Dewan Ulama Pas Kelantan melahirkan kebimbangan dengan kes kahwin kanak-kanak bawah umur sebagaimana yang berlaku kepada beberapa individu di negeri ini.
Ketuanya, Datuk Muhammad Daud Iraqi berkata, walaupun perkahwinan tersebut sah dari sudut Islam, namun ia tidak sesuai memandangkan kanak-kanak masih dari golongan yang tidak sempurna.
“Banyak kekurangan yang berlaku, kanak-kanak juga perlu belajar dalam memenuhi keperluan hidup, tetapi jika berkahwin, banyak tidak dapat ditunaikan, malah saya takut ia akan membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, akhbar mendedahkan mengenai seorang lelaki yang dikatakan ketua sebuah kumpulan tabligh, Shamsudin Ajaib menjadi punca kepada dua perkahwinan kanak-kanak bawah umur di negeri ini.
Shamsudin dikatakan menjadi wali dan menikahkan sendiri Nur Hadhirah dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar tanpa kehadiran kanak-kanak tersebut pada 19 Februari lalu.
Dia kemudiannya berkahwin dengan Siti Nur Zubaidah, 11, di sebuah madrasah di Machang selepas mempengaruhi bapa kanak-kanak itu, Hussin Mat Salleh, 54.
Dalam pada itu, Muhammad Daud berkata, seseorang individu tidak seharusnya terpengaruh dengan fahaman yang terlampau fanatik terhadap sesuatu perkara.
“Jika diikutkan ia tidak salah, mungkin mereka ingin mengikut sunah nabi, tetapi apa yang jelas, kita kena melihat kepada kesesuaian. Bagi masyarakat kita adakah kanak-kanak yang berumur 10 tahun sudah mampu melakukan tugas sebagi isteri? Kita tidak boleh samakan dengan orang Arab,” katanya.
-SinarHarian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan