"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan seksual 3 anak, hukuman penjara bapa dikurangkan

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang bapa melakukan serangan seksual ke atas tiga anak perempuannya daripada 34 tahun kepada 26 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Che Mohd Ruzima Ghazali bagaimanapun mengekalkan hukuman 10 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atas lelaki 45 tahun itu, yang juga bapa kepada enam anak.

Che Mohd Ruzima, yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh mengetepikan sabitan, namun membenarkan rayuannya bagi mengurangkan hukuman.

Dalam penghakimannya, Che Mohd Ruzima berkata perayu gagal membuktikan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memutuskan kes itu.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen mendapati bekas pemandu itu bersalah atas lima pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anaknya yang berusia 12, 10 dan lima tahun di sebuah rumah di Taman Kledang, Perak pada 4 Jun 2019, 4 Mei 2019 serta 7 Mei 2019.

Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman terdahulu.

Dia dihukum penjara lapan tahun dengan dua sebatan untuk setiap kesalahan membabitkan anaknya berusia 12 tahun dan 10 tahun, manakala hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan bagi kesalahan membabitkan anaknya berusia lima tahun.

Bagi kesalahan membabitkan anaknya berusia 12 tahun, hukuman penjara lapan tahun akan berjalan serentak.

Untuk kesalahan membabitkan anaknya berusia 10 tahun, Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman selepas selesai menjalani hukuman membabitkan anaknya berusia 12 tahun.

Hukuman 10 tahun membabitkan serangan seksual ke atas anaknya berusia lima tahun pula bermula sebaik sahaja dia habis menjalani hukuman bagi dua kesalahan terdahulu.

Peguam Kathan Maruthamuthu dari Yayasan Bantuan Guaman mewakili tertuduh, sementara Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini hadir bagi pihak pendakwaan.

Tiada ulasan: