FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang bekas polis akan dipanggil bagi membantu siasatan kes buli siber pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau Esha.
Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tiga individu itu akan dipanggil dalam minggu ini, selepas 11 saksi dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes sama.
Kita juga akan menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya hari ini (Isnin) untuk tindakan lanjut, katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata pihaknya masih menyiasat dakwaan pembabitan seorang pengasas produk dalam kes itu kerana siasatan bergantung kepada keterangan saksi.
Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah diterimanya.
Susulan itu, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun dan seorang lelaki ditahan secara berasingan pada 8 serta 10 Julai lalu.
Siasatan polis mendapati dua hantaran di akaun TikTok Dulal Brothers dan Alphaquinnsha mengandungi ugutan serta ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan