AMIRUL AZHAN
Ahli Parlimen Ledang, YB Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan cadangan pembelian kereta mewah untuk kegunaan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada waktu itu sebagai tidak wajar dan keterlaluan, ketika negara dihimpit wabak Covid-19.
Katanya, rakyat tidak boleh menerima apabila seorang Perdana Menteri sanggup untuk membeli kereta mewah berharga jutaan ringgit dalam keadaan di negara ini merana dalam meneruskan kehidupan.
“Tan Sri (Muhyiddin) sendiri sebut nak tumpu pada isu rakyat semasa negara berhadapan dengan Covid-19 tapi tindakannya tidak selari dengan apa yang diperkatakannya.
“Sebagai pemimpin negara apa yang dicakap kena selari dengan apa yang dilakukan tapi nampaknya beliau lebih berminat untuk berkereta baru,” katanya kepada Malaysia Dateline.
November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah membatalkan pembelian Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi dan katanya tempahan dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu.
Menurut Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad melalui hantaran di Facebook miliknya antara lain berkata:
“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan.”
Dalam masa sama, Syed Ibrahim turut mengingatkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat untuk mencontohi sikap Perdana Menteri yang bersederhana dalam isu penggunaan kereta.
“Faham kedudukan dan imej sebagai seorang pemimpin tetapi kena beringatlah tidak terlalu mewah, kenderaan yang selesa dan bersesuaian pun sudah memadai.
“Eloklah dengan mencontohi sikap PM (Anwar) di mana-mana peringkat sekalipun, pakai apa sahaja yang sudah tersedia untuknya,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan