"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nur Farah Kartini: 'Mati rasa hanya kerana dikecewa, disia-sia'

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
BAIT-BAIT kata ini adalah antara ungkapan terakhir yang diluahkan Allahyarham Nur Farah Kartini menerusi media sosial dua hari sebelum dia dilaporkan hilang.
BAIT-BAIT kata ini adalah antara ungkapan terakhir yang diluahkan Allahyarham Nur Farah Kartini menerusi media sosial dua hari sebelum dia dilaporkan hilang.
Kuala Lumpur: 'Mati rasa hanya kerana dikecewa dan disia-sia'.

Bait-bait kata itu antara ungkapan terakhir yang diluahkan Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, menerusi aplikasi Threads, dua hari sebelum dia dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ayat itu adalah luahan perasaannya atau hanya sekadar kata-kata yang mahu dikongsi bersama pengikutnya di media sosial berkenaan.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikutnya menzahirkan ucapan takziah dan simpati dengan tragedi yang berlaku ke atasnya.

Membalas hantaran Nur Farah Kartini di ruangan komen, pengguna Threads dengan nama 'yangbernamaibu' menulis 'Sedihnya baca post dia. Moga ditempatkan di kalangan org beriman', manakala 'khairulafaie' menulis 'Innalillah... tenanglah di sana. Semoga si pelaku dapat balasannya'.

Turut berkongsi rasa simpati, 'sarah_asyikin_' menulis 'Semoga Allah memberikan ganjaran syurga tertinggi untukmu dik' dan seorang lagi pengguna Threads, 'm.azzuwan_official' membalas 'Innalillahiwainnailaihirojiun.Salam takziah. semoga roh di cucuri rahmat'.

Semakan BH mendapati Allahyarham baru aktif berkongsi kata-kata motivasi dan kata-kata semangat di aplikasi berkenaan pada 3 Julai lalu.

Sementara itu, semakan di aplikasi TikTok Allahyarham mendapati hantaran terakhir adalah pada 23 Jun lalu di mana beliau berkongsi satu rakaman video bersama beberapa rakan sedang menaiki bot laju.

Rakaman video tanpa kapsyen itu dipercayai dibuat ketika Allahyarham melancong ke Pulau Kapas, Terengganu, baru-baru ini.

Video berkenaan yang memperoleh lebih dua juta tontonan dipercayai menjadi tumpuan netizen selepas berita kehilangan beliau diuar-uarkan oleh pihak media.

Semakan di ruangan komen mendapati ia turut dipenuhi dengan ucapan takziah dan kata-kata simpati.

Terdahulu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu, ditemui petang semalam dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Mayat mangsa ditemui di ladang sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada 6 petang.

Nur Farah Kartini, 25, berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Tiada ulasan: