abdul Hamid. Kedua-dua mereka merupakan tokoh yang dekat dengan Zuraida.

Dalam PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov lalu, Zuraida cuba mempertahankan kerusi Ampang sebagai calon PBM namun dia bukan saja gagal, malah kehilangan deposit kerana hanya mendapat 4,589 undi.

Calon PH, Rodziah Ismail, pula memperoleh 56,754 undi. Pencabar terdekat Rodziah ialah calon PN, Sasha Lyna Abdul Latif, yang mendapat 27,073 undi.

Sementara itu ditanya mengenai peralihan kuasa kepada Zuraida seperti yang dinyatakan sebelum ini, Sng berkata, dia menyerahkan isu tersebut kepada parti.

“Biar jawatankuasa tatatertib tentukan nasib dan keahlian Zuraida,” katanya.

Untuk rekod Sng sendiri merupakan bekas pemimpin PKR dan dia memenangi kerusi Julau pada 2018 sebagai calon PH. Dia meninggalkan parti tersebut secara rasmi pada 28 Feb tahun lalu.

Tiada ulasan: