SHAH ALAM, 11 JULAI: “Salahkan angin, polis tak tembak ke arah hospital.” Itu penjelasan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bersabit bukti gambar dan video yang memaparkan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.
Katanya, dakwaan yang berlegar di internet berhubung tembakan ke arah hospital tersebut adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan dengan hospital berkenaan.
Katanya, polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.
"Tetapi mereka tidak membidik ke arah hospital," katanya lagi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan lembaga pengarah Hospital Tung Shin hari ini.
Ditanya mengenai video dan gambar-gambar yang dimuatkan oleh pengguna web di internet, Liow meminta wartawan supaya jangan menunjukkan bahan berkenaan untuk mempertikaikan penjelasannya.
Dalam sidang media sama, pengerusi lembaga pengarah Tung Shin, Ng Beh Tong turut berkongsi pandangan menteri berkenaan.
Katanya, pentadbiran hospital itu telah memberikan taklimat kepada lembaga hospital pagi ini berhubung insiden yang berlaku pada hari perhimpunan tersebut.
Seorang kakitangan yang mengendalikan pengurusan ambulans berkata polis menembak gas pemedih mata sebanyak tiga kali, Malaysiakini melaporkan Sabtu lalu.
Tambahnya tembakan meriam air tidak sampai ke bangunan utama hospital, tetapi terkena bangunan yang terletak dalam perkarangan hospital berkenaan.
Seorang lelaki berusia yang tidak mahu namanya disebut berkata polis mula melepaskan tembakan gas pemedih mata ka arah satu kumpulan yang berkumpul di depan hospital itu dan asrama kakitangan lelaki yang terletak di sebelah bangunan utama.
Anggota polis kemudiannya masuk ke dalam perkarangan dan mula membuat tangkapan, dan ada peserta perarakan itu yang lari ke arah bukit kecil bersebelahan Hospital Tung Sin bagi mengelak daripada di tangkap, katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh, telah menafikan polis anti-rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke premis hospital Tung Shin hospital.
Bagaimanapun, Malaysiakini telah menerima banyak gambar daripada orang ramai yang menunjukkan polis menyembur air dan menembak gas pemedih mata ke dalam perkarangan hospital tersebut.
Kakitangan Tung Shin berkata penunjuk perasaan terperangkap apabila anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menutup kedua-dua hujung jalan tersebut.
Katanya merea terpaksa lari masuk ke dalam kawasan hospital Tung Shin kerana mereka tidak dapat masuk ke tapak projek Plaza Rakyat yang terbengkalai yang terletak betul-betul bertentangan dengan hospital tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan