"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kepimpinan baharu AMANAH disulami elemen keseimbangan

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Kepimpinan baharu Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dibentuk ketika konvensyen kelmarin, adalah yang paling stabil.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali berpendapat, elemen keseimbangan menyulami barisan kepimpinan baharu dalam parti berkenaan.

Beliau menjelaskan, keseimbangan itu adalah daripada segi wujudnya kepimpinan senior dan muda serta penyertaan wanita yang akan menyemarakkan semangat parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Pelantikan semula Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Presiden (penggal terakhir) adalah pengiktirafan kepada jasa-jasa beliau terhadap parti dan perjuangan.

“Manakala pelantikan Datuk Seri Dr Mujahid (Timbalan Presiden) pula membawa maksud AMANAH bersedia melakukan tajdid (pembaharuan) dan memperkasakan lagi parti daripada segi visibiliti serta pengaruh parti yang mendasar ke akar umbi,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai konvensyen AMANAH yang menyaksikan Mohamad Sabu kekal menerajui parti yang berpandukan kepada nilai Rahmatan Lil ‘Alamin itu.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan gandingan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Adly yang masing-masing memegang jawatan Naib Presiden, dilihat berupaya mengukuhkan parti tersebut.

Pelantikan Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Naib Presiden pula katanya, adalah sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan wanita dan penglibatan mereka yang lebih meluas pada masa hadapan.

“Ini memberi isyarat daripada perwakilan bahawa AMANAH sangat mementingkan tradisi parti yang menentukan pemilihan pemimpin secara konsensus (persetujuan bersama) iaitu menggabungkan pengalaman orang lama dan menyuntik parti dengan pemimpin pelapis baharu yang bakal melakukan perubahan bagi meningkatkan lagi prestasi parti pada masa hadapan.

“Walaupun suara ke arah perubahan kedengaran agak vokal, namun perwakilan dilihat tetap membuat satu keputusan yang tepat.

“Keputusan tepat yang dimaksudkan adalah daripada segi peralihan kepimpinan harus berlaku dalam suasana harmoni dengan mengiktiraf kedua-dua pihak iaitu pemimpin lama yang berjasa dengan kepimpinan baharu (muda) yang akan memperkasakan parti sesuai perkembangan masyarakat dan peredaran zaman,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, Mohamad kekal menerajui AMANAH selepas dipilih sebagai Presiden bagi penggal 2023-2026 pada konvensyen yang diadakan 24 Disember lalu.

Pemilihan Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dimuktamadkan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKN) AMANAH sebaik proses pengundian bagi pemilihan parti itu berakhir.

Bagi tiga Naib Presiden AMANAH, 27 Ahli JKN yang dipilih perwakilan parti itu memilih Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad; bekas EXCO Selangor, Dr Siti Mariah serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Tiada ulasan: