Malaysiakini
Bekas Exco Selangor, Teng Chang Khim melabel PAS sebagai “pengkhianat” dan mendesak agar kerakyatan parti itu dilucutkan susulan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang cacat dalam logo mereka.
“PAS pengkhianat. Bendera pun tak kenal. Patut dilucutkan kerakyatan. Malu. Tidak boleh dimaafkan.,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Kenyataan Teng itu membayangi pendirian keras PAS sebelum ini terhadap insiden serupa, sebelum parti itu sendiri melakukan kesilapan pada logo yang diedarkan hujung minggu lalu.
Logo perhimpunan “Himpunan Teguh Memimpin Terengganu” memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri tetapi hanya mempunyai bintang 11 bucu dan 12 jalur merah putih berselang-seli.
PAS kemudiannya memohon maaf pada Ahad lalu dengan alasan kesilapan “teknikal” dan mengedarkan semula logo yang diperbetulkan dengan bintang 14 bucu dan 14 jalur.
Insiden itu yang terkini dalam siri kesilapan melibatkan Jalur Gemilang, termasuk oleh Sin Chew Daily, papan elektronik di Bukit Bintang, pempamer di ekspo produk bayi, serta Kementerian Pendidikan.
PAS sebelum ini lantang menuntut tindakan tegas diambil terhadap insiden sedemikian.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini mendesak tindakan undang-undang dikenakan ke atas Sin Chew Daily walaupun akhbar itu telah memohon maaf atas insiden kesilapan Jalur Gemilang itu.
Afnan melalui kenyataan pada 16 April menegaskan “kesilapan teknikal” yang diakui Sin Chew Daily itu satu bentuk pengkhianatan dan tidak boleh dimaafkan.
Menteri Besar Kedah yang juga pemimpin PAS, Sanusi Nor pula mendakwa siri kesilapan bendera itu sebenarnya dirancang DAP untuk menimbulkan ketegangan kaum.
Sebelum ini, susulan kesilapan Kementerian Pendidikan menerbitkan Jalur Gemilang cacat dalam Laporan Analisis SPM, Teng turut menyindir kerajaan dan segelintir “patriot” atas tindak balas keras terhadap kesilapan Sin Chew.
“Menurut piawaian patriot tertentu, kita juga harus menuntut ketua kementerian digantung daripada jawatannya, dan perdana menteri mesti menegaskan semula bahawa ini adalah perkara yang serius untuk ditangani mengikut undang-undang.
"Mengikut logik yang sama, maka polis mesti menahan ketua kementerian dan merekodkan kenyataannya, kemudian memanggil empat puluh individu lain untuk disoal siasat,” katanya pada 24 April.
Menurut Teng, pihak yang berdemontrasi di luar pejabat Sin Chew Daily patut juga berkumpul di luar kementerian menuntut penutupannya.
“Semua menteri yang mengisytiharkan retorik patriotik yang tinggi harus bersuara untuk menegur KPM,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan