Mohd Zuharman
KOTA BARU, 17 Mac: Isteri pertama Shamsudin Ajaib, yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Na, mengesahkan ada membuat tuntutan pembatalan perkahwinan anaknya yang berusia 10 tahun dengan rakan suaminya atas alasan perkahwinan itu dilakukan tanpa kebenaran.
Ekoran itu mahkamah sudah pun membuat keputusan agar Shamsudin dikehendaki hadir di mahkamah pada 24 Mac ini.
Na yang lupa bila tarikh permohonan itu difailkan berkata, “ya, dia (Shamsudin) kena pergi mahkamah 24 haribulan ini atas perintah mahkamah.
“Kalau tidak waran tangkap akan dikeluarkan kepada dia,” katanya.
Shamsudin yang mencetuskan kontroversi ekoran terlibat dengan pernikahan dengan budak perempuan di bawah umur sebelum itu dikatakan telah menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah, 10, dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar.
Pernikahan tersebut dilaksanakan oleh Shamsudin sendiri di kereta semasa perjalanan dari Pasir Mas ke Kota Baru pada 18 Feb lalu.
Keesokan harinya, Shamsudin memperdayakan pula rakannya Hussin Mat Salleh untuk bernikah dengan anaknya Siti Nur Zubaidah, 11, kononnya ia mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baru, Abdullah Man mengeluarkan perintah interim mufarakah terhadap pasangan Shamsudin dan Siti Nur Zubaidah Isnin lalu setelah Hussin memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Mohd Zaki Zainal Abidin.
Pada 19 Feb lalu, Siti Nur Zubaidah, 11, dinikahkan dengan Shamsudin oleh bapanya di salah sebuah madrasah di Machang sebagai ‘nikah isyarat’ tanpa kehadiran Siti Nur Zubaidah selepas diperdaya perbuatan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Siti Nur Zubaidah kemudian dilari dan ditinggalkan dalam keadaan separuh sedar oleh suaminya, dan ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong.
Berikutan itu, selain laporan polis, ibu dan bapa kanak-kanak itu, Hussin dan Siti Sarnan Mat Ail, memfailkan permohonan mufaraqah terhadap perkahwinan tersebut.
Siti Sarnan semasa dihubungi lewat petang semalam memberitahu anak perempuannya itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
“Keadaannya stabil. Cuma dia nampak macam trauma sikit.
“Saya harapkan keadaan itu akan hilang selepas ini.
“Semasa dia (Siti Nur Zubaidah) mula ditemui hari itu keadaannya amat menyedihkan. Penat dan tak bermaya.
“Tak sangka orang yang dikatakan mempunyai asas agama sanggup melakukan perbuatan semacam ini,” katanya yang merujuk kepada Shamsudin.
Sebelum itu seorang rakan kepada Shamsudin memberitahu bahawa Shamsudin pernah dimasukkan ke hospital rawatan jiwa sejak tiga tahun lepas ekoran mengahadapi masalah gangguan mental.
“Setakat yang saya tahu dia (Shamsudin) sebelum ini pernah dimasukkan ke wad rawatan jiwa di Kota Baru. Tapi tak tahulah pula saya berapa lama.
“Apa puncanya pun saya tidak tahu. Tiba-tiba dengar cerita dia dimasukkan ke wad itu.
“Saya sendiripun sudah lama tak bertemunya. Rasa-rasanya…dah dua bulan saya tak nampak dia di markas Dusun Raja,” kata rakan Shamsudin yang hanya ingin dikenali sebagai Zahar.
Markas Dusun Raja merupakan pusat himpunan jemaah tabligh terbesar di Kelantan.
Beliau yang mengenali Shamsudin atau lebih dikenali dengan panggilan “Sudin anjaib” (ajaib) di kalangan para jemaah tabligh di sini sejak belasan tahun lalu tidak menyangka situasi yang berlaku ke atas rakannya itu.
Shamsudin disifatnya sebagai seorang ahli jemaah yang sangat konsisten dengan kumpulan jemaah tabligh di negeri ini dalam menjalankan gerak kerja dakwahnya.
“Dia lebih popular dengan panggilan sudin anjaib kerana kebolehannya menggunakan kedua-dua belah tangan kanan dan kiri untuk melakukan apa jua kerja.
“Kalau memberi ‘bayan’ (tazkirah) dia mampu menarik perhatian orang ramai khusyuk mendengarnya,” jelasnya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan