"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kata dua Hadi kepada Bersatu demi buka laluan Hamzah

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mungkin cuba mendesak kemasukan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dan penyokongnya dalam Perikatan Nasional (PN) dengan memberi kata dua kepada Bersatu, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata ketidaksenangan Hadi terhadap Bersatu yang menutup pintu kepada parti atau kumpulan baharu ke PN boleh difahami kerana gabungan itu memerlukan kekuatan tambahan dalam berdepan PRU16.

Katanya, PAS mungkin percaya Hamzah boleh membawa kekuatan akar umbi, pakar dalam strategi politik dan pengalaman pentadbiran yang kelebihan seperti itu tidak ramai ada pada pemimpin Bersatu.

“Kritikan Hadi bukan sekadar teguran biasa tetapi boleh dibaca yang beliau tidak sepenuhnya percaya kepada keupayaan Bersatu mengawal arus dalam PN.

“Beliau juga mahu memberi ruang kepada blok Hamzah yang dilihat lebih berstrategi dalam politik,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting kepada FMT.

Jumaat lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu yang kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan, ketiadaannya susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Hamzah dipecat Bersatu Februari lalu susulan krisis kepimpinan Bersatu. Turut berdepan tindakan sama beberapa Ahli Parlimen antaranya Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, rasa tidak puas hati PAS terhadap Bersatu sudah lama wujud, tetapi kenyataan Hadi kali ini menunjukkan masalah itu semakin serius.

Beliau berkata, isu sebenar bukan sekadar Bersatu membuat keputusan tanpa berunding, tetapi masalah dalaman parti itu yang menghakis keyakinan penyokong terhadap PN.

“Itu dibimbangi PAS kerana masalah Bersatu itu akan memberi impak negatif, stigma negatif kepada PAS,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula tidak menolak kemungkinan penjajaran baharu PN mungkin menyaksikan Hamzah dan kumpulannya menjadi rakan utama PAS.

“Telah banyak ketegangan dan ia telah sampai kemuncak apabila penolakan terhadap Hamzah yang selama ini berjuang untuk PN,” katanya menyentuh peranan Hamzah sebagai timbalan pengerusi, setiausaha agung dan ketua pembangkang sebelum ini.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berhujah yang PAS membuat pertimbangan mengkaji semula hubungan dengan Bersatu selepas menyedari masalah banyak dihadapinya.

“PAS bersikap pragmatik dan mahu membuka pilihan bekerjasama dengan sebanyak mungkin parti, termasuk Umno.

“Bersatu pula masih terlalu yakin nama-nama yang kekal bersama Muhyiddin cukup untuk menjadikannya kingmaker, tetapi perkiraan itu mungkin tidak tepat,” katanya.

Lelaki bersenjata lepaskan tembakan di luar Rumah Putih meninggal dunia

AFP

Washington: Seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah pegawai Perkhidmatan Rahsia di luar Rumah Putih pada petang Sabtu, meninggal dunia selepas ditembak, kata agensi itu dalam satu kenyataan yang diberikan kepada media Amerika Syarikat (AS).

Seorang individu juga ditembak semasa kejadian berbalas tembakan, kata agensi itu, tanpa memberikan keadaan mangsa.

Selepas lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke arah ejen di pusat pemeriksaan keselamatan berhampiran Rumah Putih, "Pegawai polis Perkhidmatan Rahsia membalas tembakan, mengenai suspek, yang dibawa ke hospital kawasan, di mana dia kemudiannya meninggal dunia," kata kenyataan itu.
-hmetro 

Rafizi: Anwar ‘terlalu berhati-hati’ dengan Umno punca masalah kaum

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata Perdana menteri, Anwar Ibrahim bertanggungjawab atas kegagalan kerajaan meredakan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, ini kerana presiden PKR itu bimbang langkah menangani isu perkauman akan menimbulkan kemarahan Umno.

“Kenapa Datuk Sri Anwar gagal menangani isu itu ialah soal Akmal..

“Kerana dia terlalu berhati-hati, takut-takut Umno marah. Saya ingat soal stokin dulu kan, lambatnya dia untuk jumpa pimpinan Umno, apatah lagi dengan Akmal Saleh,” katanya.

Dia berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu jemputan bersama Nik Nazmi Nik Ahmad dalam episod terbaru podcast KiniTV Explain Sikit yang dihoskan Mastura Malak dan Zikri Kamarulzaman.

Bekas ahli PKR itu mengimbas insiden penemuan beberapa pasang stoking tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka KK Mart yang mencetuskan kontroversi pada 2024.

Akmal antara ahli politik yang lantang membangkitkan isu itu, termasuk menyeru masyarakat Melayu Islam supaya memboikot kedai runcit berkenaan.

Bukan setakat itu, Pemuda Umno juga menggesa ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap KK Mart.

Dalam pada itu, Rafizi berpendapat kerajaan boleh menangani isu perkauman dengan lebih baik jika mempunyai mekanisme berkesan untuk menangkis naratif yang dibawa golongan pelampau.

Dia mencadangkan penubuhan satu platform yang melibatkan pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat, politik dan agama.

“Apabila kita ada struktur merentas semua pihak seperti itu, akhirnya kita boleh membawa semua pihak kepada titik persamaan.

“Penyataan bersama daripada pemimpin masyarakat, politik dan agama boleh menghalang kumpulan kecil ini daripada mendapat pengaruh - mereka akan kekal di pinggiran,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Sebagai contoh, Rafizi berkata negara pernah mempunyai mekanisme berkesan seperti Majlis Muhibbah Negara.

Majlis itu ditubuhkan kerajaan pada 1969 selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei dan dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman.

Menurut Rafizi, majlis tersebut memainkan peranan penting dalam memulihkan hubungan antara kaum.

Dia berkata ketegangan juga berpunca daripada kegagalan menguasai naratif yang jelas.

Berdasarkan pengalamannya sebagai anggota Kabinet, Rafizi berkata majoriti rakyat Malaysia mengamil sikap sederhana dan lebih tertumpu kepada isu kos sara hidup, ekonomi dan kelangsungan hidup.

Namun, ketiadaan agenda yang benar-benar mampu menarik perhatian rakyat biasa mewujudkan kelompongan yang menyebabkan isu kaum dan agama mengambil alih pentas utama.

“Sebab itu kalau pandangan saya mengenai reformasi dan penambahbaikan ekonomi ni, saya selalu sebut kepada kerajaan ialah kita tak boleh buat business as usual kerana business as usual itu tak ada apa yang menggamit rakyat.

“Jadi bila tak ada apa dia melahirkan vakum dan vakum itulah yang menyebabkan maka timbul isu-isu yang perkauman semua ini dan ia menjadi isu yang take the center stage (menjadi dominan),” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata isu kaum dan agama merupakan antara cabaran di negara ini kerana warisan parti politik berasaskan kaum terus bersaing atas garis perkauman dan agama untuk mendapatkan sokongan.

Walaupun pendekatan itu boleh difahami pada tahap tertentu, dia menegaskan pemimpin kerajaan perlu mengutamakan kepentingan negara dan tidak tunduk kepada tuntutan golongan pelampau.

"Sebab banyak parti-parti kaum ni dia nak berjaya dalam parti dia, dia kena jadi champion. Parti Melayu ke, dalam DAP pun walaupun DAP pelbagai kaum tetapi secara sejarahnya dia menjadi juara untuk masyarakat minoriti.

"Jadi dia kena jadi champion dan while kita faham to a certain extent, tetapi pendekatan itu mungkin tidak menguntungkan negara jadi saya ingat kita kena bincang ni sebagai rakyat Malaysia, tengok betul-betul ni dan kepada pemimpin kena ada sikap kepimpinan dan bukan hanya tunduk kepada orang yang nak membakar di bawah," katanya.