Zaid Ibrahim
Lebih 2,000 Orang Asli (kepada saya ungkapan Orang Asal adalah lebih tepat) telah berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mereka.Memorandun ini mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan tauke-tauke besar BN dan hanya memberi pampasan 6 ekar sekeluarga kepada mereka.
Perarakan ini berupa perarakan menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli terhadap kaum yang terpinggir dan tertindas. Saya sungguh bangga dengan kebangkitan dan keberanian mereka.
Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN.
Terkenang saya zaman sekolah di Kelantan dulu di mana saya duduk dalam satu kelas dengan Ajong dan Ahim, dua anak Orang Asal yang hebat sekali dalam sukan olahraga.
Saya tak tahu di mana mereka sekarang tapi saya harap mereka telah mendapat pekerjaan yang baik dan hidup selesa. Orang Asal yang berjaya inilah yang mungkin dapat terus membela nasib Orang Asal yang terbiar dan terpinggir dari arus pembangunan negara. Alangkah malangnya kalau kawan-kawan saya ini juga terbiar
Tetapi masa depan mereka di bawah BN tidaklah cerah. Kegiatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli tidak pun mengambil kira atau menerima maklum balas dari golongan ini. Selalu kedengaran permasalahan Orang Asal tidak diberi perhatian yang wajar.
Malah kenyataan Menteri Undang-Undang Nazri Aziz di Parlimen semalam (17 Mac 2010) menunjukkan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib mereka. Bila ditanya oleh Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) sama ada pengiktirafan status Bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan, Nazri terus menjawab “tidak perlu”. Kata menteri itu, status Bumiputera telah pun diseleraskan dan digolongkan dalam 3 kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan. Tiga kategori itu ialah Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Saya terkejut. Bila pula Orang Asli ini dimasukkan dalam golongan “Bumiputera”? Saya terus merujuk kepada Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persukutuan. Tak ada pula Orang Asli diberi keistemewaan sebagai Bumiputera.
Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin. Orang Asli bukan dikategorikan sebagai Bumiputera, hanya “Malays and the Natives of Sabah and Sarawak” dianggap sebagai Bumiputera.
Inilah nasib Orang Asal di negara ini. Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya. Hanya “pendatang” yang terpilih oleh UMNO sahaja mendapat keistemewaan.
Saya harap rakyat Malaysia dapat “bangkit” bersama Orang Asal dan sama-sama kita bergerak dengan Pakatan Rakyat untuk membela nasib Orang Asal dan juga anak anak Sabah dan Sarawak yang selama ini telah diketepikan dan tidak diberikan layanan yang sewajarnya.
Dalam Model Ekonomi Baru yang konon mendapat pujian itu kita harap nasib mereka yang terpingtgir mendapat perhatian, bukan tertumpu hanya kapada mereka yang suka menjual nama bumiputra mereka.
http://myzaidibrahim.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan