Malaysiakini
Pengulas politik konservatif Amerika, Bill O’Reilly, memperlekeh lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja, sambil mempersoalkan nilai ekonomi terhadap usaha Beijing mendekati negara-negara Asia Tenggara.
“Hai Presiden Xi, biar saya berterus terang. Mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh tolong kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly dalam klip di X.
Bekas hos Fox News itu kelihatan bingung dengan rasional strategik di sebalik lawatan serantau Xi dan berkata pemimpin China itu mungkin cuba mengelak tekanan ekonomi dan penelitian antarabangsa.
“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barang China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar.
“Jadi saya pun tak tahu ini tentang apa. Kamu tahu... Kalau China kehilangan pasaran AS. Tapi saya masih percaya akan ada detente (pengenduran ketegangan). Ia dah rosak. Ia betul-betul kacau.
“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ takkan beli barang anda, mereka tiada duit,” katanya.
Komen O’Reilly itu dibuat dalam konteks perang dagang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China yang bermula pada 2018 semasa pentadbiran kali pertama Donald Trump.
Xi berlepas ke Kemboja pagi tadi selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Presiden China itu memulakan lawatannya pada Selasa atas undangan Yang di-Pertuan Agong.
Ini lawatan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara ditingkatkan kepada perkongsian strategik menyeluruh.
Pada Rabu, Xi disambut dalam upacara sambutan negara, diikuti dengan majlis menghadap dan jamuan negara bersama Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana pada hari sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Xi membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota antara Malaysia dan China. Xi kemudian menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan