"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembangkang usah mengail dalam lopak air di tengah jalan raya

Harapandaily

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Pagi tadi ada satu sesi kuliah di Akademi Perundangan Negara (dahulunya dikenali sebagai ILKAP). Panjang juga kuliah tersebut, hampir tiga jam masa diperuntukkan untuk berkuliah.

Tajuk kuliah itu adalah berkaitan dengan Akta A1663 iaitu akta yang meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan Perkara 49A mengenai anti lompat parti.

Jadi, apabila ada Himpunan Turun Anwar ini sempatlah juga membelek bagaimanakah cara untuk turun Anwar ini.

Cuba tanya kepada peserta himpunan itu, bagaimanakah caranya? Rasanya 90% peserta itu tidak tahu nak jawab.

Malah, kalau tanya Ahli Parlimen Pas seperti Fadhli Shaari yang beria-ria berkempen orang untuk hadir pun tidak dapat jawab soalan tersebut.

Mengikut Perlembagaan, cara untuk turunkan Perdana Menteri adalah hanya empat cara:

i. PMX letak jawatan macam Tun Mahathir letak jawatan dulu semasa dia jadi PM 7 dan macam Tan Sri Muhyidin Yasin letak jawatan semasa dia jadi PM 8.

ii. Ada usul undi tidak percaya dalam Parlimen yang mana Speaker Dewan Rakyat telah sahkan tidak terima pun usul sedemikian untuk sesi kali ini.

iii. Kutip surat akuan daripada 112 Ahli Parlimen dan sembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

iv. Cara keempat tidak boleh ditulis sebab berbahaya dan sensitif (nanti tak pasal-pasal kena soal jawab dengan polis).

Digugurkan jawatan

Jika lihat kepada cara usul undi tidak percaya ia perlukan kepada pengundian dalam Dewan Rakyat.

Adakah mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sekarang akan mengundi menyokong usul ini?

Jika ada, maka Ahli Parlimen itu mempunyai risiko untuk digugurkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kerana ianya bertentangan dengan Per. 49A(1)(a)(ii).

Jika kutip surat akuan pun sama sahaja risikonya. Akan trigger Per. 49A(1)(a)(ii) dan gugur jawatannya.

Mana ada Ahli Parlimen sanggup hilang elaun RM25,000 hingga RM30,000 sebulan, ‘kan?

Jadi, cara Himpunan Turun Anwar ini dibuat sebenarnya bukan objektifnya untuk turun Anwar.

Himpunan itu sekadar himpunan untuk memberikan harapan kepada penyokong Pas dan PPBM supaya tidak hilang semangat sahaja untuk memasuki PRU-16 nanti.

Nanti ada orang cakap, hak berhimpun itu adalah kebebasan asasi.

Memang benar, berhimpun itu kebebasan asasi di bawah Per. 10(1)(b) tetapi berhimpun itu biarlah ada matlamat.

Orang Arab kata ada hadaf (bukan hadas, ya). Kalau sekadar hadir tanpa matlamat maka ianya jadi perbuatan sia-sia. Perbuatan sia-sia itu amalan syaitan.

Macam orang berhimpun di Mekah pada musim haji itu, matlamatnya adalah jelas iaitu untuk menunaikan Rukun Islam.

Ini sudahlah habis belanja RM300 hingga RM400 untuk hadir himpunan tanpa ada matlamat dan sekadar wala’ kepada arahan pemimpin adalah kerja sia-sia.

Kita sekarang sudah masuk tahun ketiga pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Apa gunanya untuk naik kerajaan baharu dalam keadaan berbaki tempoh penggal ini hanya lebih kurang satu hingga dua tahun sahaja?

Sudahlah ekonomi global hari ini sangat mencabar. Ini nak porak-porandakan kestabilan politik pastinya akan menambah cabaran.

Lebih baik pembangkang hari ini fikir bagaimana nak takluk pengundi dalam PRU 16.

Jika masih ingat, PH dahulu akhirnya pasrah dengan Langkah Sheraton.

Sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri angkat sumpah menjadi PM 9 pada bulan Ogos 2021, Datuk Seri Anwar, Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Madius Tangau telah ikat MoU pada September 2021 untuk transformasi pentadbiran termasuk untuk perkenalkan akta anti lompat parti.

Hasil kerja strategik itu akhirnya PH membentuk Kerajaan Perpaduan bersama BN, GPS dan GRS.

Bersabarlah untuk jadi kerajaan balik. Kalau sekadar bersorak tanpa gerak kerja yang berstrategik ibaratnya seperti hanya mengail di dalam lopak air di tengah jalan raya.

Mana nak dapat ikannya?

Tiada ulasan: