"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Detik cemas anggota JKDM, nyaris terkena tembakan penyeludup petrol

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Anggota JKDM Kelantan menceritakan detik cemas ketika bertembung dengan penyeludup petrol ketika keluar ke Sungai Golok di Pulau Ular. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota JKDM Kelantan menceritakan detik cemas ketika bertembung dengan penyeludup petrol ketika keluar ke Sungai Golok di Pulau Ular. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tumpat: Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan yang nyaris terkena tembakan apabila bertemu dengan penyeludup petrol ketika meronda di Sungai Golok di Pulau Ular, pada 19 Jun lalu, menceritakan detik cemas yang dialaminya.

"Dalam fikiran saya ketika itu hanya keselamatan anggota dan aset negara (bot) sahaja dari terkena tembakan yang dilepaskan penyeludup," kata anggota yang ingin dikenali sebagai Azmir, 39.

Menurutnya, pada hari kejadian, beliau bersama tiga anggota lain keluar ke Sungai Golok di Pulau Ular untuk menjalankan rondaan rutin.

Azmir berkata, kira-kira jam 9.30 pagi, dia yang menjadi jurumudi bot ronda Penumpas 080 ternampak lebih 15 bot galah di sungai yang membawa muatan tong plastik dipercayai mengandungi petrol serta diesel.

"Semua bot galah itu beredar dengan tergesa-gesa dan kami menyasarkan bot yang paling hampir dan menuju ke arahnya.

"Bagaimanapun pemandu bot galah itu melompat masuk ke dalam sebuah bot lain yang menghampirinya sebelum melarikan diri dan ketika kami sedang fokus untuk membawa balik bot milik penyeludup itulah, satu das tembakan rambang dilepaskan.

"Tidak lama kemudian kami ternampak seorang daripada mereka sedang menghala muncung pistol ke arah kami dalam jarak kira-kira 30 meter (m) dan saya terus memusingkan bot ronda kami untuk mengelak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azmir berkata, sebaik memusingkan bot ronda jabatan, kedengaran satu lagi das tembakan dilepaskan dan anggota lain bertindak memutuskan ikatan tali yang mengikat bot galah milik penyeludup pada bot ronda demi keselamatan sebelum terus pulang ke jeti kastam.

Menurutnya lagi, sepanjang bertugas di bahagian penguatkuasa Pengkalan Kubor sejak lima tahun lalu, ia adalah pengalaman ketiganya berdepan dengan ancaman senjata api dari penyeludup.

"Sebelum kejadian terkini, saya pernah melalui pengalaman sama pada hujung April lalu apabila satu das tembakan dilepaskan oleh penyeludup ke arah jeti kastam.

"Ia mungkin amaran dari mereka supaya tidak meneruskan operasi kerana pada masa itu kami ingin mengadakan Ops Makmur dan barangkali mereka sudah tahu mengenainya.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah ia hanya sekadar ancaman dan semua insiden yang kami hadapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya bersama rakan sepasukan lain untuk terus berkhidmat dengan jabatan," katanya.

Tiada ulasan: