"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita didakwa bagi anak berusia setahun minum racun

Bernama

Seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai diberi minum racun rumput oleh ibunya di sebuah rumah di Bandar Sunggala Telok Kemang, Port Dickson dekat Seremban, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Maslan Udin berkata pihaknya menerima makluman daripada Hospital Port Dickson pada 11.50 malam berhubung pesakit warga Myanmar berusia 21 tahun dan anaknya dipercayai meminum racun.

“Kejadian berlaku kira-kira 9 malam dan siasatan mendapati wanita itu terlebih dahulu meminum racun rumput sebelum memberi anaknya racun sama, iaitu jenis Protocol.

“Kejadian dipercayai berlaku kerana wanita itu mengalami tekanan perasaan sejak melahirkan anak,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Maslan berkata keadaan dua beranak itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata polis telah menahan bapa kepada kanak-kanak itu yang juga warga Myanmar berusia 29 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- Bernama

PDRM siasat dakwaan Jho Low hadiri mesyuarat rahsia di Malaysia

Bernama

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesahkan dakwaan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, di negara ini pada hujung tahun lepas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya setakat ini belum mendapat kepastian berhubung kesahihan dakwaan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan itu.

"Ya, isu ini kita pun tak dapatkan kepastian lagi sejauh mana kebenarannya. Jadi saya akan mengambil tindakan yang sewajarnyalah untuk memastikan (sama ada) perkara ini benar-benar berlaku ataupun tidak.

"Jadi kita melihat bahawa siasatan masih lagi berterusan. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik dan lancar," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Autisme di Pusat Autisme Pengaman-PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sarawak Report yang mendakwa Jho Low menghadiri mesyuarat rahsia di Malaysia bersama delegasi dari China pada penghujung tahun lalu.

Mohd Khalid menegaskan PDRM akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya terdapat sebarang perkembangan terbaharu berkaitan isu berkenaan.

Terdahulu, beliau meluangkan masa meraikan anak-anak daripada Pusat Autisme Pengaman-PDRM yang menyediakan kemudahan pendidikan dan sokongan kepada warga PDRM serta masyarakat setempat.

Beliau berkata pusat yang kini mengendalikan kira-kira 50 kanak-kanak itu mendapat sokongan penuh PDRM melalui penyediaan fasiliti serta bantuan tabung kebajikan bagi meringankan kos penjagaan keluarga terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Autisme Pengaman-PDRM Tan Sri Hussin Ismail berkata pusat berkenaan berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2020 hasil sokongan pelbagai pihak.

- Bernama

Kelantan: Guru mengaji dipenjara 9 tahun, 3 sebatan kerana amang seksual 3 kanak-kanak

Hidayatidayu Razali
Hanafi Hassan dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini. – Foto NSTP
PASIR MAS: Seorang lelaki yang juga guru mengaji, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga kanak-kanak lelaki.

Hanafi Hassan, 64, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 9 hingga 11 tahun, antara jam 8 pagi hingga 5.45 petang antara Mei 2023 dan Disember 2025.

Perbuatan didakwa dilakukan di bilik mandi, bilik stor beberapa masjid dan stor gunting rambut sekitar Tanah Merah.

Hakim Zulkpli Abdullah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun bermula tarikh tertuduh ditahan pada 1 Mei lalu, selain tiga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wanita beramai-ramai mekap sebelum daki puncak gunung

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan sejumlah wanita sedang khusyuk bermekap sebelum memulakan pendakian. - Instagram
JAKARTA – Sekumpulan wanita mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam memakai mekap secara beramai-ramai sebelum mendaki puncak sebuah gunung di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @merbabuviasuwanting_gl menunjukkan sejumlah wanita sedang khusyuk bermekap sambil duduk di lantai.

Mereka berbuat demikian agar kelihatan cantik dan rapi  dalam gambar selepas tiba di puncak Gunung Merbabu. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 358,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Lepas mendaki, mekap cair kena peluh,” kata seorang netizen. 

“Mana tahu jumpa jodoh dekat puncak,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Kelantan: Warga Myanmar paling ramai diseludup melalui Sungai Golok

FMT Reporters
PETALING JAYA: Warga Myanmar paling ramai cuba diseludup masuk ke Malaysia menerusi laluan Sungai Golok, Rantau Panjang dan Pasir Mas sepanjang tahun ini.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata 264 daripada 360 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dan Op Delta merupakan warga Myanmar.

Menurutnya, jumlah itu jauh mengatasi warga asing lain, termasuk 40 warga Thailand, Bangladesh (30), Indonesia (9), India (8), Vietnam (4), China (3), Nepal (1) dan Pakistan (1).

“Dalam tempoh sama, PGA turut menahan sembilan tekong darat yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan migran di kawasan sempadan.

“Sebanyak 78 serbuan dilaksanakan melibatkan kawasan sekitar Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, antara lokasi panas dikenal pasti sering digunakan sebagai laluan masuk Pati ialah pangkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat.

Jelasnya, 110 kes telah disabitkan terhadap Pati dan tekong ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Tegasnya, PGA akan terus memperketatkan kawalan dan memperhebatkan operasi bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

“Pihak polis juga mengharapkan kerjasama orang awam terus menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.”

Ha ha, Jho Low masuk Malaysia melalui counter setting ke?

Jho Low curi masuk M’sia tahun lalu? Imigresen kata tiada maklumat
Malaysiakini 

Jabatan Imigresen tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan jutawan dalam buruan Low Taek Jho memasuki negara bersama delegasi peringkat tinggi China, tahun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban juga tidak mengulas lanjut sama ada pihak berkuasa akan menyiasat dakwaan itu yang dilaporkan laman pembocor maklumat Sarawak Report, yang memetik sumber itu.

“Setakat ini JIM (imigresen) tiada mempunyai maklumat berkaitan perkara ini,” kata Zakaria kepada Malaysiakini semalam.

Sarawak Report mendakwa rayuan Jho Low untuk mendapatkan pengampunan Presiden di Amerika Syarikat dibuat pada Januari, berlatarbelakangkan keadaan luar biasa yang dia didakwa memainkan peranan penting dalam “rundingan rahsia antara China dan Malaysia” untuk menghapuskan hutang berkaitan 1MDB pada akhir tahun lalu.

Memetik sumber, portal itu melaporkan dakwaan bahawa mesyuarat melibatkan Low malah berlaku di KL, dikatakan bawah “perlindungan” delegasi China.

Laporan itu mendakwa rundingan yang diadakan dengan kehadiran Low adalah untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh dengan China berkaitan 1MDB dan, lebih khusus lagi, peranan negara dalam membantu bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa menutup skandal itu.

Malaysiakini telah menghubungi Kedutaan China di Kuala Lumpur, serta Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan komen.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan memfailkan protes terhadap permohonan Low untuk mendapatkan pengampunan daripada Trump.

Dia berkata walaupun Malaysia tidak menyokong percubaan Low, ia adalah urusan AS dan dianggap sebagai "bukan isu" bagi Malaysia.

Low, juga dikenali sebagai Jho Low, dikehendaki oleh pihak berkuasa kerana peranannya dalam skandal 1MDB. Dia didakwa pada 2018 tetapi masih bebas.

Dia dituduh merancang skim yang membolot sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (kira-kira RM17.7 bilion) daripada 1MDB, bersama dua bekas jurubank daripada Goldman Sachs.

Bilik eksklusif tawar ‘gadis’ cecah RM100,000 diserbu

HARRITH HISHAM
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara, awal pagi hari ini.
KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan mewah yang dipercayai menawarkan pakej pelacuran warga asing dengan harga bilik mencecah RM100,000 berjaya dibongkar dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM), awal pagi tadi.

Premis yang berselindung di sebalik sebuah hotel bertaraf tiga bintang di kawasan Changkat itu dipercayai menjadi tumpuan pelanggan warga asing khususnya dari China.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati premis hiburan tersebut beroperasi secara eksklusif dan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati hotel berkenaan menjadi tumpuan pelanggan khususnya warga China berikutan kewujudan sebuah pusat hiburan mewah yang menawarkan pakej pelacuran warga asing yang beroperasi dari tingkat satu hingga enam premis tersebut.

“Modus operandi premis ini yang telah beroperasi selama tiga bulan dikawal ketat oleh ‘bouncer’ atau pengawal keselamatan warga tempatan di mana akses keluar masuk premis hanya diberikan kepada pelanggan berstatus VVIP sahaja.

“Harga bagi sebuah bilik bermula daripada RM50,000 dan mencecah RM100,000 bagi sebuah bilik eksklusif yang boleh dilanggan lebih dari 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar pukul 1.30 pagi melibatkan 131 pegawai dengan kerjasama agensi sahabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katannya, ketika serbuan, beberapa warg asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran pegawai di lokasi tersebut.

Menurut beliau, seramai 243 individu diperiksa membabitkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, JIM menahan seramai 152 warga asing terdiri daripada 129 warga China, Taiwan (2), Vietnam (5), Myanmar (5), Bangladesh (8) serta masing-masing seorang warga Indonesia, Turki dan Vanuatu.

“Kesemua individu yang berusia di antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 17 saman kepada saksi (Borang 29) dalam operasi tersebut.

Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen. – KOSMO! ONLINE

Barang larangan ditemui dalam lokap, Polis Perak lancar siasatan

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak memandang serius penemuan barang larangan termasuk bahan disyaki dadah dan telefon bimbit di dalam lokap Balai Polis Pusat (Sentral), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penemuan tersebut hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa lalu kira-kira pukul 10 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas empat orang tahanan di dalam salah sebuah sel lokap telah menjumpai beberapa buah telefon bimbit, diikuti penemuan beberapa peket bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

“Turut dirampas beberapa barang larangan lain termasuk tembakau, wang tunai danperalatan komunikasi,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39a(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Hisam berkata, barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut.

Seiringan dengan itu, beliau berkata, siasatan dari sudut tatatertib turut dijalankan bagi mengenal pasti kewujudan penglibatan mana-mana pegawai atau anggota, termasuk meneliti aspek penyeliaan dan pematuhan prosedur pengurusan lokap.

“PDRM Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelemahan kawalan, kecuaian penyeliaan atau salah laku yang menjejaskan keselamatan dan integriti pengurusan lokap.

“Semua ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai penyelia lokap telah diarahkan mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki didakwa bogel, cabul lima pekerja kilang

Alias Abd Rani
Dinesh Kumar didakwa berbogel dan cabul lima pekerja kilang.- Foto NSTP
BATU PAHAT: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan kelucahan dengan berbogel serta mencabul kehormatan terhadap lima pekerja kilang wanita ketika pulang dari kerja.

Tertuduh, Dinesh Kumar Jothee, 25, yang berhadapan enam pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kelucahan melampau dengan berbogel sambil menunjukkan kemaluan terhadap empat pekerja kilang berusia 23 hingga 35 tahun.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul dua pekerja kilang termasuk seorang mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan Siantan, Taman Tanah Merah, di sini, antara jam 1.15 tengah hari hingga 7 petang, sejak 22 Februari hingga 8 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Safiah A Aziz.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 25 Jun depan untuk serahan dokumen.

Kelantan: Budak dua tahun terima 20 jahitan cedera digigit kera

ROHANA MOHD. NAWI
Keadaan Muhammad Bilal semasa menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu baru-baru ini. FOTO IHSAN KELUARGA
KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit apabila menerima lebih 20 jahitan pada belakang badannya selepas digigit seekor kera dalam kejadian di Kampung Padang Lengkuas, Peringat di sini pada Jumaat minggu lalu.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Bilal Munzir Mohd. Firdaus, 2, luka pada belakang badan sebelum dihantar untuk rawatan lanjut ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Ibu mangsa, Siti Atikah Mohd. Yakzan, 36, berkata, Muhammad Bilal yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah dibenarkan pulang pada Selasa lalu selepas belakang badannya dijahit dengan 20 jahitan.

Menceritakan semula kejadian itu, katanya, dia berada di dapur sebelum anak keduanya berusia enam tahun berlari dan memaklumkan seekor kera menerkam Muhammad Bilal yang sedang menonton televisyen.

Menurutnya, dia bergegas ke ruang tamu dan melihat seekor kera sedang menggigit belakang anaknya sebelum bertindak menghalau haiwan itu.

“Kera itu mungkin memasuki rumah saya melalui jendela yang terbuka. Selepas berjaya menyelamatkan Muhammad Bilal, kera itu menuju ke dapur untuk mencari makanan.

“Saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menangkap kera itu, namun haiwan itu sempat keluar dan melarikan diri melalui jendela,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Siti Atikah memberitahu, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara juga sudah datang ke rumahnya untuk membuat tangkapan haiwan tersebut, namun gagal kerana ia tidak munculkan diri semasa pihak berkuasa hadir.

Menurutnya, dia percaya kera itu keluar dari kawasan hutan bersebelahan rumahnya dan berkemungkinan lapar sehingga bertindak menyerang menyerang Muhammad Bilal. – KOSMO! ONLINE

Siapa bakal terkesan?: Percaturan baru Rafizi undang risiko menyeluruh

N Faizal Ghazali

Hala tuju politik baru Rafizi Ramli yang menjadi tanda tanya selepas dia tidak tidak lagi sehaluan dengan kerajaan Madani khususnya PKR pimpinan Anwar Ibrahim akan terjawab pada Ahad nanti.

Pengumuman bekas Timbalan Presiden PKR itu sudah pasti dinanti-nantikan ramai orang, khususnya dalam kalangan penyokong ahli parlimen yang berpengaruh terbabit serta pemerhati.

Apatah lagi kebanyakan orang sudah memahami bahawa Rafizi selalunya bertindak berdasarkan pertimbangan yang cermat serta diperkirakan dengan baik.

Penganalisis politik berpandangan, dengan perkembangan semasa adalah mustahil untuk Rafizi kekal bersama PKR, sekali gus hampir pasti Ahli Parlimen Pandan itu akan mengambil haluan berbeza.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata, mengenali karekter Rafizi, dia tidak menjangka tokoh itu akan menyertai parti besar sedia ada sama ada PN atau BN.

Hal itu kerana, jelasnya, dalam keadaan sekarang bekas menteri ekonomi tersebut bukan lagi ingin menjadi pengikut, sebaliknya menunjukkan dia ingin berperanan sebagai ketua penggerak.

“Kini hanya ada dua pilihan politik paling munasabah untuk Rafizi, sama ada tubuh parti baru; atau menyertai parti kecil sedia ada sekali gus mengetuai parti tersebut.

“Banyak ura-ura timbul, namun kita semua tidak akan pasti selagi dia tidak umumkan secara rasmi – yang dijangka pada 17 Mei ini.

“Sama ada tubuhkan parti baru atau mengetuai parti kecil sedia ada, ia akan menjadi kuasa ketiga baru dalam PRU ke-16 nanti,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Namun ketua penyelidik Ilham Centre itu berpandangan kedua-dua pilihan tersebut sedikit sebanyak berisiko memberi kesan kepada PH.

“Kerana sehingga kini, segmen yang memberi reaksi terhadap gerakannya adalah segmen sama dengan penyokong PH. Sehingga kini belum nampak secara ketara segmen yang menyokong Rafizi adalah segmen lain.

“Jika dia mampu 'mencuri' penyokong sedia ada PH dalam jumlah yang signifikan, sudah tentu PH akan berdepan masalah, apatah lagi dengan persaingan sangat sengit dan marginal di beberapa kawasan pilihan raya sekarang,” kata Mohd Yusri.

Terdahulu Rafizi mengesahkan bakal membuat satu pengumuman "luar biasa" berhubung hala tuju baru politiknya pada Ahad ini. Turut akan diketahui ialah percaturan bekas Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengumuman mereka dijadualkan berlangsung dalam satu acara terbuka di Petaling Jaya, bermula jam 2 hingga 5 petang.

Menariknya, pengumuman itu dijadual pada hari berlangsungnya Konvensyen PH yang berlangsung di Johor. Semua pemimpin tertinggi parti kerajaan itu dijangka berkumpul di program berkenaan.

Susah jika suam-suam kuku

Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam, Rafizi berkata, keputusan mengadakan pengumuman secara terbuka itu membuktikan perkara yang bakal dibawanya mempunyai kepentingan yang besar dan berbeza daripada kenyataan yang biasa dikeluarkan melalui platform media sosial.

Ditanya mengenai spekulasi sesetengah pihak bahawa dia tidak akan meninggalkan PKR pula, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.

Malah, dia menyifatkan ia sebagai kelebihan ahli politik sepertinya bagi memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya mengenai langkah seterus yang akan diambil sehingga tiba hari pengumuman itu.

Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini meletakkan jawatan dalam kabinet, masing-masing sebagai menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam pada tahun lalu selepas gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR.

Mohd Yusri berkata, wujud persoalan di sebalik pilihan Rafizi nanti, iaitu adakah segmen yang dilihat memberi sokongan kepadanya buat masa ini akan diterjemah kepada undi dalam pilihan raya, atau mereka hanya menyokong kerana selesa dengan apa yang diutarakannya.

Justeru, ujar Mohd Yusri, jika Rafizi berupaya membentuk gelombang dan momentum yang kuat serta meyakinkan, dia berpotensi untuk mendapat dukungan dalam bentuk undi.

“Namun jika (sokongan) sekadar suam-suam kuku, susah untuk pengundi terjemahkan kepada undi.

“Ini kerana secara umumnya psikologi pengundi, mereka hanya akan memberi undi kepada parti yang mereka yakin akan menang.

“Walaupun setuju dengan idealisme sesuatu kuasa ketiga, payah mereka nak undi jika mereka tak yakin boleh menang,” katanya.

Bagaimanapun tambah Mohd Yusri lagi, gerakan Rafizi berpotensi untuk memberi kesan kepada PH kerana kedua-dua kumpulan masih berebut segmen sokongan yang sama, iaitu kelompok progresif.

Jejas kekuatan akar umbi

Namun, katanya, sejauh mana impak tersebut akan berlaku bakal dapat diukur apabila Rafizi mula bergerak secara rasmi nanti.

Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza), Hussain Yusri Zawawi, pula berpendapat pengumuman hala tuju Rafizi dijangka menjadi detik penting dalam menentukan dinamika politik negara.

Menurutnya, kedudukan Rafizi bukan sekadar sebagai individu dalam parti, tetapi antara tokoh utama dalam PH yang membawa naratif reformasi dan kepercayaan rakyat terhadap perubahan politik.

“Sejauh mana pengumuman tersebut memberi kesan kepada PH dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat bergantung kepada bentuk keputusan yang akan diumumkan.

“Jika (berlaku) penubuhan parti baru, (ia) berpotensi menyebabkan perpecahan sokongan dalam PKR. Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, khususnya dalam kalangan penyokong reformasi dan generasi muda.

“Jika sebahagian penyokong atau ahli parti beralih kepada parti baru, PKR akan berdepan dengan pengurangan kekuatan akar umbi dan kelemahan struktur organisasi.

“Ini boleh menjejaskan keupayaan PKR untuk bergerak secara efektif dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut dari perspektif gabungan politik, dia berkata, langkah tersebut boleh melemahkan kedudukan PH secara keseluruhan.

Katanya dalam sistem politik berbilang parti seperti Malaysia, perpecahan dalam sesuatu komponen utama akan memberi kesan secara langsung kepada kestabilan gabungan.

“Parti baru yang mungkin ditubuhkan akan bersaing dengan PH dalam kawasan yang sama, sekali gus memecahkan undi penyokong yang sebelum ini berpihak kepada gabungan tersebut.

“Ini boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan lain dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Tambah Hussain Yusri lagi, dalam konteks politik Malaysia hari ini rakyat semakin pragmatik dan pengundi cenderung menilai keberkesanan kerajaan berdasarkan hasil dasar dan kestabilan negara, bukannya semata-mata dinamika dalaman parti.

Pada masa sama, dia mengingatkan, walaupun pengumuman Rafizi boleh mencetuskan gelombang perbincangan politik serta memberi ‘gegaran’ kepada imej PH, ia belum tentu cukup kuat untuk menggugat dominasi Anwar secara fundamental.

Katanya pengumuman hala tuju politik Rafizi berpotensi memberi tamparan persepsi terhadap PH dan Anwar sekiranya ia membawa mesej kritikal.

“Namun, kesan jangka panjang tetap bergantung kepada bagaimana kepimpinan kerajaan mengurus naratif tersebut, tahap solidariti dalaman PKR, serta kemampuan kerajaan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi dan kestabilan nasional,” jelasnya.

Kapal 'gudang senjata terapung' dirampas Iran di Teluk Oman

Astro AWANI

TEHRAN: Sebuah kapal yang dipercayai beroperasi sebagai “gudang senjata terapung” dilaporkan telah dirampas oleh anggota tentera Iran di Teluk Oman, menurut syarikat pengurusan risiko maritim, Vanguard.

Organisasi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan kapal itu kini dalam perjalanan menuju perairan wilayah Iran selepas ditahan.

Anda mungkin berminat pada artikel ini
Negara Teluk, Jordan desak Iran tarik balik dakwaan kawalan sepihak Selat Hormuz
Iran kecam resolusi sokongan AS di PBB sebagai "tidak masuk akal dan mengelirukan”
UK kerah dron, pesawat pejuang dan kapal perang ke Selat Hormuz
Kapal berkenaan dikenal pasti sebagai Hui Chuan, berdaftar di Honduras.

Data penjejakan kapal menunjukkan ia kali terakhir berada kira-kira 70 kilometer dari timur laut Fujairah, Emiriah Arab Bersatu, sebelum kejadian.

Pengendalinya memberitahu bahawa kapal tersebut digunakan sebagai tempat penyimpanan senjata untuk syarikat keselamatan maritim yang melindungi kapal dagang daripada serangan lanun.

Bagaimanapun, kandungan sebenar kapal dan pihak yang menggunakannya tidak dapat disahkan secara bebas.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan keselamatan di rantau tersebut meningkat.

Pada hari sama, sebuah kapal berbendera India dilaporkan diserang di luar pantai Oman dan dipercayai tenggelam selepas letupan yang mungkin berpunca daripada dron atau peluru berpandu.

Kesemua kru kapal India berkenaan dilaporkan selamat selepas diselamatkan oleh pihak berkuasa Oman.

Perkembangan ini turut berlaku ketika isu keselamatan Selat Hormuz menjadi perhatian global.

Dalam pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Beijing, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan laluan strategik itu kekal terbuka bagi memastikan aliran tenaga dunia tidak terganggu.

Situasi semasa menunjukkan peningkatan risiko keselamatan maritim di rantau Asia Barat, dengan komuniti antarabangsa terus memantau perkembangan terbaharu.

Mari tengok: Parti apakah yang banyak melawan titah Sultan?

Soalan pemuda Pas makan diri, netizen tepek deretan teguran istana kepada pemimpin PN
SITI NUR ZAWANI
Laman Facebook Pemuda Pas Sungai Buloh menjadi sasaran kecaman ramai selepas memuat naik hantaran yang berniat memancing kritikan rakyat terhadap parti pihak lawan.

Sayap pemuda Pas itu bertanya “parti apakah yang banyak melawan titah Sultan?”.

Hantaran itu yang dibuat bertujuan mengumpul kritikan terhadap saingan politiknya nampaknya tidak berjaya.

Pengguna media sosial menghidu “niat” kepada pertanyaan itu dan menyifatkan soalan tersebut sebagai bola tanggung kepada Pas.

Mereka memulangkan paku buah keras dengan berkongsi beberapa keratan media, mengingatkan kembali banyaknya teguran dari Sultan kepada beberapa pemimpin Pas.

Antaranya pada 2021, Yang di-Pertuan Agong waktu itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Baginda berdukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin Hassan selaku Menteri undang-undang waktu itu, telah tidak dilaksanakan.

Pada Februari 2024 pula, Sultan Selangor menyatakan rasa dukacita terhadap kenyataan tidak beradab Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana membuat kenyataan mengelirukan terhadap alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Baginda pada waktu itu menitahkan agar ahli-ahli politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing

Pada September 2024 pula, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Dalam warkah balas baginda pula, Sultan Sharafuddin menerima permohonan maaf tersebut dan menasihati Sanusi “agar menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi, menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam negeri Selangor”.

Pada tahun sama sekitar bulan Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan terhadap pemimpin PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang.

Ada sumber mendakwa Muda-Rafizi bincang kerjasama

Sean Augustin

PETALING JAYA: Muda dan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dikatakan sedang membincangkan kemungkinan kerjasama, ketika Ahli Parlimen Pandan itu bersiap sedia untuk mendedahkan ‘haluan politik baharu’ pada Ahad.

Satu sumber yang rapat dengan perkara itu mendakwa Muda, melalui Timbalan Presiden Zaidel Baharuddin, menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Rafizi pada bulan lepas.

“Johor mungkin menjadi medan ujian untuk kerjasama ini,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada FMT, merujuk kepada PRK akan datang yang mana Muda menyasarkan antara lima hingga 10 kerusi.

Penggal DUN Johor sekarang akan berakhir pada April 2027.

Zaidel sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Muda terbuka untuk bekerjasama dengan Rafizi dalam kapasiti tertentu, walaupun kedua-dua pihak masih belum mewujudkan hubungan rasmi.

Ini termasuk kemungkinan Rafizi bertanding pada PRU akan datang atas tiket Muda atau menawarkan nasihat mengenai strategi.

Spekulasi bahawa Muda dan Rafizi akan bergabung tenaga kencang selepas Presiden Amira Aisya Abd Aziz memuat naik gambar beliau bersama bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, di media sosial.

Pada Rabu, Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, mengambil masa untuk mempertimbangkan pelbagai pandangan dan faktor secara teliti dalam menentukan lembaran seterusnya dalam perjalanan politik mereka.

Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei 2025.

Ia menyusuli kekalahan Rafizi dalam pemilihan timbalan presiden PKR di tangan Nurul Izzah Anwar. Sekutunya, Nik Nazmi, juga gagal mempertahankan jawatan naib presiden.

Sumber berkata kerjasama Muda-Rafizi bukan mustahil, memandangkan mereka pernah bergabung tenaga sebelum ini, mengambil contoh perhimpunan berkaitan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum ini, Azam Baki.

Penceramah bebas didakwa bunuh warga emas

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
ANGGOTA Polis membawa tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Polis membawa tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Selayang: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki warga emas di restoran makanan segera, Desa Jaya minggu lalu.

Toh Kai Lun, 30, yang memakai baju T berwarna ungu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Nor Azlin Othman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Lim Kim Thong, 76, di No 23 dan 24, Jalan 54, Desa Jaya Kepong dalam daerah Gombak antara jam 5.20 petang hingga 5.40 petang, 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad.

Kamarul Iman kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 oleh dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, Ernie kemudian meminta agar Kai Lun diberikan jaminan mengikut kemampuannya.

Ini kerana katanya, waris Kai Lun hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000.

"Saya difahamkan oleh kakaknya, beliau hanya mampu menyediakan sebanyak RM5,000 sahaja untuk bicara OKT (orang kena tuduh). Saya memohon pihak mahkamah memberikan jaminan mengikut kemampuannya," katanya.

Nor Azlin selepas itu menetapkan bayaran jaminan sebanyak RM8,000 oleh dua orang penjamin dengan syarat tambahan agar Kai Lun melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediamannya.

Lelaki warga tempatan berusia 33 tahun maut dipercayai dibunuh

Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah pangsapuri, semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.12 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki warga tempatan berusia 33 tahun.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 10.50 malam (hari sama),” menurut kenyataan.

Raub berkata polis menemukan sebilah pisau di sisi mangsa, dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.

Putus 4 jari, majikan didenda RM30,000

Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Kegagalan sebuah syarikat pengilangan untuk memastikan keselamatan pekerjanya sehingga menyebabkan salah seorang putus empat jari ketika mengendalikan mesin pencanai elektrik membawa padah apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan memaklumkan Hakim Roslan Hamid menetapkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah wakil syarikat atas kesalahan terbabit.

Menurutnya, kemalangan tragis itu berlaku ketika pekerja terbabit menggunakan mesin berkenaan bagi kerja-kerja pembuatan meja.

“Akibat ketiadaan sistem kerja yang selamat, pekerja itu cedera parah sehingga putus keseluruhan empat jari tangan kiri, bermula dari jari telunjuk sehingga jari kelingking.

“Tindakan perundangan ini diambil sebagai peringatan tegas kepada semua majikan dan pemilik industri supaya sentiasa menjalankan Penaksiran Risiko (HIRARC) bagi setiap aktiviti kerja, menyediakan Prosedur Kerja Selamat (SOP) yang jelas dan dipantau dan memberikan latihan serta kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian kepada pekerja,” katanya.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Khairul Nizam Mat Piah mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Sementara itu, di mahkamah sama, sebuah lagi syarikat pengilangan turut didenda RM40,000 kerana gagal memastikan keselamatan pekerjanya ketika bekerja, sehingga mangsa terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan serius dalam kejadian Julai, tahun lalu.

Insiden tercetus apabila majikan didapati gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja pemasangan dan pengujian ‘Silicon Rubber Sorting Machine’ sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerja, kira-kira jam 4.30 petang, 30 Julai 2025.

Berikutan insiden itu, mangsa putus satu ruas jari tengah tangan kiri.

Pelajar perempuan Tingkatan 2 berjaya selamatkan diri daripada cubaan culik

Bernama

ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan 2 berjaya menyelamatkan diri daripada cubaan culik di Pekan Simpang Kuala, semalam.

Dalam kejadian pada 8.26 malam itu, mangsa dihampiri suspek lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

“Semasa mangsa berjalan melalui lorong di pekan itu, suspek memberhentikan motosikal di hadapan mangsa dan terus memeluk sambil menutup muka mangsa dengan menggunakan tangan.

“Mangsa berjaya melarikan diri selepas menggigit tangan suspek dan terus berlari ke pusat tuisyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” kata Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan.

Mangsa membuat laporan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“Kita juga meminta bantuan pihak Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah untuk mendapatkan sampel di tempat kejadian,” katanya.

Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan suspek, diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

10 pendatang haram Indonesia ditangkap ketika mahu pulang kampung

Hasrat 10 PATI ‘balik kampung’ lalu jalan tikus terbantut
MASTURAH SURADI
SEKUMPULAN migran Indonesia yang ditahan di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi petang semalam ketika cuba balik ke negara mereka melalui jalan tikus. Foto POLIS
KOTA TINGGI – Hasrat sekumpulan migran warga Indonesia untuk balik ke negara mereka melalui jalan tikus terbantut apabila diberkas ketika sedang menyorok di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 6.45 petang sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi telah membuat pemerhatian selama beberapa minit dan telah ternampak sebuah kereta yang mencurigakan masuk ke dalam kawasan semak.

Katanya, pihak polis telah menghampiri kereta tersebut dan semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu bertindak memecut laju cuba melarikan diri.

“Pihak polis kemudiannya berjaya menahan pemandu dan hasil pemeriksaan telah menjumpai seorang migran yang dirancang untuk dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Susulan tangkapan tersebut, pihak polis membuat pemeriksaan lanjut di kawasan semak dan berjaya menemui sekumpulan warganegara Indonesia yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita sedang bersembunyi.

“Hasil soal siasat, kesemua migran mengaku ingin pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan dengan diuruskan oleh dua orang penjaga rumah penampungan yang turut ditahan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, kesemua tangkapan bukan warganegara berusia diantara 18 hingga 54 tahun dan rampasan telah dibawa balik ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut ditikam dalam pergaduhan jual beli vape ‘mushroom’

Bernama

JASIN: Seorang lelaki maut selepas ditikam dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) berperisa “mushroom” di kawasan taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, di sini, semalam.

Ketua Polis Jasin Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain kecederaan pendarahan di kepala.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada 1.26 tengah hari tadi.

“Seorang lagi mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan termasuk luka hirisan pada tangan kanan dan rusuk kanan serta calar pada muka. Polis menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi sebelum berjaya menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Lee berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika urusan jual beli perisa vape berkenaan sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan pisau.

Beliau berkata pergaduhan tercetus selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

“Suspek kemudian bertindak mengejar kedua-dua mangsa sebelum mencederakan mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan.

“Kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah bagi membantu siasatan.

Katanya semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.

“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dulu memfitnah lawan politik, kini Pas menghina para sahabat Nabi SAW

Harapandaily

DR SHAHNOR BASRI

Semakin hari, semakin sukar untuk menafikan bahawa sebahagian budaya politik Pas hari ini bukan lagi bergerak atas amanah ilmu, fakta dan data, akhlak Islam atau integriti politik, tetapi semakin tenggelam dalam budaya fitnah, tuduhan liar dan manipulasi sentimen agama.

Apa yang paling ironik, parti yang paling lantang bercakap soal dosa, pahala dan syurga inilah yang berkali-kali terseret ke mahkamah kerana fitnah dan membawa kepada masyarakat kenyataan tidak bertanggungjawab.

Ini bukan persepsi. Ini fakta yang direkodkan dalam banyak prosiding mahkamah dan laporan media.

Ahli Parlimen Pas Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang mendapat didikan universiti tersohor Al-Azhar dalam bidang syariah pula sudah tentulah dididik dengan amanah dan adab keilmuan, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memfitnah pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew tanpa bukti sahih.

Mahkamah bukan sahaja menolak hujah beliau, malah memutuskan kenyataan itu bersifat fitnah dan dibuat dengan niat jahat.

Beliau diarahkan membayar ratusan ribu ringgit sebagai ganti rugi. Inilah gambaran pimpinan yang tidak mempunyai suatu nilai yang tinggi untuk menggambarkan parti yang diwakilinya yang sering menggunakan imej Islam!

Bayangkan betapa rendahnya mutu politik apabila tuduhan sebesar hubungan dengan komunis dibuat hanya untuk membakar kebencian rakyat.

Lebih memalukan, pembelaan mereka akhirnya bergantung kepada “buku hantu” dan bahan tidak disahkan. Ini bukan politik Islam. Ini propaganda murahan yang berselindung di sebalik serban agama.

Namun, politik murahan Pas ini tidak berhenti setakat memfitnah lawan politik. Kini, ia melarat sehingga mencemarkan nama para sahabat Nabi SAW sendiri. Sahabat yang telah dijamin syurga pula dengan ketinggian darjat di sisi Allah dan Rasul-Nya!

Kes terbaharu melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh sungguh mengejutkan umat Islam dan amat menjengkel serta kenyataan jijik.

Dalam ceramah politiknya, beliau didakwa menggambarkan Abu Bakr al-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar ibn al-Khattab sebagai lelaki zalim dan kaki zina sebelum Islam.

Kenyataan itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah turut mendapat perhatian pihak polis dan kerajaan. Pihak berwajib seperti pihak pentadbiran agama harus bertindak dan begitu juga pihak polis.

Walaupun beliau kemudian tampil diminta memohon maaf oleh kepimpinan Pas dan digambarkan sebagai “kurang cermat” ketika mengolah maklumat, kerosakan terhadap maruah para sahabat telah pun berlaku.

Namun, kedudukan sebagai Setiausahan Dewan Ulama’ Pas Pusat seharusnya membawa seruan keamanan, rahmah dan kemurnian Islam. Namun masih lagi membawa semagat fitnah.

Inilah masalah besar apabila agama diperalatkan untuk politik populis. Ceramah tidak lagi menjadi medan ilmu, tetapi pentas mencari sorakan dan viral media sosial.

Fakta sejarah dicabut daripada disiplin ulama. Riwayat dipermudahkan. Tokoh-tokoh Islam dibicarakan tanpa adab dan tanpa kehati-hatian ilmu.

Lebih memalukan, perkara ini datang daripada seorang pemimpin yang berada dalam struktur ulama PAS sendiri. Maka rakyat berhak dan wajib bertanya: apakah ini piawai (standard) ilmu yang PAS mahu wariskan kepada masyarakat Islam Malaysia?

Hakikatnya, pola ini semakin jelas. Fitnah dahulu. Main sentimen agama dahulu. Tuduh dahulu. Viralkan dahulu. Kemudian meminta pula rakyat mencari daripada sumber mana rujukan muktabar diambil!

Kemudian apabila disaman, dipanggil polis atau dikecam masyarakat — barulah keluar kenyataan “mohon maaf jika tersalah”. Tetapi kerosakan sosial dan pemikiran sudah pun berlaku.

Budaya beginilah yang sedang menjadi bawah yang bakal merosakkan generasi muda Islam di Malaysia.

Anak muda dibesarkan dengan mentaliti bahawa politik mesti dibina atas kebencian. Lawan politik dianggap musuh agama.

Ceramah agama dijadikan medan menghina dan mempersenda pihak lain. Semakan fakta dianggap melawan ustaz. Kritikan dianggap ancaman terhadap Islam.

Akhirnya lahirlah masyarakat yang malas berfikir tetapi rajin membenci. Lebih berbahaya, apabila budaya fitnah dinormalisasikan oleh pemimpin agama-politik, masyarakat akan mula menganggap bahawa berbohong demi parti adalah halal selagi dibungkus dengan ayat agama.

Ini racun yang menghancurkan tamadun.

Negara tidak akan maju dengan politik yang hidup atas teori konspirasi dan sentimen kebencian. Umat Islam tidak akan dihormati jika pemimpinnya sendiri gagal menjaga amanah ilmu dan adab terhadap para sahabat Rasulullah SAW.

Pas selama ini suka menjual imej “parti paling Islam”. Tetapi semakin banyak insiden menunjukkan bahawa sebahagian politik mereka lebih dekat kepada budaya menghukum, memfitnah dan memperalatkan agama daripada membina masyarakat berilmu dan matang.

Topeng kesucian boleh dipakai di pentas ceramah. Tetapi fakta mahkamah, rakaman video dan kenyataan terbuka tidak boleh dipadam.

Rakyat kini perlu memilih dengan jujur: adakah Malaysia mahu dipimpin oleh budaya politik yang membina masa depan negara dengan ilmu, ekonomi dan perpaduan — atau oleh politik yang hidup dengan fitnah, ketakutan dan lakonan suci setiap kali mikrofon dihidupkan?

Inilah gaya kepimpinan Pas terkini berbanding pendekatan kekukuhan ilmu, Islam yang syumul dan rahmah yang dibawa oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abul Aziz Nik Mat. Kina PAS jauh daripada agenda Rahmah dan Keadilan Untuk Semua!

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Akademi Sains Islam, Jordan.

Rafizi janji pengumuman luar biasa Ahad ini

Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui bakal membuat pengumuman luar biasa pada Ahad ini, berhubung hala tuju politiknya bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau yang ditemui selepas memberikan keterangan secara sukarela di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, berkata, jika pengumuman 'biasa-biasa', ia akan dibuat melalui akaun TikTok sahaja.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan apa yang akan diumumkan itu kepada pihak media.

"Yang itu kena tunggu hari Ahad lah kan dan cuma saya boleh sebut macam ni lah kalau setakat pengumuman biasa saya buat dekat TikTok sajalah.

"Jadi kalau saya dengan Nik buat keputusan untuk mengadakan pengumuman itu secara terbuka dan saya jemput orang ramai datang, maksudnya ia bukan pengumuman politik biasa-biasalah.

"(Ia) luar biasa. Ia agak luar biasa," katanya kepada pemberita.

Terdahulu Rafizi hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini, bagi menyambung memberi keterangan serta menyerahkan 28 item dokumen bahan bukti membabitkan siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dimeterai kerajaan dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di England, Arm Plc Holdings (ARM).

Beliau tiba kira-kira jam 9.50 pagi tadi, bersama barisan peguamnya.

Ditanya mengenai telahan sesetengah pihak bahawa bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak akan meninggalkan parti berkenaan, Rafizi berkata, ia terpulang kepada pendapat masing-masing.

Beliau berkata, menjadi kelebihan ahli politik sepertinya untuk memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya mengenai langkah seterusnya yang akan diambil sehinggalah tiba pada hari pengumuman itu dijadualkan dibuat.

"Ia bagi memastikan orang ramai terus meneka dan membuat spekulasi," katanya selain menambah ada dua hari lagi untuk terus berteka-teki termasuk jika kedua-dua sosok itu akan bersama-sama dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, tempoh setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua mereka untuk meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.

Kedua-dua ahli politik itu dijangka membuat pengumuman itu pada satu acara terbuka di PJ Performing Arts Centre, One Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya dari jam 2 petang hingga jam 5 petang Ahad ini.

Pada 28 Mei 2025, Nik Nazmi yang ketika itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.

Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Keputusan diambil kedua-dua pemimpin PKR itu berikutan kekalahan mereka mempertahan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei tahun lalu.

Sementara itu, Rafizi yang menghabiskan masa kira-kira dua jam untuk memberi keterangan.

4 warga China disyaki geng pecah rumah ditahan setelah cuba rempuh polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat lelaki warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah berjaya ditahan ketika cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Kuala Perlis, Kangar, petang semalam.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penahanan mereka dibuat kira-kira 4.30 petang selepas polis menerima maklumat awam mengenai sebuah Toyota Inova yang mencurigakan di Taman Sentosa.

Katanya, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi menghampiri kenderaan itu sambil memperkenalkan diri serta mempamerkan kad kuasa namun kenderaan terbabit secara tiba-tiba memecut laju untuk melarikan diri.

“Ia dapat diekori pihak polis tetapi suspek kemudiannya cuba merempuh SJR di Kampung Wai. Kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas.

“Ketika suspek diarahkan membuka pintu, mereka enggan beri kerjasama. Suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota.

“Ia memaksa polis memecahkan cermin belakang dan penumpang hadapan untuk membuka pintu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, semua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika cuba ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Kita merampas pelbagai barangan antaranya empat batang besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan satu alat berbentuk ‘T’ yang diubah suai dipercayai bertindak sebagai ‘master key’.

“Polis turut merampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set walkie-talkie, lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport serta kenderaan Toyota Innova yang didapati disewa di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, suspek berusia 45 hingga 52 tahun itu didapati masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.

“Semakan mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lalu dan saringan awal air kencing adalah negatif.

“Mereka direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Insiden ‘jelingan’: Tiga rakan didakwa belasah lelaki

Bernama
story-image
Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Kepong pada 7 Mei lepas.

Tukang kayu Wong Weng Luen, 49, juruteknik Lai Kae Bin, 33, dan pekerja pusat memorial Wan Ken Fei, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima di Kuala Lumpur pada 2 pagi, 7 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh didenda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

“Sekiranya jaminan diberikan kepada tertuduh, ada kemungkinan mereka akan melarikan diri dan mengganggu mangsa dalam kes ini,” katanya.

Peguam S. Narasimhan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guam telah memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa, selain mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

"Walaupun kes ini telah tular, namun tidak semestinya tertuduh tidak mendapat jaminan. Dalam kes ini, tertuduh telah serah diri dan mereka perlu diberikan peluang untuk diikat jamin,” katanya.

Turut hadir pada prosiding itu peguam pemerhati bagi mangsa, Chia Hui Ming.

Noridah tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera selepas didakwa menjeling sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong.

- Bernama

Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS

PAS dengan Nik Zawawi

Mohsin Abdullah

Apa yang dilakukan Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS.

Terus-terang saya katakan apa yang dilakukan Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS, dan istilah ‘menyulitkan’ sekadar perkataan lembut untuk menggambarkan keadaan PAS sekarang ini akibat tindakan beliau tempoh hari. Apa yang dilakukan Nik Zawawi? Tidak tergamak saya mengulangi apa yang beliau kata mengenai dua sahabat Nabi Muhammad — Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Umum pun sudah tahu. Namun saya ingin memperingatkan semua bahawa Nik Zawawi itu Ahli Parlimen Pasir Putih dan juga setiausaha majlis syura ulama PAS — maksudnya beliau orang besar dalam parti.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa, kontroversi membabitkan Nik Zawawi wajar dibincangkan secara dalaman melibatkan dewan ulama. Beliau merupakan pemimpin PAS paling kanan yang memberi reaksi tentang isu itu Selasa lalu. Ketika artikel ini dikarang, top 5 kepimpinan PAS belum beri sebarang reaksi meskipun tindakan Nik Zawawi hebat diperkatakan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Selain Annuar, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar tampil di Facebook untuk menegaskan kemuliaan para sahabat: “Jangan biarkan lidah kita menghina generasi pilihan Allah”. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Nik Zawawi. Perlu dinyatakan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menerbitkan kenyataan enam perenggan pada Selasa menerusi Ketua Penerangan Mohd Nor Hamzah:

“Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sabahat Rasulullah khususnya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman sebelum Islam.”

Perhatikan pada perenggan itu DUPP tidak menyebut nama Nik Zawawi, sebaliknya ‘pihak berkaitan’.

Hanya pada perenggan 4 nama beliau disebut, apabila DUPP menegaskan ia “telah menyampaikan teguran dan peringatan secara dalaman kepada Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para sahabat Rasulullah”.

Pada hemat saya, Nik Zawawi telah membuat kesalahan atau kesilapan. Factually historically wrong meskipun DUPP melembutkan kenyataan sendiri apabila berkata “terdapat beberapa kenyataan tidak tepat dari sudut fakta sejarah”. Apa perbezaan antara pandangan saya dengan kenyataan DUPP hanya pemilihan kata-kata. Different words same meaning. Lagi pula DUPP mahu Nik Zawawi lebih cermat dan berhati-hati apabila bercakap mengenai sejarah Islam terutama para sahabat Nabi Muhammad.

Namun menerusi video penjelasan yang disiarkan pada Selasa, Nik Zawawi mempertahankan apa yang telah dikatakan bahkan mendakwa apa yang disampaikan hanya untuk memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah. Kata-kata begitu bagai mengetepikan nasihat DUPP and is not helping matters for PAS. Apa lagi kenyataan DUPP boleh juga dilihat sebagai damage control, walaupun saya akui dibuat atas keinsafan, kerana tindakan Nik Zawawi mencetuskan kemarahan orang Melayu-Islam malah ada juga yang menasihati beliau supaya bertaubat, sekali gus PAS tercalar.

Pun begitu, hari ini, Nik Zawawi tampil sekali lagi dengan kenyataan mengakui bahawa “saya kurang cermat dalam mengolah makluman serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut”. Di media sosial ada banyak komen pedas yang pasti memerahkan telinga PAS. Ada juga sarcasm.

Saya pilih satu komen yang dibuat oleh Yusri Ibrahim, ketua penyelidik ilham Centre, yang saya percaya seorang yang nonpartisan — tidak memihak PAS mahupun parti lawan PAS. Saya tidak terperanjat jika penyokong tegar PAS tidak setuju dengan pandangan itu. Yusri tanya: “Dah berapa orang buat laporan polis dan cadang nak buat demonstrasi kes pemimpin politik hina sahabat Nabi?”

Lazimnya golongan ‘terpaling Islam’ termasuk ahli PAS akan buat laporan polis dan berdemo apabila sesuatu isu timbul — isu yang boleh menguntungkan PAS khususnya atau the self-proclaimed defenders of Islam. Kali ini setahu saya tidak ada. Yang ada diberitakan Pemuda PAS Selangor mahu adakan Sabtu ini demomnstrasi anti-DAP membantah pendirian pemimpin parti itu mahu penggunaan sistem moden penternakan babi dipertimbangkan di Selangor.

Lalu ada satu komen di Facebook berbunyi: “Isu babi di Selangor yang sudah dinoktahkan lebih serius gamaknya berbanding ulama parti politik sebar hadis palsu dan cerca akhlak sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga”. Hantaran dibuat kawan lama saya, Nazri Kahar, wartawan Astro Awani.

Terengganu: Pasangan suami-isteri dihukum tiga kali sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan khalwat berulang

MOHD AZLI ADLAN
Muhammad Shazmel Aqimie (kanan) da Tengku Nur Faresha Ulani (dua dari kanan) dihukum tiga kali sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang ditangkap khalwat buat kali kedua sewaktu dalam tempoh bertunang pada awal tahun ini masing-masing dijatuhi hukuman tiga kali sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof memerintahkan hukuman demikian selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau memerintahkan hukuman sebat terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan dan barista atau pembuat kopi dilaksanakan di dalam Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun depan selepas tempoh 14 hari rayuan berakhir.

Sebelum ini, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani yang baru melangsungkan pernikahan pada 26 April lalu masing-masing pernah dijatuhi hukuman denda RM2,600 dan RM2,500 atas kesalahan khalwat buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu.

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan memandangkan kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak serik melakukan maksiat dalam tempoh bertunang biar pun telah dihukum atas kesalahan khalwat buat kali pertama sebelum ini.

“Kamu berdua tidak ambil peluang untuk insaf dengan berkahwin sewaktu ditangkap pada kesalahan (khalwat) pertama dengan alasan tidak cukup duit tetapi tetap melakukan melakukan perkara sama,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani didakwa bersama pasangan bukan mahram di dalam sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31
Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir
Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Rafizi, Nik Nazmi umum hala tuju politik baru Ahad ini

Malaysiakini

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baru pada 17 Mei, selepas kedua-duanya meletakkan jawatan dalam kabinet sebelum ini.

Rafizi memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tempoh setahun bagi meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menetapkan langkah politik seterusnya.

“Tempoh setahun yang lalu telah memberi ruang kepada kami berdua mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor untuk memutuskan hala tuju politik kami yang seterusnya,” katanya.

Rafizi sebelum ini melepaskan jawatan sebagai menteri ekonomi, manakala Nik Nazmi turut mengundur diri daripada jawatan menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim, tahun lalu.

Majlis pengumuman tersebut akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.

Pogram berkenaan terbuka kepada orang ramai pelbagai latar belakang, khususnya “mereka yang mahu menyuburkan aliran politik progresif”.

“Majlis pengumuman ini terbuka kepada orang ramai. Saya menjemput rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang yang mahu menyuburkan aliran politik progresif untuk sama-sama hadir ke majlis ini,” katanya.

Febuari lalu, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR yang lantang mengkritik kerajaan dilaporkan berkata dia akan mengumumkan hala tuju politiknya pada Jun ini.

Rafizi berkata hala tuju politiknya akan berpegang kepada prinsip "empat tidak", termasuk tidak menyertai mana-mana parti politik sedia ada.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Rafizi yang juga bekas menteri ekonomi itu turut berkata dia tidak akan menyertai 'kuasa ketiga', tidak akan menubuhkan parti baru dan tidak akan bekerjasama dengan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin. 

Bagaimanapun, Rafizi berkata dia tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum  (PRU) ke-a16, namun enggan mengesahkan sama ada akan bertanding sebagai calon Bebas.

Beginilah jadinya bila ada menteri2 yang tidak berguna diamanahkan jaga negara

Selamba warga asing ceroboh dan 'jajah' tanah buat kebun
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
SEBUAH kawasan kebun yang dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.
SEBUAH kawasan kebun yang dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.
Petaling Jaya: "Kenapa tidak ambil tindakan? Jika kita (orang tempatan) mahu buat macam-macam kena lalui, warga asing senang-lenang 'jajah' tanah kita".

Ini reaksi beberapa penduduk di sekitar kawasan Jalan PJU 10, Damansara Damai, di sini, selepas sekumpulan warga asing tanpa segan-silu membuat kebun di atas tanah kosong berhampiran kejiranan mereka.

Warga asing dipercayai daripada sebuah negara Asia Tenggara itu turut dikatakan berlagak seolah-olah tanah itu 'harta pusaka' mereka sehingga boleh diwarisi oleh saudara-mara yang tiba kemudian.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati pekebun haram terbabit sengaja tidak menebang pokok-pokok tinggi di sekeliling kebun mereka supaya jika dilihat dari luar seperti kawasan belukar biasa.

Bagaimanapun, tinjauan dari atas mendapati di tengah-tengah belukar berkenaan sudah diratakan bagi tujuan bercucuk tanam dengan laluan masuk kecil di bahagian atas bukit dijadikan sebagai akses ke dalam kebun haram itu.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Shahirah, 60-an, berkata, majoriti warga asing terbabit adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Katanya, setiap beberapa tahun warga asing berkenaan akan dihantar ke negara ketiga menerima pelarian dan kebun haram itu akan terus diusahakan oleh saudara-mara atau rakan senegara.

"Mereka yang datang awal-awal ini akan cari duit, kemudian dia bawa pula adik-beradik yang lain masuk sini. Bila UNHCR pindahkan dia ke negara lain, anak-beranak dia pula sambung berkebun.

"Macam itulah cara mereka. Tak salah saya mereka mula rancak sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Namun, sebenarnya mereka dah ada di situ dah lebih 10 tahun," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi penduduk, Aishah, 45, yang sudah 14 tahun menetap di kawasan itu mempersoalkan mengapa sehingga kini bukan saja tiada tindakan diambil pihak berkenaan, sebaliknya kebun haram itu bertambah besar.

Katanya, warga asing berkenaan mendakwa membayar sewa kepada 'pihak tertentu' ketika beberapa penduduk bertanya siapa yang membenarkan mereka menjalankan aktiviti itu di kawasan itu.

"Mereka duduk menyewa di sini juga. Jika tanya siapa bagi mereka buka kebun, mereka kata ejen dah bayar sewa kepada pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, warga asing terbabit tidak membuat onar dengan orang tempatan, cuma rata-rata penduduk terkilan bagaimana mereka dengan mudah boleh membuka kebun dan berniaga.

Katanya, mereka tidak kisah sekiranya yang bercucuk tanam itu orang tempatan atau kawasan itu dibina fasiliti awam seperti parkir tambahan bagi mengurangkan kesesakan di kejiranan itu

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan klip video memaparkan sebuah kawasan tanah kosong dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu itu dan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil.

Tukang cuci ‘sentuh’, cederakan budak 8 tahun

MASTURAH SURADI
Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Mersing hari ini. Foto oleh MASTURAH SURADI/KOSMO!
MERSING – Seorang tukang cuci mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak, minggu lalu.

Tertuduh, Sharil Chik, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual itu ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah kediaman di Kampung Sri Pantai, di sini pada pukul 8.30 malam, 5 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut
Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, jika disabitkan bagi kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.

Bagi Seksyen 26 (1) AKSTK mahkamah boleh sebagai tambahan memerintahkan sewaktu tempoh kaunseling pemulihan dalam tempoh penahanan dan Seksyen 27 (1) AKSTK mahkamah hendaklah mengarahkan supaya diletakkan di bawah pengawasan polis minimum 1 tahun hingga maksimum 3 tahun.

Bagi Seksyen 26(A) AKSTK pula, mahkamah boleh memerintahkan membayar satu jumlah sebagaimana yang dipikirkan adil dan munasabah sebagai pampasan kepada mangsa kanak-kanak berkenaan dengan kecederaan yang dialami.

Dalam pertuduhan kedua, pada tarikh waktu dan lokasi yang sama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara mencubit di bahagian pipi kanak-kanak tersebut.

Bagi kesalahan itu dia didakwa dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara maksimum satu tahun atau dengan denda atau keduanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertutuh diikat jamin selain menetapkan tarikh 26 Jun depan untuk lantikan peguam serta penyerahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak kritikal terjatuh dari tingkat lima rumah

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
PARKIR kereta PPR Uda Utama iaitu lokasi kanak-kanak lelaki dua tahun 11 bulan ditemukan terjatuh dari tingkat lima. FOTO Mary Victoria Mass
PARKIR kereta PPR Uda Utama iaitu lokasi kanak-kanak lelaki dua tahun 11 bulan ditemukan terjatuh dari tingkat lima. FOTO Mary Victoria Mass
Johor Bahru: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, di sini gempar dengan jeritan seorang ibu yang terkejut melihat anaknya terjatuh dari tingkap rumah di tingkat lima flat berkenaan.

Penduduk dikenali Tini, 40, berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku pada 10.25 pagi semalam dengan mangsa berusia dua tahun ditemui tidak sedarkan diri di bahagian parkir flat.

"Kami terkejut mendengar jeritan ibu mangsa selepas menyedari anak lelakinya terjatuh. Keluarga itu baru kira-kira sebulan berpindah ke kawasan ini.

"Kami tidak mengenali rapat mereka, namun mangsa tinggal bersama ibu bapa. Mungkin mereka belum sempat lagi memasang jeriji tingkap. Tingkap berkenaan pula boleh dibuka seluas 90 darjah.

"Tidak sangka kejadian ini berlaku dan kami bersimpati," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk dikenali Aiman, 30, berkata, dia mendapat panggilan mengenai kejadian selepas ada jiran yang menyangka kanak-kanak yang jatuh adalah anaknya.

"Saya segera periksa dan dapati kesemua anak ada di rumah. Tidak lama kemudian dengar jeritan kuat ibu mangsa.

"Ibu mangsa kelihatan sugul dan trauma selepas kejadian. Anaknya segera dikejarkan ke hospital dan difahamkan masih dalam rawatan. Harapnya mangsa sembuh kepada keadaan asal dan keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian yang membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun 11 bulan.

"Mangsa masih dalam keadaan kritikal," katanya.