Buletin TV3

Izzul Islam Azuan Isaidi menerima rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya dipercayai selepas mengalami gegaran otak. – Foto ihsan keluarga
JOHOR BAHRU: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang juga pesakit kanser hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama, di sini, Februari lalu.
Ibunya Siti Suhana Misdi, 39, tahun mengakui turut kesal apabila pelaku berusia 12 tahun itu difahamkan tidak dikenakan tindakan sewajarnya dengan alasan masih di bawah umur.
Menurut wanita itu, dalam kejadian pada jam 5 petang, 21 Februari lalu, anak lelakinya itu dipukul, ditendang, dihentak kepala serta dipaksa berbogel oleh murid Darjah Enam terbabit.
“Anak saya menerima rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya ini mulai 12 hingga 26 Mac lalu dan disahkan mengalami gegaran otak.
“Saya hanya mengetahui kejadian (buli terhadap anak) itu pada 24 Mac lalu selepas anak perempuan berkongsi kejadian sebenar kerana bimbang dengan keadaan adiknya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Siti Suhana berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Universiti pada hari sama anak keempat daripada enam beradik itu keluar hospital.
Lebih malang, Siti Suhana berkata, anaknya sekali lagi menjadi mangsa buli oleh pelaku berbeza pada jam 10 pagi, 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai.
“Saya tidak pasti mengapa anak saya menjadi mangsa (buli), adakah kerana dia dilihat seorang yang lemah kerana berpenyakit hingga diperlakukan demikian.
“Anak diserang kanser hidung sejak dua tahun lalu, alhamdulillah keadaannya sudah pulih 80 peratus dan hanya mengalami simptom sederhana selepas menerima rawatan sesuai,” katanya yang memaklumkan sudah membuat laporan polis kedua kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata, pihaknya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang mengambil tindakan lanjut berhubung pengaduan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan