FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap tuduhan dalam persediaan menghasilkan suatu bahan pornografi kanak-kanak perempuan dan amang seksual, tiga tahun lalu.
Goh Heng Hong, 67, yang masih bujang dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan van sekolah didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu bahan pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.
Menurut Harian Metro, perbuatan dilakukan dalam van sekolah antara Mac hingga Julai 2019, di Johor Bahru dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan tidak kurang lima sebatan, jika sabit kesalahan.
Goh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu dalam van sekolah, antara Mei hingga Jun 2019.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta 792 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwaan memohon mahkamah tidak memberikan ikat jamin mengambil kira tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah di laluan sama dengan mangsa.
Namun, Danial menawarkan jaminan RM35,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah membenarkan ikat jamin.
Tertuduh merayu diberi jaminan yang dikurangkan kepada RM1,000, sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kamal juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa dan keluarga.
Kes disebut semula pada 25 Jan tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan