Wan Nik Wan Yussof

Saturday seven nine

Polis sudah dijadikan perisai menyekat serangan baju kuning. Sekali gus menyerlahkan kekencangan denyutan nadi pemimpin Umno-BN, khususnya Datuk Seri Mohd Najib selaku presiden parti yang memilihnya sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia. Cukuplah. Layaknya Najib sebagai pemimpin Umno terakhir!
Pengongkong rakyat
Selain polis, media perdana milik penguasa Umno-BN sudah menjadi pengongkong minda rakyat. Minda rakyat dikepung, dikotakkan(boxed) melalui laporan fitnah, racau dan ampu melampau. Maka, media cetak dan elektronik, khususnya utusan, harian, peti gambar (televisyen) dan peti suara (radio)cukup cekap memfitnah, meracau dan mengampu sehingga Bersih 2.0 dicap sebagai pengacau dan kumpulan haram.
Kesannya, gabungan lebih 80 NGO yang sah bergabung ‘kecintaan’ untuk menuntut pihak kerajaan (Yang Di-pertuan Agong) melaksanakan lapan tuntutan sudah dianggap pertubuhan haram. Apakah haram, NGO (yang sah) bergabung cita rasa ke arah mencapai kebersihan pilihan raya?

Sebagaimana diperjuangkan oleh Bersih 2.0 atas hasrat untuk demokrasi yang segak dan tampan, adalah ingin memperbaiki nilai pendemokrasian di Malaysia. Kesannya lebih daripada 65 peratus ahli perhimpunan Bersih 2.0 disertai anak muda Malaysia yang pelbagai kaum. Ia bukan 1Malaysia tetapi sepakat untuk demokrasi segak dan tampan!
Meskipun, rakyat dikongkong daripada menganggap Bersih 2.0 sebagai lambang penyatuan ke arah suatu amalan pilihan raya telus, bersih dan adil. Tidak kurang juga, polis dan media terus mengecap Bersih 2.0 sebagai pengacau, pertubuhan haram dan penyekat aktiviti ekonomi rakyat.
Natijahnya, tindakan polislah (menutup jalan, menangkap dan mengarah kedai-kedai ditutup pada hari 9 Julai) penyebab utama peniaga terkandas untuk masuk berniaga dan pembeli pula dihalang membeli belah. Sedangkan puluhan ribu (menurut Al-Jazeera, 100 ribu) ahli perhimpunan Bersih 2.0 yang hadir sepatutnya boleh berbelanja sakan dan mewah. Atas realiti ini, adakah boleh diterima akal apabila polis mengecap ahli perhimpunan sebagai pengacau kepada peniaga. Realitinya, tindakan polis yang menembak, menggempur dan menangkap ahli perhimpunan pencetus kekacauan sebenar.
Media asing lebih adil

Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-BN . Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau.
Fakta palsu
Di antara nilai terlampau media lokal yang dikontrol penguasa Umno-BN ialah menyiar hal Bersih 2.0 pada 9 Julai berlapikkan ulasan atas fakta palsu, bohong dan fitnah. Misalnya akhbar berita harian telah menggunakan ‘imej jadian’ dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel. Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0.
Media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan tela mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0. Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal. Lalu menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar lima/enam ribu sahaja. Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang?

Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau. Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip. Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil!
Rumusannya, Bersih 2.0 semestinya dianggap berjaya mengembalikan semangat dan kesedaran rakyat tentang demokrasi. Ia turut mengimbau sejarah Bersih pada 10 November 2007. Momentum itu harus disegarkan untuk meluncur laju menghadapi pilihan raya umum ke-13. Justeru rakyat yang masih keras hati kerana ingin kekalkan nilai kekotoran pilihan raya di Malaysia sewajarnya berubah. Berubahlah dan hayatilah misi pendemokrasian yang dibawa oleh Bersih 2.0. Pilihan raya bersih pastinya diberkati Allah SWT. Hanya individu yang beriman memiliki hati yang bersih. Hati yang bersih adalah kekuatan untuk Bersih 2.0 mencipta landskap politik baru pada pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan