"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahan Pelajar Bawah ISA, Kerajaan Didesak Mohon Maaf

Yusmawati Mhd Yusof
KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini mendesak kerajaan Umno-BN supaya memohon maaf kepada keluarga pelajar luar negara yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum dibebas tanpa sebarang pendakwaan.

GMI juga menuntut supaya kebajikan isteri pelajar luar negara terbabit, ditanggung kerajaan Malaysia dengan membayar ganti rugi pengajian pelajar terlibat.

Pusat Sokongan Keluarga GMI mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghantar pulang sekumpulan pelajar asing yang ditahan mengikut ISA tanpa pengetahuan keluarga mereka.

Mereka ditahan 21 Januari lalu kerana didakwa sebagai pengganas dan tidak dibenarkan berjumpa peguam biarpun permohonan habeas corpus telah difail untuk perbicaraan.

Berikutan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga GMI, Aliza Jaafar berkata, ahli keluarga mangsa terumbang ambing di Malaysia tanpa sebarang pembelaan dilakukan kerajaan.

"Dengan ini kami menuntut agar kebajikan pelajar-pelajar ini ditangguh oleh kerajaan Malaysia, jika mereka ingin pulang ke negara masing-masing, kerajaan mestilah menguruskan penghantaran pulang mereka dengan selamat dan kerajaan perlu memohon maaf atas kesilapan menahan suami mereka dan membayar gantirugi pengajian suami mereka yang terhenti disebabkan penangkapan ISA,"katanya.

Kenyataan itu turut disokong 16 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat.

Mereka ialah Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang), Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Nuridah Salleh (Ketua Muslimat PAS), Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja, Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng),
Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa), Haniza Talha (Adun Taman Medan), Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga), Siti Aishah Ghazali (Adun Merbau Pulas), Saari Sungib (Adun Hulu Kelang), Mumtaz Md Nawi (Senator Kelantan), Siti Zailah Mohd Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang), Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang).

"Tiba-tiba mereka yang dituduh pengganas itu dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang ke negara masing-masing dan beberapa orang masih menunggu di Jabatan Imegresen untuk dihantar pulang tanpa memaklumkan kepada isteri dan ahli keluarga sebelum dihantar pulang," katanya.

Aliza turut mengingatkan Kementerian Dalam Negeri betapa penahanan melulu ini hanya mencemar imej Malaysia di mata dunia lantaran ia melibatkan pelajar luar negara.

"Tindakan kerajaan ini mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mansa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, CEDAW yang mengkehendaki setiap negara dui dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita,"katanya.

GMI dianggotai lebih 83 organisasi terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Parti Poliltik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pekerja.

Mereka mendesak kerajaan supaya menghentikan cadangan pindaan ISA sebaliknya menegaskan ISA mesti dimansuh.

Sejak tahun 1960 hingga 2010, lebih 20,000 orang ditahan tanpa bicara mengikut peruntukan ISA yang meragut kecerian, menjejaskan kehidupan lebih 50,000 orang, khususnya ahli keluarga.
-tvselangor-

Tiada ulasan: