"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih dan Ambiga

Zulkifli Sulong   
Anak saya salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjur Himpunan Sejuta Belia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.  Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kebetulan sahabat lama saya.


Namun, kerana arah tuju dan cara penganjuran perhimpunan itu, anak saya telah menarik diri dari jawatankuasa itu pada minggu kedua menjelang hari perhimpunan itu. "Mereka cuba tarik belia dengan hiburan, bukan dengan minda," katanya. Kerana penglibatannya dalam program itu, ramailah rakan-rakannya dari kalangan ini, penyokong agenda Umno.


Apabila datang isu Bersih 2.0, anak saya secara main-main dan bergurau meletakkan statusnya di facebook, dia akan menyertai semua program anjuran Bersih itu. Rupanya, ia telah memanggil rakan-rakannya dalam jawatankuasa 1 juta belia untuk membuat komen-komen menarik tentang isu Bersih.
(Perhimpunan 1 juta belia yang dihadiri tidak sampai 100,000 belia)


Antara komennya adalah "kenapa menyokong Bersih yang diketuai oleh Datuk S Ambiga itu." Lalu dikaitkanlah Ambiga adalah peguam Lina Joy dan penyokong IFC (Inter Faith Commision).


Sebenarnya inilah isu Bersih di kalangan Umno dan penyokong tegar mereka sebenarnya. Ia tidak ada bezanya dengan apa yang dibawa ke minda para anggota keselamatan yang bertugas di hari 9 Julai lalu. Ramai peserta Bersih yang ditangkap disumpah seranah oleh para rakan-rakan polis kononnya padan dengan muka kamu kerana mengikut telunjuk Ambiga yang Hindu itu dan cuba memurtadkan umat Islam itu.


Sekali pandang, kita yang berfikiran waras akan tergelak mendengar hujjah itu. Tetapi kerana kesian kepada mereka yang sudah terperangkap dengan indoktrinasi ini, kita perlu memahamkan mereka apakah sebenarnya yang berlaku dan pemikiran bagaimanakah yang benar.


Saya menerima email ini dari seorang pembaca Harakahdaily:


Assalamualaikum

Saya ada mendengar desas – desus , Pemimpin BERSIH 2.0 Datuk Ambiga merupakan peguam Lina Joy yang murtad. Dia juga antara individu yang menyokong IFC.

Jika benar , macam mana boleh PAS sokong dan mengangkatnya sebagai ketua BERSIH, walhal terang lagi nyata dia musuh ISLAM. Allah berfirman 14 kali dalam al-Quran jangan kita mengangkat kafir menjadi pemimpin kita.

Wallahualam. 



Email ini ringkas sahaja tetapi inilah yang cuba dihantar ke dalam pemikiran masyarakat oleh Umno sekarang. Isu inilah dimainkan oleh rakan-rakan anak saya yang menyokong Himpunan 1 Juta Belia itu di wall facebooknya. Ia juga digunakan oleh polis yang menyergah para peserta perhimpunan Bersih 9 Julai dan juga blog-blog pro Umno.


Kepada penghantar email ini, saya telah menjawabnya secara ringkas sebagaimana berikut:


Tuan,

Saya tak tau dia peguam Lina Joy atau tidak tetapi yang pasti Ambiga juga peguam saya dan Datuk Husam Musa dalam kes lawan ECM Libra.  Apakah dia penyokong negara Islam yang PAS bawa hanya kerana menjadi peguam kami. Sebenarnya tidak begitu, dia hanya seorang peguam bukan Islam beragama Hindu dan percaya kepada hak asasi manusia. Dia jadi pengerusi Bersih bukan di angkat PAS tetapi oleh 62 NGO untuk perjuang pilihanraya yang adil ada bersih (bebas) ... PAS hanya salah satu penyokong Bersih bukan (yang) lantik Ambiga.

ZS



Inilah yang sebenarnya. Inilah yang telah mengikat ratusan ribu rakyat Malaysia dan antarabangsa pada 9 Julai lalu.   Kita bersatu bukan kerana kita satu agama atau satu bangsa tetapi kerana satu tujuan yang universal iaitu untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Ini kerana, dengan pilihan raya yang adil dan bersih sahaja kita akan mengangkat pemimpin dan membentuk kerajaan yang terbaik untuk kita.


Ketika Bersih membentangkan agenda perubahannya di Dewan Pehimpunan China, semua pihak telah dipanggil untuk memberikan sokongan kepadanya termasuklah parti-parti politik. Yang dijemput adalah Umno, MCA, MIC di samping anggota Pakatan iaitu PAS, DAP dan juga PKR.


Namun pada hari itu, kerusi yang dikhasnya untuk Umno, MCA dan MIC kosong sahaja tanpa penghuni. Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi datang ke majlis itu dan diberikan masa 3 minit sahaja untuk berucap. Para pemimpin NGO yang banyak berucap.


Di majlis itulah, Bersih membentang lapan tuntutan dalam agenda perubahan yang hendak dibuatnya. Lapan agenda itu adalah:


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0


1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Cadangan untuk Najib


Sebenarnya inilah isu yang ada didepan kita bukannya cuba mengalihkan isu sebenarnya. Apa salah Umno selaku parti utama yang memerintah negara bertindak lebih rasional. Saya bersetuju dengan pandangan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir,  Matthias Chang.


Tiga cadangan Matthias adalah:-


1) Arahkan para penasihat politik beliau (PM Najib) menonton  siri TV “The Three Kingdoms” dan belajar asas-asas strategi politik.

2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa  jiwanya  untuk “Enlarged Ego Syndrome” (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri.



Jadi, Datuk Seri Najib, marilah berfikir secara yang rasional bukan terperangkap dalam kapsul masa kerana kini zaman facebook, youtube dan twitter.

Tiada ulasan: