"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi tentang PM, MB bukan Melayu

Abdul Aziz Bari
Saya tidak menduga tulisan saya tentang Perdana Menteri dan Menteri Besar bukan Melayu dalam ruangan ini 22 Februari lalu menjadi bahan perbincangan dalam beberapa media dan blog tertentu.

Dalam tulisan kali ini saya akan huraikan kenapa saya menulis tentang perkara itu. Dalam tulisan itu saya telah jelaskan pelbagai aspek dan peruntukan dalam Perlembagaan yang menyebabkan saya mengatakan ketua kerajaan bukan Melayu di peringkat Pusat dan negeri boleh diterima. Sebenarnya saya tidak bertujuan mempromosi idea berkenaan. Jauh sekali dari mengatakan bahawa Ketua Menteri Lim Guan Eng patut jadi Perdana Menteri Malaysia.

Saya hanya mengatakan Setiausaha Agung DAP itu mungkin boleh menjadi antara calon Perdana Menteri. Itu pun jika ada kesempatan dan diterima. Inilah sebenarnya kelayakan utama yang saya sebut dalam tulisan itu. Soal sokongan ini jugalah yang menyebabkan saya mengatakan bahawa ketetapan Menteri Besar Melayu itu boleh diketepikan oleh sultan. Sesiapa yang ragu dengan apa saya katakan ini bacalah sendiri peruntukan-peruntukan berkenaan dalam Perlembagaan-Perlembagaan negeri tersebut; yakni Perlembagaan Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kelantan.

Saya berasa tidak selesa dengan komen Dr Ridhuan Tee dalam sebuah akhbar tentang isu ini. Saya berasa beliau memandang saya dan mereka yang setuju dengan pandangan tadi dengan satu pandangan yang tidak kena. Antara soalan dibangkitkan ialah kenapa tidak diberikan kepada rakan-rakan kita daripada kalangan anak negeri Sabah dan Sarawak. Kata beliau mereka lebih wajar diberikan amanah itu; kita tidak harus mengetepikan mereka dan terus memberi jawatan ketua kerajaan itu kepada bukan Melayu.

Saya tidak mahu terperangkap dalam hujah dan wacana berbau perkauman yang beliau dan orang-orang macam beliau bawa. Saya hanya mahu bercakap dalam konteks Perlembagaan. Sayangnya ini tidak begitu difahami beliau. Kalau beliau faham lenggok dan selok-belok Perlembagaan beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan itu.

Tidak mengapalah. Ketidakfahaman tentang Perlembagaan bukan masalah. Kalau kita faham struktur dan mekanisme dalam sistem Westminster pun sudah memadai. Dan saya fikir ini lebih penting: faham Perlembagaan sahaja belum tentu selamat. Lihat sajalah hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin. Kalau mereka faham kedudukan kerajaan dalam sistem Westminster mereka tidak akan membuat keputusan yang sekarang dikritik hebat, termasuk oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk NH Chan.

Berbalik kepada rakan saya yang mengajar di sebuah universiti itu saya boleh katakan bahawa sebagai seorang yang terlatih dalam disiplin sains sosial beliau tidak sepatutnya berkata begitu. Walau apa pun ada juga orang yang faham undang-undang masih enggan untuk menerima apa saya katakan dan membawa masuk perspektif bersifat perkauman.

Dalam komennya yang disiarkan sebuah portal berita Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi mengatakan, eloklah Perdana Menteri orang Melayu. Walaupun beliau akur dengan peruntukan Perlembagaan Perdana Menteri Melayu itu sudah menjadi konvensyen, Dan untuk menjamin kestabilan orang Melayu patut terus jadi Perdana Menteri. Malaysia negeri Melayu, dakwa profesor yang berasal dari India itu.

Saya ingin bermula dengan mengulas beberapa istilah teknikal di sini. Pertama istilah konvensyen yang dalam undang-undang Perlembagaan bermaksud satu amalan berterusan walaupun ia bukan undang-undang. Tetapi ini hanya dalam keadaan tidak ada undang-undang bertulis. Kedua, soal Malaysia sebagai negeri Melayu yang saya fikir tak berbeza dengan istilah ketuanan Melayu.

Saya tidak fikir Perdana Menteri Melayu ini satu konvensyen. Ini kerana Malaysia – tidak seperti United Kingdom – ada Perlembagaan bertulis dan cara serta kelayakan Perdana Menteri disebut dengan jelas oleh Perlembagaan. Konvensyen dalam soal ini tidak wujud. Apa yang ada hanyalah amalan; sesuatu mungkin berubah bila suasana atau landskap politik berubah.

Sebenarnya sudah terlambat untuk kita mewujudkan apa yang dipanggil sebagai konvensyen itu. Kita lihat bagaimana mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melanggar pelbagai amalan atas alasan ia bukan undang-undang. Perlu saya tekankan betapa konsep konvensyen ini sebenarnya kabur, hatta di United Kingdom pun. Jadi saya tidak tahu apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh profesor tadi sebenarnya.

Saya sebenarnya agak terkejut apabila beliau mengatakan Malaysia ini negara Melayu. Saya tahu apa maksudnya. Tetapi di sisi undang-undang agak tidak kena untuk berkata begitu. Hanya orang UMNO atau Perkasa sahaja yang mengeluarkan kata-kata begitu. Dalam konteks pelantikan kerajaan – baik di pusat mahupun negeri – soal Melayu tidak disebut sebagai sesuatu yang mesti walau dalam apa keadaan sekalipun.

Saya tidak fikir profesor berkenaan telah membaca tulisan pada 22 Februari itu kerana setahu saya beliau tidak menguasai Bahasa Melayu. Ada kemungkinan beliau tidak tahu apa sebenarnya saya hujahkan. Saya agak terkejut dengan isu Melayu yang dibangkitkannya kerana setahu beliau tidak begitu senang dengan isu-isu Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Sebab itu beliau berhujah mengatakan murtad perlu dibenarkan dan Mahkamah Syariah telah diberikan kuasa yang terlalu luas. Beliau juga berpendapat Raja-Raja mempunyai kuasa yang terbatas. Anehnya beliau berkata sultan betul apabila kerajaan Kelantan berkonflik dengan istana sekitar 1995-97. Dan tahun lalu orang yang sama mengatakan Sultan Perak boleh memecat Nizar.

Perkara-perkara itu saya sebut kerana ia menjadi bukti betapa tidak jelasnya kerangka dan metologi yang beliau pakai dalam mentafsir dan memahami Perlembagaan. Dalam soal Perdana Menteri dan Menteri Besar Melayu ini kerangka yang saya kemukakan jelas: kedudukan Islam dan Melayu telah pun dijaga oleh kerangka yang lain dan soal-soal berhubung kerajaan yang memerintah adalah soal demokrasi setulennya.

Terpulanglah kepada orang Melayu untuk menekuni kerangka berkenaan. Pada saya inilah yang akan menyelamat dan mempertahan kepentingan mereka. Bukan sentimen perkauman dan keagamaan yang sempit.


*Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

Tiada ulasan: