Beliau akan menulis dalam kolum bertajuk 'Tinta Hujah' di laman bahasa Malaysia Malaysiakini mulai 28 Mac ini.
“Kepada Allah kembalinya segala kurniaan dan kebaikan. Insya-Allah, saya akan memulakannya (kolum itu) apabila saya pulang daripada umrah nanti,” kata Dr Asri yang kini berada di Mekah.
Kekosongan tersebut diisi dengan tulisan mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang sering dilaporkan tidak sependapat dengan dengan Dr Mohd Asri dalam pebagai isu agama.
Difahamkan Dr Asri menamatkan kolumnya di Utusaan selepas akhbar milik Umno itu menolak tulisannya untuk kolumnya pada 21 Februari lalu yang berjudul “Ulama: dimuliakan atau disucikan" yang mengupas kaedah menangani pandangan ulama “yang bukan suci”.
Tindakan akhbar tersebut dikritik beberapa pihak yang rapat dengan Dr Asri, termasuk bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa Utusan menolaknya kerana takut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Shahidan juga mempersoalkan tindakan Jakim yang didakwanya mahu 'gam' tulisan Dr Mohd Asri - yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya menyuarakan pendapat.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Mohd Asri berkata, beliau berharap pembaca setia dan “penyokong pembaharuan” agama, akan terus menjadikan kolum barunya sebagai medan perbincangan isu-isu agama secara lebih bebas.
“Malaysiakini, sesuai dengan pendekatannya, sudah pasti akan menjadi ruang (perkongsian) pendapat yang lebih merdeka dan terbuka daripada segala kongkongan (sikap) fanatik dan kejumudan pemikiran.
“Saya yakin, di sini pena saya tidak akan dihalang oleh sebarang kepentingan sempit, sebaliknya akan membuka ufuk baru pemikiran dan perbincangan,” katanya.
Dr Mohd Asri adalah lulusan sarjana mudanya di di Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam.
Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis.
Dr Mohd Asri sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi ekoran banyak pandangannya dilihat terlalu ke depan dan tidak selari dengan pandangan tradisional agama di Malaysia sehingga dituduh berfahaman Wahabi.
Tindakan tersebut, antaranya, mengkritik tindakan penguatkuasa agama mengintip pasangan yang disyaki berkhalwat serta mengkritik penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara terbuka yang didakwanya tidak selari dengan pandangan Islam.
Penahanan Dr Mohd Asri oleh penguatkuasa agama Selangor ketika menyampaikan kuliah di sebuah rumah di Hulu Klang atas alasan mengajar tanpa tauliah baru-baru ini dilihat sebagai kemuncak kontroversi yang membelenggunya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan