"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat rempit paling dikehendaki dipenjara sehari, denda RM5,000

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
TERTUDUH diiringi anggota trafik selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!
MELAKA – Seorang penunggang motosikal paling dikehendaki polis didenda RM5,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menunggang motosikal secara merbahaya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), tujuh tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Khairul Izuan Kamaruddin, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah menunggang motosikal dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 pagi di Lebuh SPA Stadium Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Jun 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak melebihi RM15,000 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 1999.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi penunggang motosikal melakukan aksi merbahaya iaitu menunggang secara membongkok dan memotong secara zig zag bermula dari jejantas di Bertam Ulu melalui Lebuh SPA ke Stadium Hang Jebat sebelum berpusing balik ke arah Bertam Ulu.

Tertuduh ditahan di bawah jejantas tersebut, namun menghilangkan diri dan gagal hadir ke mahkamah sejak tujuh tahun lalu sebelum berjaya ditahan semula di Taiping, Perak.

Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Naim Abdul Jalil mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh ekoran kesalahan yang dilakukan.

Tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana terpaksa pulang ke kampung di Taiping pada 2017 untuk menjaga ibu bapanya yang sakit selain kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar selain tertuduh turut hilang kelayakan untuk mengambil lesen B2 selama lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: