"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baju Bersih: 2 lagi pemimpin PAS ditangkap

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Julai: Dua orang pemimpin PAS kawasan di Johor hari ini ditahan polis kerana memakai baju kunig bercetak "Bersih 2.0".

Kedua-duanya adalah Yang DiPertua PAS Johor Bharu Rosli Kemim dan Naib Yang DiPertua PAS Pulai Zaaba Ibrahim.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mereka sedang mengadakan sidang media bersama pemimpin PAS negeri itu selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak berkuasa pada perhimpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Sidang media tersebut diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad diadakan di sebuah kedai makan di depan balai polis Sentral JB.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat.

Ketika dihubungi Harakahdaily Mazlan memberitahu empat anggota polis datang menarik mereka ketika sidang media sedang berjalan dan terus dibawa ke balai.

"Habis sidang media kami terus ke balai. Kami tanya atas isu apa mereka ditahan sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah lepas.

"Tiba tiba ketua balai jawab, belaum ada arahan yang membatalkan arahan sebelum ini untuk menangkap mereka yang memakai baju Bersih," katanya.

Penangkapan itu dibuat dalam keadaan himpunan Bersih 2.0 yang didakwa kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara" berlangsung aman tiga hari lalu.

Mazalan yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat turut menyelar penangkapan terbaru itu dengan mendakwa polis langsung tidak menggunakan budi bicara.

"Kalau kita ni saling hormat, boleh bertoleransi, apa salahnya tunggu kami selesai sidang media dulu...depan wartawan tu.

"Dan kalau betul pun tak dibenar pakai, boleh sahaja suruh mereka baju, tak perlu la tangkap," katanya.

Sehingga kini katanya, kedua-dua yang ditahan belum dibebaskan.

Bagaimanapun, peguam dan ahli keluarga masing-masing telah dimaklumkan.

Difahamkan, 20 penyokong kini berkumpul di luar balai bagi menuntut pembebasan kedua-dua pemimpin mereka itu dengan segera.

Tiada ulasan: