"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru lelaki warga asing peluk, cium pelajar di sekolah

Noor Sara Mohamad Hanif
am@hmetro.com.my

Arau: Polis memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan insiden tular membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid sekolah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 41 tahun pada jam 1 tengah hari, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pada jam 5.45 petang semalam, pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.

"Pengadu mendapati seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang dan terus menuju ke kawasan padang tempat mereka berlatih.

"Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab yang munasabah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk segera menghalang perbuatan lelaki terbabit.

Katanya, pengadu bertindak mengarahkan suspek beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.

"Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan.

"Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand," katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis sudah berjumpa bersama pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan.

Katanya, pihak sekolah memaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkan dia membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.

"Laporan itu kini dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit," katanya.

Kelantan: Jurujual kereta didenda RM5,000 simpan video lucah dengan kekasih

Hidayatidayu Razali

KOTA BHARU: Seorang jurujual kereta didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan video lucah, bulan lalu.

Tertuduh, Wan Amirul Izuddin Wan Mohamad, 28, membuat pengakuan itu hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala telefon bimbit milik tertuduh dilupuskan polis selepas tamat tempoh rayuan 14 hari selaras dengan Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah.

Wan Amirul Izuddin dituduh memiliki video lucah di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, di sini, pada 11.45 malam, 10 April lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan kekasihnya yang berusia 27 tahun melakukan hubungan intim di sebuah rumah, di sini pada 11.45 malam, 10 April lalu dan tertuduh merakam aksi itu yang kemudian disimpan dalam telefon iPhone 15 Pro Max miliknya.

Bimbang rakaman tersebar, kekasih tertuduh membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Delegasi Trump buang barangan diberikan pegawai China sebelum menaiki Air Force One

Agensi
Presiden AS, Donald Trump ketika tiba dari China. - FOTO AFP
Presiden AS, Donald Trump ketika tiba dari China. - FOTO AFP
Beijing: Kakitangan AS dan anggota media yang mengiringi Presiden Donald Trump dilaporkan telah membuang bahan yang diberikan oleh pegawai China sebelum menaiki pesawat Air Force One pada Jumaat.

The Economic Times melaporkan bahawa ia menekankan tahap ketidakpercayaan yang masih mendasari hubungan AS-China.

Pegawai Amerika dan wartawan White House dilaporkan membuang pelbagai barangan yang dikumpulkan sepanjang lawatan tersebut, termasuk telefon "burner" untuk kakitangan, lencana kelayakan, dan pin lapel yang dikeluarkan oleh China.

Barangan itu dilaporkan dibuang ke dalam sebuah tong yang diletakkan berhampiran kawasan berkenaan.

"Tiada apa-apa dari China dibenarkan di dalam pesawat," tulis Emily Goodin, wartawan White House untuk New York Post, dalam satu hantaran di X.

Hantaran yang dibuat wartawan White House untuk New York Post, Emily Goodin di aplikasi X.
Hantaran yang dibuat wartawan White House untuk New York Post, Emily Goodin di aplikasi X.
Sebelum menaiki pesawat Air Force One untuk berlepas dari Beijing, keseluruhan delegasi Amerika Syarikat dilaporkan melupuskan semua barangan yang diberikan oleh tuan rumah dari China.

Hadiah, lencana, pin dan barangan cenderamata semuanya dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan di lokasi.

Arahan berkenaan dikatakan sangat tegas di mana tiada satu pun barangan yang berasal dari China dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat.

Langkah berjaga-jaga itu menunjukkan tahap keselamatan dan ketidakpercayaan yang tinggi dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Beberapa laporan juga mendakwa bahawa anggota delegasi AS tidak membawa peranti elektronik peribadi sepanjang lawatan itu.

Sebaliknya, mereka hanya menggunakan telefon sementara (burner phones) yang "bersih" sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan siber yang ketat.

Pegawai dilaporkan secara rutin memusnahkan atau menyerahkan peranti elektronik serta bahan sensitif bagi mengelakkan kemungkinan pengintipan atau kompromi data.

Semasa lawatan oleh Presiden Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping ke Temple of Heaven di Beijing, seorang ejen AS yang mengiringi kumpulan media AS dilaporkan tidak dibenarkan masuk oleh pegawai China kerana membawa senjata api sebagai sebahagian daripada protokol keselamatan standard.

Menurut laporan kumpulan media, pertikaian itu menyebabkan kelewatan hampir 90 minit sebelum pihak media akhirnya dibenarkan memasuki lokasi, selepas apa yang digambarkan wartawan sebagai "perbincangan sengit" antara pegawai AS dan China.
-hmetro

Bas meletup dilanggar kereta api, 8 terkorban

KOSMO!
ANGGOTA bomba berada di lokasi kemalangan melibatkan kereta api barang dan sebuah bas di Bangkok hari ini. - AFP
BANGKOK — Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 35 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan kereta api barang dan sebuah bas di ibu negara Thailand hari ini, kata polis seperti laporan akhbar South China Morning Post.

Anggota bomba dan penyelamat berkumpul di lokasi kejadian, sementara pegawai penyiasat dilihat memeriksa rangka bas yang rentung.

Orang ramai diarah menjauhkan diri dari persimpangan sibuk di pusat bandar itu, yang digunakan oleh puluhan ribu kenderaan setiap hari.

“Lapan orang disahkan maut dan 35 lagi cedera,” kata Ketua Polis Bangkok, Urumporn Koondejsumrit.

Nahas berlaku pada awal tengah hari.

Imej tular di media sosial menunjukkan kereta api tersebut menghampiri lintasan rata dengan kelajuan sederhana sebelum merempuh bas yang kemudiannya meletup dan terbakar.

“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kami kini berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa,” kata Urumporn.

“Saya tidak berani menoleh ke belakang untuk melihat sama ada ada mangsa yang terkorban,” kata seorang saksi yang berada berhampiran persimpangan itu bersama anak perempuannya kepada badan penyiar tempatan, Thai PBS, pula.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung insiden tersebut.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut kerap berlaku di Thailand, negara yang kerap menduduki carta teratas antara jalan raya paling berbahaya di dunia.

Antara faktor penyumbang utama kemalangan termasuk memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol di samping penguatkuasaan undang-undang yang lemah. – AGENSI

‘Bodohnya’ seorang cikgu

Fauzi Abdullah

Sejauh mana kita masih melihat guru sebagai insan membentuk masa depan generasi bukan sekadar sasaran apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan?

Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kita memandang guru hari ini.

“Cikgu ni bodoh ke?”

Kata-kata itu dihamburkan di hadapan khalayak oleh individu mendakwa anaknya dibiarkan berpanas ketika sukan sekolah, baru-baru ini.

Mungkin ramai sukar percaya tetapi inilah realiti jarang dipaparkan. Ya, kisah benar. Tidak perlu dinyatakan sekolah mana tapi malangnya insiden berlaku di kawasan bandar, yang sering dikaitkan dengan tahap pendidikan dan kesedaran lebih tinggi.

Nada suaranya keras dan cukup menghiris seolah-olah maruah seorang guru boleh dilenyek sesuka hati hanya kerana dia berdiri dalam pagar sekolah, bukan duduk atas kerusi empuk di belakang meja besar pejabat berhawa dingin.

Di sebalik insiden itu, ada guru sudah pun berada di sekolah sejak awal pagi. Menguruskan murid yang berlari ke sana-sini, mengawal keadaan, memastikan keselamatan dan menenangkan anak-anak yang teruja sementara menunggu giliran acara. Namun, semua itu sering tidak dipandang kerana yang lebih cepat dilihat hanyalah kekurangan dan kesilapan.

Antara kritikan dan penghinaan

Sudah tentu, ibu bapa berhak mempersoalkan aspek keselamatan dan kebajikan anak terutama membabitkan aktiviti luar bilik darjah malah kritikan terhadap pengurusan sekolah atau sistem pendidikan juga tidak wajar disenyapkan.

Kebimbangan seorang ibu atau bapa terhadap keselamatan anak sememangnya perlu difahami, lebih-lebih lagi apabila melibatkan cuaca panas dan kesihatan murid.

Guru tidak kebal daripada kesilapan tetapi apabila bahasa digunakan bertukar menjadi penghinaan, ia sebenarnya mengubah medan perbincangan daripada penambahbaikan kepada perendahan martabat.

Di sini, ada perubahan halus berlaku dalam hubungan antara ibu bapa dan sekolah. Jika dahulu, guru dilihat sebagai rakan dalam membesarkan anak, kini dalam sesetengah keadaan mereka dilihat seperti pihak yang perlu ‘diaudit’ setiap masa — setiap keputusan dipersoalkan, tindakan diperhalusi, dan kesilapan diperbesar.

Apabila isu yang timbul terus berakhir dengan tuduhan, penghinaan dan persepsi negatif, ia perlahan-lahan menghakis asas kepercayaan yang menjadi tulang belakang pendidikan itu sendiri.

Menanggung beban

Hakikatnya, tugas guru hari ini jauh melangkaui bilik darjah. Selain mengajar, mereka mengurus dokumentasi, laporan, aktiviti kokurikulum, komunikasi dengan ibu bapa, dan pelbagai tugasan pentadbiran yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, mereka juga berdepan tekanan emosi dari setiap penjuru — murid, sistem, tuntutan masyarakat dan tidak terkecuali ibu bapa itu sendiri. Kita menuntut guru menjadi sempurna dalam semua hal tetapi terlalu cepat menghukum apabila mereka gagal atau belum memenuhi jangkaan yang kadangkala tidak realistik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebimbangan mengenai beban tugas guru kerap dibangkitkan pelbagai pihak termasuk kesatuan dan laporan berkaitan pendidikan. Antara isu sering diperkatakan adalah keletihan melampau atau ‘burnout’, selain kecenderungan guru memilih bersara awal selepas berdepan tekanan kerja berpanjangan.

Walaupun angka lengkap jarang didedahkan secara terbuka, perbincangan mengenainya semakin jelas. Guru memilih bersara awal bukan kerana tidak mampu mengajar, tetapi tidak lagi sanggup menanggung tekanan yang datang bersama profesion itu.

Lebih membimbangkan, bukan sekadar perkara itu tetapi perubahan sikap masyarakat terhadap guru. Apabila guru dilihat sebagai pihak yang perlu dipersalahkan dalam banyak keadaan, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu jauh lebih besar — rasa hormat terhadap kerjaya suatu ketika dahulu dianggap mulia.

Tanpa penghormatan, yang tinggal hanyalah hubungan semakin ‘hilang jiwa dan berkira’. Sekolah dilihat sekadar penyedia perkhidmatan, guru dianggap petugas biasa, manakala pendidikan pula dinilai hanya berdasarkan aduan dan pencapaian semata-mata.

Tragedi terbesar

Insiden seperti ini mungkin dilupakan sebagai episod ledakan emosi sementara, namun meninggalkan kesan psikologi berpanjangan terhadap guru tersebut.

Pada masa sama ia menimbulkan persoalan lebih mendalam — sejauh mana kita masih melihat guru sebagai insan yang membentuk masa depan generasi, bukan sekadar sasaran apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan?

Jika kecenderungan ini berterusan, mungkin tragedi terbesar dalam dunia pendidikan hari ini bukan hanya kekurangan guru akibat pencen awal, tetapi kekurangan mereka yang sanggup bertahan dalam profesion itu kerana hilangnya rasa hormat masyarakat terhadap manusia bernama cikgu.

Barangkali bagi guru itu, ungkapan ‘cikgu ni bodoh ke?’ akan kekal terpahat dalam ingatan berbanding segala ucapan penghargaan sempena Hari Guru yang disambut hari ini.

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.