Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@mediaprima.com.my
Segalanya tampak sempurna apabila si suami dianugerahkan isteri baik dan menawan serta dikurniakan anak-anak yang sentiasa membahagiakan hidup.
Anehnya keluarga yang kelihatan cukup lengkap ini masih mampu mengundang 'kecurangan' kepada sang suami yang aktif memburu wanita lain termasuk golongan janda di media sosial.
Golongan suami 'nakal' ini dikesan menggunakan pelbagai medium media sosial untuk menjalin cinta sulit selain ada antaranya lebih cenderung mengejar kepuasan nafsu dan batin 'kekasih part time'.
Aktiviti 'makan luar' atau curang ini semakin berleluasa susulan wujudnya pelbagai platfom 'jaja diri' di media sosial terutama membabitkan kalangan gadis atau janda yang aktif mencari 'teman tapi mesra'.
KES 1
Aktif memburu janda di laman sosial hingga pada tahap 'kemaruk' pada ibu tunggal walaupun membabitkan wanita warga asing.
Itu detik gelap dilalui seorang ibu tunggal yang menempuh fasa penceraian berpunca sikap suami gemar menjalin hubungan gelap hasil perkenalan di media sosial.
Ibu kepada dua cahaya mata mahu dikenali sebagai Zana, 35, berkata, sikap 'gila betina' suaminya sejak sebelum perkahwinan gagal ditangani walaupun selepas tujuh tahun mereka berumah tangga.
Menurutnya, suaminya bekerja sebagai ejen insurans memiliki ramai kenalan wanita sejak masih berstatus bujang.
"Saya sangkakan perangai miangnya akan berubah selepas berkahwin namun dia semakin liar dan sukar dikongkong.
"Saya dapat tahu dia gemar memburu janda terutama melalui perkenalan di kumpulan Facebook antaranya kumpulan janda gersang, kelab dara dan janda single, janda Malaysia gatal, janda sepi, janda sedap dan pelbagai kumpulan lain," katanya.
Menurutnya, bukan setakat 'sibuk' suai kenal di media sosial, malah suaminya banyak menghabiskan masa bermadu kasih selepas habis berkerja.
"Entah berapa ramai kenalan janda dan dara yang diusung keluar. Saya dah penat bergaduh dan makan hati. Abang dan kakak ipar dah puas menasihati, tapi nampaknya tak ada 'ubat' yang boleh sembuhkan penyakit jiwanya.
"Soal tanggungjawab dan keperluan anak-anak langsung tidak diendahkan. Malah susu dan lampai pakai buang anak langsung tak pernah dibelikannya. Ini belum lagi duit sewa rumah dan pengasuh anak-anak. Siapa yang boleh tahan?
"Akhirnya saya terpaksa minta 'dilepaskan'. Saya rasa itu jalan terbaik," katanya yang bekerja sebagai kerani sekolah di Ampang.
KES 2
"Saya tidak salahkan 'penyondol' atau wanita simpanan terbabit kerana suami yang gila mengejar mereka di media sosial," ujar seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hanis, 38.
Menurutnya, suami berusia 40-an dan memilik perniagaan jual beli kenderaan terpakai di Sentul dikesan memiliki ramai kekasih rata-ratanya dikenali melalui 'cinta' media sosial.
"Saya tidak pasti berapa ramai 'buah hatinya' namun semuanya terbongkar apabila saya menemui telefon bimbit ke dua yang disorokkan di dalam kereta.
"Secara kebetulan telefon bimbit yang digunakan untuk menghantar mesej dan berkasih-kasihan itu ditemui di bawah tempat duduk ketika saya mengutip kasut dan beg sekolah anak.
Menurutnya, hobi jijik suaminya terbongkar apabila dia membaca perbualan antara suaminya bersama wanita lain di aplikasi WhatsApp.
"Dia (suami) cuba mengaburi kegiatan dengan menggunakan nama-nama pelik atau nama lelaki bagi setiap wanita digoda.
"Ada antara wanita itu diberikan nama 'bengkel kereta Yap', 'abang tong gas' selain 'tom yam Kampung Baru'. Taktik menukar nama kenalan bertujuan bagi mengelak dikesan," katanya.
Menurutnya, matanya terbeliak apabila ada antara mesej dihantar mengandungi gambar suaminya berpelukan bersama wanita lain di atas katil dipercayai di dalam hotel di Jalan Ampang.
"Walaupun suami menetapkan 'disappearing message' (memadamkan mesej) pada aplikasi WhatsApp namun gambar berkenaan tidak sempat dipadamkan.
"Amarah saya makin memuncak apabila saya turut menemui mesej dari beberapa wanita lain yang menagih cinta dari suami. Rata-rata mereka ini adalah janda yang dikenali melalui laman sosial.
"Entah berapa ramai wanita yang diusung ke bilik hotel. Saya tak boleh terima semua ini (perlakuan suami). Patutlah saya tidak 'disentuhnya' sehingga berbulan lamanya," katanya yang sudah memfailkan cerai di mahkamah syariah berhubung
Menurutnya, dia benar-benar kecewa berikutan sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga dan memiliki tiga cahaya mata berusia tiga tahun sehingga 8 tahun.
KES 3
"Curang itu adalah pilihan, kerana hanya isteri yang senasib dengan saya sahaja akan memahami mengapa kami memilih untuk curang dengan pasangan masing-masing.
"Jika suami melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik terutama berkaitan nafkah, percayalah tiada isteri yang sanggup curang dalam sesuatu perhubungan," demikian luahan seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Ros, 36.
Mengakui menyertai beberapa kumpulan perbualan di laman sosial, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia memilih untuk curang apabila 'berkawan' dengan seorang duda yang dikenali di laman sosial sejak dua tahun lalu.
Katanya, meskipun sedar akan dosa kerana masih bergelar isteri orang, dia menegaskan mahu mencari secebis kebahagiaan untuk dirinya selagi hayat masih bersisa.
"Kami mula berkawan apabila saling menghantar komen di sebuah posting di Facebook.
"Dari sekadar kawan, hubungan itu bertukar rapat dan sudah beberapa kali keluar makan bersama namun batas-batas pergaulan masih saya jaga.
"Saya selesa kerana selain menjadi tempat mengadu, si dia juga tidak kedekut membantu perbelanjaan bulanan saya, perkara yang selama ini suami sendiri tidak dapat menunaikan," katanya.
Ros berkata, suaminya yang berusia lebih muda daripadanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan culas dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk mengabaikan nafkah kepadanya.
Kata Ros, sejak awal perkahwinan, memang dia yang banyak menanggung keluarga lantaran kerana memiliki pekerjaan tetap dengan gaji selesa.
"Selama hampir 10 tahun kami berkahwin, suami tidak pernah memberi nafkah atau membelikan sepasang pun baju raya pun, semuanya saya beli sendiri, begitu juga dengan pakaian anak-anak.
"Sudah lama saya bersabar dan memujuk hati supaya reda namun sebagai manusia biasa, kesabaran ada batasnya..
"Saya juga ada hati dan perasaan, ingin disayangi serta dihargai," katanya yang mengakui sudah terlalu lelah menjadi 'ketua keluarga' selama ini.
Menurut Ros, kisah cintanya masih belum dapat dihidu suami namun dia merancang untuk berterus terang tidak lama lagi kerana mahu berkahwin dengan duda berkenaan.
Kata Ros, dia nekad untuk mencari kebahagiaan diri sendiri kerana sudah terlalu lama berendam air mata.
Katanya, meskipun pada pandangan mata kasar, suaminya seorang yang baik, tidak pernah meninggikan suara atau memukulnya, namun bagi Ros, sikap baik sahaja tidak dapat untuk membayar bil-bil bulanan keluarga mereka yang sudah banyak yang tertunggak
"Selama ini, setiap bulan saya buat dua kerja termasuk mengambil upah membersihkan rumah kerana perlu membayar segala benda sampaikan tidak dapat membeli barangan keperluan diri sendiri.
"Sedangkan suami menjalani kehidupan seolah-olah tiada masalah yang berlaku, jika dia rasa nak bayar duit ansuran rumah atau pengasuh anak, dia hulur. Jika tak, dia buat senyap sampai ke sudah.
"Dia silap besar jika ingat boleh goyang kaki selepas kahwin dengan saya, saya tidak reda," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan