"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengenali kehidupan A. Samad Said di Singapura

Abd Shukur Harun
Ketika baru saja melangkah masuk ke dewan Pesta Buku Negeri Selangor di Shah Alam minggu lalu, saya diminta oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said untuk menyampaikan pandangan mengenai penghidupan awal kami di Singapura di hujung tahun 50-an dan 60-an.

Iaitu ketika saya baru datang datang dari kampung di Pontian, Johor untuk bekerja sambil belajar di pulau itu dalam umur yang sangat muda. A. Samad Said menetap di Singapura bersama keluarganya beberapa tahun sebelum itu.


Mengenang penghidupan di Singapura masa lalu adalah sebuah nostalgia yang penuh erti. Saya sering didesak oleh teman-teman untuk menulisnya, namun hanya kata saya, “Insya-Allah.” Untuk memenuhi permintaan A. Samad Said yang ada di pentas bersama penyair/dramartis Dinsman dan penulis Razali Endun untuk acara bedah buku Razali, sayapun berceritalah sekedar yang saya ingat bahawa kehidupan di Singapura pada waktu itu sangat sukar iaitu selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir pada 1945.

Rumah kayu beratap zink atau separuh batu separuh kayu mewarnai kawasan Geylang, Kampung Wak Tanjung, Paya Lebar, Jalan Eunus, Bukit Timah dan lain-lain tempat. Dalam suasana demikianlah, para wartawan, sasterawan, budayawan, malah ahli politik Melayu bergelut, cuba memberikan makna kepada penghidupan di sana.

Saya sering diajak oleh penyair A. S. Amin dan Nor S.I menemui A. Samad Said di rumahnya di Rangoon Road di mana A. S. Amin juga tinggal di sebelah rumah beliau. Di sanalah saya berkenalan lebih rapat dengan tokoh ini dan selepas itu selalulah saja memanjat tangga pejabat Utusan Melayu di Cecil Street untuk menyerahkan rencana saya kepada beliau yang ketika itu menjadi pengarang majalah Mastika.

Beliua selalu saja minta saya membetulkan balik rencana saya itu dan saya memathi arahannya hinggalah rencana itu disiarkan dalam Mastika dan saya sangat gembira. Sebelum itu saya juga diajar menulis oleh pengarang ternama - Ishak Haji Muhamad, Abdullah Hussein, Ibrahim Liguri dan beberapa pengarang lagi.

Ini peringkat awal kehidupan kami di Singapura di mana pada waktu itu Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang berpusat di Utusan sudahpun bergerak aktif didukung oleh para tokoh - Kris Mas, Usman Awang, Asraf, A. Samad Ismail dan lain-lain.

Walaupun kehidupan sukar namun harga makanan dan minuman murah. Di gerai mamak penjual tea di hentian bas Geylang, kita boleh minta minuman tea atau kopi hanya setengah gelas. Tidak ada masalah, nasi campur seringgit.

Walaupun keadaan demikian suklar di tahun 50-an dan 60-an, gerakan penulis - ASAS 50 – berkembang sangat dinamik. Tulisan-tulisan Kris Mas, Usman Awang, Masuri S.N, Awam El-Sarkam, Mas, dan lain-lain sentiasa mengangkat masalah rakyat. A. Samad Ismail menjadi tulang belakang dan watak protagons ASAS 50 pada waktu itu.

Penyair Masuri S.N. sering mengajak saya makan satay ayahny, Pak Salikun berdekatan Panggung Al-Hambra, South Beach Road bersama penyair A. S. Amin dan teman penulis yang lain. Bagi kami pada waktu itu, A. Samad Said sudahpun menjadi sebuah nama besar di kalangan dunia penulisan di mana kami sering berkunjung ke rumahnya untuk berbincang dan belajar menulis dengannya.

Kehidupan yang bergelora itulah A. Samad Said menjadikan tema novel besarnya ‘Salina’, yang menceritakan kisah seorang perempuan simpanan berhati mulia. Memag ada yang mengkritiknya dengan menganggap novel itu tidak Islamik. Namun kalangan yang mempertahankan novel itu berhujah bahawa itulah realiti kehidupan yang sukar selepas zaman perang di Singapura di mana Samad tidak mahu menyembunyikan fakta yang ada.

A. Samad berpindah ke Kuala Lumpur bersama teman-teman lain Utusan, sementara saya pula bekerja di beberapa penerbitan di Singapura beberapa tahun. Dan selepas bekerja setahun lebih dengan Utusan di Singapura, saya ditukarkan ke Kuala Lumpur dan beberapa tahun kemudian berkhidmat pula dengan Berita Harian/NST hingga bersara. Di sini diitakdirkan saya bekerja sebumbung pula dengan A. Samad Said tetapi ketika itu beliau telah menjadi Pengarang Berita Harian dan saya sebagai wartawan hingga bersara, sementara beliau berhenti lebih awal.

Kehidupan para penulis ASAS 50 ini sebenarnya sangat ‘merakyat’, ertinya sentiasa berada di tengah rakyat. Hampir semua tokoh ASAS 50 yang berpindah ke Kuala Lumpur di awal 60-an menyambung konsep perjuangan memperjuangkan keadilan rakyat. Sebab itu saya mengatakan perjuangan ASAS 50 sangat bermakna, benar-benar melaksanakan tanggungjawab penulis sebagai jurubicara zamannya.

Dengan mengenli A. Samad Said selama 40 tahun, saya tahu sikapnya, jiwanya dan kewibawaannya sebagai sasterawan. Memang sebagai penulis pada awalnya beliau hanya menjadi pemerhati dan perakam kehidupan masyarkat di sekelilingnya. Namun seingat saya, selepas novelnya ‘Hujan Pagi’ A. Samad Said melangkah jauh ke tengah dengan pantas ke medan perjuangan membela masyarakat, menentang pelbagai bentuk kemungkaran, bukan hanya melalui karyanya tetapi aksinya sekali.

Beliau berada lansung di tengah lapangan memperjuangkan apa yng difiikirkannya hak dan benar. Sebab itu saya sama sekali tidak terkejut apabila beliau ikut sama berhimpun di Kuala Lumpur dalam gerakan memansuhkan PPSMI beberapa tahun lalu bersama rakannya yang lain – Datuk Dr. Hasan Ahmad, Prof. Dr. Shaharil Mohd Zain, Dinsman, Hasni Abas dan lain-lain.

Penghayatannya terhadap Sirah Nabi s.a.w. sangat mempengaruhi sikap dan dunia penulisannya. Beliau mendapat ilham dari Sirah Nabi s.a.w. itu lalu menulisnya dalam bentuk puisi panjang, ‘Al-Amin – Kisah Terindah Sang Nabi’. Menurut pendapat saya ‘Al-Amin’ itu sebenarnya adalah Master Peacenya, karya besarnya.

Ini suatu perkembangan menarik bagaimana seorang sasterawan besar sepeertinya mendapat inspirasi dari penghayatannya terhadap kehidupan Nabi s.a.w. untuk berjuang menegakkan kebenaran, melakukan amar makruf nahi mungkar seperti apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.

Dan saya percaya sebagai novelis dan penyair ternama, A. Samad Said bersama teman-teman lainnya akan terus melangkah ke depan untuk memperjuangkan apa yang difikirnya benar, walaupun ada yang merasakan kehairanan akan sikap dan langkahnnya.

Justru sekali lagi saya tidak terperanjat apabila beliau membacakan puisinya ‘Unggun Bersih’ baru-baru ini yang merindukan demokrasi.

Tiada ulasan: