"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hilang ketika keluar bekerja, wanita ditemukan maut di ladang sawit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika keluar bekerja ditemukan maut di sebuah ladang sawit di Beaufort semalam, dengan kesan kelar di leher dan tetakan pada badan.

Wanita warga Filipina itu didapati hilang ketika keluar ke ladang sawit tempatnya bekerja. Suami mangsa kemudian mencari isterinya sebelum menemukan seluar milik mangsa di tempat kerja suami mangsa di kebun sawit yang sama.

Ahli keluarga mangsa kemudian mencari mangsa yang berusia 43 tahun itu di sekitar kawasan penemuan seluarnya dan menemukan mayatnya dalam belukar berhampiran.

Ahli keluarganya kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira 11 pagi, kata Ketua Polis Beaufort Ismail Abdullah.

“Ketika ditemui, ada kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

Ismail berkata, pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Forensik IPK Sabah mendapati tapak tangan kanan mangsa hampir putus.

Selain itu, terdapat kesan luka pada bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher, dipercayai akibat ditetak senjata tajam, tambahnya.

“Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang kini direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Ismail berkata, usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas (D9), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik IPK Sabah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: