Agensi
Arab Saudi menemui kawasan simpanan emas dekat lombong Mansourah Massarah, Makkah. FOTO Agensi
Riyadh: Arab Saudi mengumumkan penemuan emas di kawasan sepanjang 100 kilometer ke selatan lombong Mansourah Massarah, kawasan pentadbiran Al Khurmah di wilayah Makkah, lapor portal Saudi Gazette.
Syarikat perlombongan dikenali sebagai Maaden itu dalam satu kenyataan berkata, ia adalah penemuan pertama di bawah program penerokaan meluas yang dilancarkan pada 2022.
Menurutnya, pihaknya menemukan banyak kawasan yang kaya dengan emas dan menunjukkan potensi untuk mengembangkan perlombongan logam berharga itu di kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maaden, Robert Wilt berkata, penemuan itu berpotensi untuk menjadi pusat penemuan emas dunia dan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat mereka.
"Penemuan ini menjadi bukti potensi sumber mineral yang belum diterokai di Arab Saudi dan menjadikan perlombongan sebagai tonggak ketiga ekonomi Saudi," katanya.
Dilaporkan, sebanyak 67 peratus saham Maaden dimiliki oleh Public Investment Fund (PIF), dana kekayaan kerajaan yang juga syarikat perlombongan terbesar di rantau Teluk.
Mansourah Massarah adalah lombong emas terbaharu, terbesar dan paling maju dari segi teknologi di Arab Saudi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan