"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ashabul Kahfi Nasrani atau Kristian?

HarapanDaily.com

Isu Ashabul Kahfi ini telah dijadikan isu politik untuk menyerang pihak yang berbeza sehingga lahir tuduh menuduh sebagai sesat dan sebagainya.

Apabila menjadi isu politik, nilai ilmu telah dikesampingkan dan kalam serta tulisan ulama Islam tidak menjadi rujukan tetapi emosi dan sentimen menjadi landasan dan disebarkan pula di kalangan mereka yang kurang pengetahuan agamanya bagi mencipta persepsi.

Ashabul Kahfi hidup di zaman sebelum kedatangan Rasulullah dan ceritanya diketahui oleh masyarakat jahiliyah, penganut agama Yahudi dan Nasrani atau Kristian di zaman Rasulullah. Maka datang al-Quran menjelaskan cerita yang sebenar setelah dicabar oleh Musyrikun Quraisy: “Kami ceritakan kisah mereka dengan sebenar” lalu Al-Quran dengan jelas menyebut mereka adalah “pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka”.

Para ulama tafsir berbeza pendapat apa agama Ashabul Kahfi yang beriman dengan Allah ketika itu sama ada Nasrani atau sebelum agama Nasrani.

Imam Tabari (hidup 224-310 H) menukilkan beberapa riwayat mereka adalah “muslim di atas agama Isa yang berhadapan dengan raja penyembah berhala yang menyeru mereka menyembah berhala”.

Ibnu Kathir (hidup 701-774 H) pula cenderong pada “mereka pemuda sebelum agama Nasrani (kristian).”

Kata Ibnu Kathir:

وقد ذكر أنهم كانوا على دين عيسى ابن مريم ، عليه السلام ، والله أعلم – والظاهر أنهم كانوا قبل ملة النصرانية بالكلية ، فإنه لو كانوا على دين النصرانية ؛ لما اعتنى أحبار اليهود بحفظ خبرهم وأمرهم ؛

“Disebut bahawa mereka memeluk agama Isa bin Maryam. Yang jelas mereka sebelum agama Nasrani kerana jika mereka beragama Nasrani tentulah pendita-pendita Yahudi tidak menyimpan berita dan hal mereka”

Kesimpulannya, sebahagian ulamak berpendapat Ashabul Kahfi beragama Nasrani – yang hari ini juga dipanggil Kristian – yang beriman dengan Allah.

Persoalan yang barangkali menimbulkan kekeliruan ialah:

“Adakah Ashabul Kahfi beragama Nasrani Kristian sepertimana Nasrani Kristian pada hari ini atau seperti Nasrani Kristian pada zaman Rasulullah yang mempercayai aqidah triniti melibatkan Tuhan yang merupakan satu kesyirikan yang ditegur oleh Rasulullah pada awal Islam ?”

Jawapannya tentu tidak kerana al-Quran menyebut mereka “beriman dengan Tuhan mereka” dalam konteks mereka meng-Esakan Allah dan menolak penyembahan patung berhala sebagaimana huraian ulama tafsir.

Justeru, Ashabul Kahfi adalah Nasrani atau Kristian yang mentauhidkan Allah sebagaimana ajaran Isa a.s.

Sebelum kedatangan Rasulullah, agama yang dibawa oleh Isa adalah Islam yang mentauhidkan Allah. Selepas Isa, penyelewengan aqidah berlaku dan agama itu dinamakan Nasrani. al-Quran pula mengekalkan istilah Nasrani merujuk kepada agama mereka yang bersumberkan Injil lalu mereka dikira sebagai Ahlu Kitab.

Kisah Ashabul Kahfi turut disebut oleh sejarawan dan paderi agama Nasrani seperti Sa’id bin Batrik selaku Batrik Gereja Iskandariah, Mesir (meninggal 328 H). Menurut beliau peristiwa ini berlaku pada zaman Raja Dakius yang memaksa rakyat menyembah berhala.

Ashabul Kahfi bangkit dari tidur mereka selepas 300 tahun masehi pada zaman Raja Agong Theodosius, raja empayar Roman yang memerintah tahun 379-395 masehi. Di saat itu agama Nasrani telah berkembang.

Menariknya, penganut agama Nasrani atau Kristian pada zaman Nabi sehingga ke hari ini dalam keadaan mereka beraqidah dengan Aqidah Triniti yang mensyirikkan Allah dibenarkan oleh Islam untuk dimakan sembelihan mereka dan dikahwini wanita-wanita mereka tanpa perlu mereka memeluk Islam sebagaimana firman Allah

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ ۖ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

“Pada hari ini dihalalkan untuk kamu perkara-perkara yang baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab halal bagi kamu dan makanan kamu halal bagi mereka dan (dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang terpelihara di kalangan wanita beriman dan wanita-wanita terpelihara di kalangan orang-orang yang diberikan Kitab…”( Surah al-Maidah:5)

Ahlul Kitab dalam ayat di atas disepakati oleh Ulamak Islam ia merujuk kepada Nasrani Kristian dan Yahudi pada zaman Nabi sehingga ke zaman kita ini.

Kesimpulannya ialah:

i. menyebut Ashabul Kahfi sebagai Nasrani atau Kristian adalah selari dengan huraian ulamak silam dan tentunya bukanlah satu kesesatan. Bezanya mereka dengan Nasrani atau Kristian di zaman Nabi dan hari ini ialah Ashabul Kahfi adalah Nasrani yang beiman dengan Agama Tauhid sebagaimana dibawa oleh Isa.

ii. Sekiranya ada yang menuduh kononnya menyebut Ashabul Kahfi sebagai Nasrani atau Kristian adalah satu kesesatan aqidah maka ia bererti menuduh para ulamak Islam seperti Tabari yang menukilkan pendapat ulama juga sebagai sesat.

—————————————————————————————————————————————————

OLEH: Khairuddin Aman Razali, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno

Tiada ulasan: