"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pempengaruh media sosial maut ditembak ketika siaran langsung

BHarianonline 
Valeria Marquez, 23. - Foto REUTERS

Valeria Marquez, 23. - Foto REUTERS
GUADALAJARA: Seorang pempengaruh media sosial Mexico maut ditembak ketika melakukan siaran langsung di TikTok, platform di mana beliau mempunyai puluhan ribu pengikut, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Media tempatan mengenal pasti mangsa sebagai Valeria Marquez, 23, yang terkenal menerusi video bertemakan kecantikan dan gaya hidup, dengan sebahagian kandungannya meraih ratusan ribu tontonan.

Mangsa ditembak mati pada petang Selasa di salun kecantikannya di Zapopan, sebuah kawasan pinggir bandar di barat bandar Guadalajara, menurut Pejabat Pendakwa Negeri Jalisco.

"Mangsa merupakan individu yang aktif serta berpengaruh di media sosial," menurut kenyataan pejabat pendakwa.

"Seorang lelaki telah memasuki premis dan dipercayai melepaskan tembakan ke arahnya," tambah kenyataan itu. Motif serangan masih belum diketahui.

Kawasan berkenaan dikenali sebagai antara lokasi jenayah tertinggi di Mexico, yang menjadi markas kepada salah satu kartel dadah paling ganas di negara itu, iaitu Kartel Generasi Baharu Jalisco.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti mengaitkan kumpulan jenayah dengan kejadian itu, menurut penyelaras keselamatan negeri, Roberto Alarcon.

Datuk Bandar Zapopan, Juan Jose Frangie memaklumkan pejabatnya tidak pernah menerima sebarang aduan atau permintaan perlindungan daripada Marquez berhubung sebarang ancaman.

"Amat menyedihkan apabila anda sedang merakam video, kemudian dibunuh. Ini adalah kes pembunuhan yang paling menyayat hati," katanya.

Laporan media menyatakan Marquez dipercayai ditembak oleh seorang lelaki yang berpura-pura membawa hadiah kepadanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sekitar 10 wanita atau kanak-kanak perempuan dibunuh setiap hari di Mexico, dalam suasana jenayah dan keganasan berasaskan jantina yang berleluasa. - AFP

Tiada ulasan: