"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keanggotaan SPR memang meragukan: Agong perlu rombak segera!

Ahmad Lutfi Othman
Jam 10 pagi Sabtu, 9 Julai, selesai sarapan di Hotel Midah, berdepan Stadium Merdeka, saya cuba meninjau kawasan sekitar. Sunyi, jalan kosong, trak FRU tersusun di seberang jalan.


Jarang-jarang sekali kenderaan melintas tetapi polis trafik melencongkan laluan, membuat halangan ke Masjid Negara. Mendongak ke atas, penumpang LRT agak penuh, berhenti di stesen Maharajalela.

Cuaca redup. Nyaman. Jalan di hadapan Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL menuju Stadium Merdeka. Ada kawat besi (barricade) membataskan pergerakan.

Lokasi utama himpunan aman Bersih 2.0 dipagar rapi. Kuala Lumpur bagai zon perang. Kata teman yang mengiringi saya, sambil ketawa: "Mungkin beginilah suasana darurat dahulu ... tidak hairanlah polis cuba menakutkan publik dengan kemunculan anasir komunis dan tangkapan tanpa bicara Ordinan Darurat." Saya tumpang gelak sakan.

Semasa melepasi kedai serbaneka 24 jam, saya bertembung sekumpulan anggota FRU yang berjalan menuju gerai teh tarik di belakang hotel. Seorang daripadanya menegur sambil memberi salam:

"Dah sihat?" Matanya kelihatan terpaku kepada tongkat saya. Saya sekadar membalas dengan senyuman.

Semasa sarapan tadi, ruang makan hotel penuh dengan pelancong Thailand. Tiada tanda-tanda mereka risau dengan "perintah berkurung" di Kuala Lumpur. Ya, bukankah mereka sendiri sudah biasa dengan aksi-aksi protes di Bangkok ... juga dengan baju kuningkan?

Sepasang warga China, masih muda, bertanyakan arah Petaling Street ketika saya dan rakan melintas jalan. Meskipun melihat pasukan keselamatan di mana-mana, mereka tetap ceria berbicara dan tidak malu-malu bertanyakan apa yang berlaku. Semasa dimaklumkan ada himpunan aman di sebelah petang nanti, si lelaki menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut.

Setengah jam kemudian, saya lihat kumpulan-kumpulan kecil muncul dari lorong-lorong di celah bangunan. Memang tiada seorang pun memakai pakaian terlarang, baju-T kuning. Turut kelihatan anak-anak gadis remaja bertudung labuh. Riak wajah mereka gembira, langsung tiada tersimpan rasa tertekan. Gaya orang bersiar-siar.

Ramai juga peminat Harakah yang menyapa saya. Di awalnya mereka turut tertanya-tanya, "jadi tak demo hari ini?" Ada yang memberitahu ramai sahabat mereka terkandas dan tidak dapat memasuki ibukota.

"Tengoklah nanti, kalau tidak ramai hadir, Najib akan kata demo tak dapat sambutan dan Pakatan Rakyat hilang sokongan. Jika melimpah, polis akan memberkas dan kita pula dituduh merusuh atau mengganas," respons saya terhadap kekhuatiran seorang pakcik dalam usia 60-an dari Felda Jengka. Beliau bimbang "demo tak menjadi".

"Umno akan kata demo ini gagal, macam pelajar yang dihalang masuk dewan exam tapi kemudiannya dapat result gagal," balas kawan saya.

Memang tepat sekali. Tidak sukar untuk menjangka tohmahan kerajaan dan persepsi media terhadap demonstrasi Bersih itu. Pemimpin kerajaan Umno-BN masih terkepung dengan pemikiran kuno.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: