"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Bangladesh sanggup bayar RM25,000 untuk kerja di Malaysia

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Keuntungan tinggi sehingga RM25,000 bagi seorang pekerja asing menjadi punca agensi swasta menipu jumlah permohonan diperlukan oleh sesebuah syarikat.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta (PAPSMA) Sukumaran Nair mendakwa ada ejen memohon jumlah tenaga kerja asing di luar permintaan.

“Ada situasi syarikat A hanya perlukan 10 orang tenaga asing tetapi ejen memohon 100 orang, dia hantar 10 orang kepada syarikat berkenaan dan selebihnya dia biarkan.

“Oleh kerana mereka tak ada kerja dalam sektor dijanjikan, mereka cari jalan bekerja di tempat lain,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan situasi itu mungkin berlaku kepada 171 warga Bangladesh di Pengerang, Johor yang diperdaya ejen.

“Kerajaan pun tak ada masa nak semak keperluan sebenar syarikat ini, janji mereka (agensi) dah dapat kelulusan.”

Beliau berkata ramai rakyat Bangladesh sanggup membayar ejen dengan kos tinggi kerana menganggap Malaysia sebagai “tiket” untuk merealisasikan impian hidup senang.

“Jadi, ejen dari Bangladesh akan cuba bawa masuk pekerja dari sana sebab kalau tak bawa masuk, mereka rugi.

“Mereka sanggup bayar, sebab Malaysia mereka rasakan antara negara yang bila masuk sebagai pekerja ladang tapi akhirnya (lama-lama) boleh jadi senang,” katanya.

Menurutnya, hampir 1,000 syarikat dari Bangladesh mengendalikan proses kemasukan tenaga kerja ke negara ini, namun Malaysia hanya mengiktiraf 100 syarikat yang kini didaftarkan di bawah sistem pengurusan pekerja asing bersepadu (ePPAx).

“Syarikat ini yang hisap darah..jadi tali barut, seorang (pelanggan) bayar RM20,000 hingga RM25,000, bayangkan keuntungan yang mereka dapat,” katanya.

Katanya, lambakan tenaga kerja asing juga berlaku apabila kelulusan bagi sesuatu sektor dengan jumlah kekosongan itu tidak selari.

“Mereka (ejen) buat wang, selagi ada kelulusan bawa masuk.. jadi banyak kes sekarang ini mereka dapat kelulusan daripada kerajaan tanpa benar-benar mengetahui tempat itu ada kekosongan atau tidak,” katanya.

Tahun ini, kerajaan membenarkan 500,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Tiada ulasan: