"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Koloni warga asing 'kuasai' Lembah Klang

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 30 lokasi di sekitar Lembah Klang, ketika ini dikenal pasti menjadi tumpuan koloni warga asing dari pelbagai negara.

Lembah Klang yang terkenal dengan kepesatan pembangunan dan aktiviti perniagaan di bandar-bandar utama, besar, menjadi daya tarikan utama kehadiran warga asing untuk memenuhi keperluan pekerjaan yang terbuka luas untuk golongan itu.

Permintaan tinggi tenaga kerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembersihan menjadikan warga asing alternatif terbaik bagi majikan menggajikan mereka.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang terlalu ramai memberi impak kepada penduduk tempatan apabila mereka mula membina koloni dan mula mendominasi sesuatu kawasan.

Tinjauan BH mendapati, kini beberapa kawasan sekitar Lembah Klang menjadi 'perkampungan' beberapa koloni warga asing sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Warga Indonesia yang menjadi kelompok warga asing teramai di negara ini, bertaburan di seluruh Lembah Klang dengan kebanyakannya di pusat bandar Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Ampang, Selayang, Shah Alam, Kajang, Rawang, Gombak, Puchong dan Klang.

Begitu juga dengan warga Bangladesh banyak kelihatan di Lebuh Ampang, Bukit Bintang dan Cheras Baru, manakala pelarian etnik Rohingya pula tertumpu di Ampang, Gombak dan Seri Kembangan.

Bukan setakat berani membuka perniagaan, malah koloni warga asing ini turut membina kemudahan sendiri seperti surau, kedai runcit, kedai makan dan sekolah, sekali gus membuktikan mereka sudah bertapak lama di Malaysia.

Selayang pula 'dikuasai' warga Rohingya sejak sekian lama, manakala warga China dan Korea menjadikan beberapa lokasi di Ampang, Cheras dan Kuchai Lama sebagai port mereka.

Kelompok warga Pakistan pula memilih Cheras, Puchong, Shah Alam, Seri Kembangan, Nilai dan Dengkil dengan kebanyakannya menjalankan perniagaan.

Sejak lebih 10 tahun lalu, semakin ramai warga India, Nepal, Arab dan Afrika menghuni sekitar Lembah Klang.

Apabila tiada tindakan penguatkuasaan yang berterusan dan tuntas daripada pihak berkuasa, kelompok ini mula 'naik tocang' dan besar kepala, selain memperkukuh komuniti mereka hingga digeruni penduduk tempatan.

Lambakan warga asing ini bukan sahaja menguasai lokasi strategik sekitar Lembah Klang, termasuk ibu kota, malah bebas menjalankan perniagaan sah dan haram.

Pemerhati berpendapat, isu pendatang asing tanpa izin tidak akan berakhir tanpa mekanisme pembanterasan yang berkesan dan berterusan. Pihak berwajib perlu lebih bertanggungjawab dengan tugas masing-masing.

Sikap melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan pihak yang bertanggungjawab kerana jika isu dibiarkan, ia akan terus menjadi barah yang akan merosakkan masyarakat dan negara.

Tiada ulasan: