"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Laporan polis 1999 Anwar terhadap Daim kini tersebar semula

HarapanDaily.com

Laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai 1999 terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin kini tersebar semula.

Anwar ketika itu mendedahkan bahawa Daim menerima wang tunai dan saham berjumlah ratusan juta ringgit tetapi tidak dikenakan tindakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Mahathir malah terus melindungi rasuah besar yang dilakukan oleh Daim sejak menjadi Menteri Kewangan.

Menerusi laporan polis dengan rujukan 20455/99 itu, Anwar berkata, beliau turut melampirkan dokumen sah bagi membuktikan rasuah tersebut.

Bukti itu, jelas Anwar, adalah tiga pucuk surat yang masing-masing ditulis oleh tokoh korporat iaitu bekas Pengerusi Eksekutif Renong Bhd, Tan Sri Halim Saad; bekas Pengerusi Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan bekas CEO Malayan Banking Bhd, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Anwar yang ketika itu telah 10 bulan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata, Halim dalam surat pada 30 April 1990, menyatakan sebagai pemegang amanah sebanyak 52,208,500 saham Faber Merlin Bhd (saham 1.00) dan 130,000,000 saham Renong Berhad (50 sen) bagi pihak Daim.

Jelasnya, Halim mengesahkan bahawa nilai saham itu dipegang menurut arahan Daim atau penama jutawan berkenaan.

“Tan Sri Tajuddin pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 24 Mei 1990 mengesahkan bahawa beliau memegang secara amanah bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 70 juta.

“Tan Sri Wan Azmi pula, dalam surat kepada Tun Daim bertarikh 30 April 1990 mengaku memegang bagi pihak Tun Daim wang sejumlah RM 150 juta,” dipetik dari laporan polis itu.

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan jumlah itu tentunya sebahagian kecil daripada perolehan Daim yang juga bertindak bagi pihak Dr Mahathir.

“Saya menerima maklumat bahawa sebahagian besar wang tersebut adalah hasil pengagihan saham Resorts World, syarikat perjudian yang disenaraikan atas kelulusan Tun Daim sejurus sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan pada tahun 1991 dahulu,” dakwa Anwar.

Untuk rekod, Mahathir memilih Daim sebagai Menteri Kewangan pada 14 Julai 1984 dan meletak jawatan pada 15 Mac 1991.

Daim pada Oktober 2021, Daim antara nama yang didedahkan dalam Pandora Papers iaitu laporan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.

Menurut pendedahan Pandora Papers, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Sejak menjadi Ketua Pembangkang lagi, Anwar pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.

Pada Februari lalu, Anwar dilapor sudah mengarahkan dan memberi jaminan badan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan dengan cukup rapi ke atas isu Pandora Papers.

Anwar berkata, pihak terbabit tidak harus melindungi mana-mana pihak yang terbabit sebaliknya mengambil tindakan tegas selaras dengan bukti diperolehi.

Tiada ulasan: