MCA, sebagai anggota komponen kedua terbesar BN, sebelum ini meuar-uarkan bahawa ia mahu berubah, mahu mengubah imejnya yang sebelum ini dilihat agak konservatif kepada imej yang lebih garang bersuara.
Seperti yang ditegaskan oleh pucuk pimpinan barunya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa MCA sudah terlalu lama menjadi konservatif, sehingga menimbulkan tanggapan salah bahawa parti itu takut untuk bersuara bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina.
Tetapi setakat ini, sejauh manakah perubahan dilakukan sehingga dapat menarik kembali selera masyarakat Cina untuk menyokongnya.
Kalau mahu dijadikan ukuran, ternyata pada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang baru berlalu, pengundi Cina masih belum berganjak untuk menyokong BN menerusi gerak kerja MCA.
Namun sebagai permulaan kepada langkah perubahannya, MCA di bawah Chua telah mengemukakan memorandum 100 muka surat kepada Perdana Menteri dan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai inisiatif pembangunan yang mahu dilaksanakannya di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ia sekaligus memohon RM1 bilion untuk membantu membangunkan pendidikan sekolah Cina.
Menurut seorang ahli jawatankuasa pusat (CC) MCA Loh Seng Kok, MCA selepas ini akan menghebahkan kepada umum mengenai apa yang mahu dilakukan olehnya dan tidak lagi merasa segan untuk meur-uarkannya.
"Sejak sekian lama, MCA mengamalkan berunding dan berbincang di sebalik tabir berhubung isu yang melibatkan masyarakat Cina. Maka rakyat beranggapan bahawa MCA tidak bekerja untuk memperjuangkan kepentingan mereka dan menurut sahaja polisi yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Bagi seorang lagi ahli CC Datuk Chong It Chew, pucuk pimpinan MCA cukup tegas untuk menangangi isu-isu lama yang belum selesai termasuk isu pendidikan yang sememangnya begitu dekat di hati masyarakat Cina.
Ia telah meminta kerajaan untuk meningkat peruntukan kepada sekolah Cina kepada 20 peratus daripada kira-kira 4 peratus di bawah RMK-10.
Selain itu ia mahu agar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu di kalangan sekolah persendirian Cina.
"Ini antara isu yang kita mahu masyarakat Cina tahu yang kita sedang memperjuangkannya. Tidaklah sehingga ia diluluskan baru kita nak umumkannya," kata Chong.
Tetapi adakah sekadar menyatakan kehendak dan meminta peruntukan lebih sudah memadai bagi MCA untuk memuaskan hati masyarakat Cina.
Tidakkah ia sekadar mengubah strategi dan bukan membuat perubahan dasar kepada prinsip perjuangan parti itu.
"Apa yang saya lihat MCA di bawah pimpinan Dr Chua sedang membina imej baru parti, terutamanya mengenai perubahan strategi. Tetapi saya tidak melihat sebarang perubahan kepada prinsip perjuangan parti.
"Secara mudahnya, ramai yang merungut bahawa di dalam BN, MCA tidak mempunyai suara. Semuanya didominasi parti lain. Jadi bagaimana MCA mahu mengimbangi atau mengubah persepsi ini?" soal penganalisis politik, Datuk Cheah See Kian.
"Ia tidak boleh bertindak seperti parti pembangkang, menjadi lebih vokal dan membuat permintaan itu dan ini. Nanti orang akan bertanya balik, kamu juga adalah kerajaan, mengapa kamu tidak boleh selesai sendiri isu dan membantu rakyat.
"Saya juga melihat parti komponen lain terutama Umno sudah berubah. Mereka telah memperluaskan proses pengundian mereka dan membuat pendekatan secara langsung termasuk dengan mendekati lain-lain kaum.
"Tetapi rakyat tidak melihat MCA, Gerakan atau MIC malah SUPP telah berubah," tegasnya.
Seorang lagi penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata, MCA perlu membuat lebih lagi daripada sekadar menyerah memorandum kepada kerajaan mengenai apa yang ia mahu.
Langkah itu sudah ketinggalan zaman, katanya.
"MCA perlu laksanakan apa yang ia kata. Mereka perlu belajar untuk menggigit dan bukan sekadar menyalak," jelasnya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan