Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Mayat bayi lelaki ditemukan dengan berbalut kain di dalam kotak di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini, semalam.
Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 2 petang sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek utama kes pembuangan mayat bayi berkenaan
"Bayi lelaki yang cukup sifat ketika ditemui dipercayai meninggal dunia.
"Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.
Penemuan mayat bayi berkenaan mula tular dalam laman sosial sejak petang semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan