Hapus subsidi, harga minyak turun?
HAMBALI AKRAM
HAMBALI AKRAM
BERMULA hari ini, 1 Disember 2014, subsidi bagi bahan bakar petrol dan diesel ditarik balik atau dengan kata lain dihapuskan. Namun, saya tidak pasti sama ada mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atau berdiam sahaja kerana subsidi dihapuskan.
Secara logiknya, apabila subsidi dihapuskan, harga minyak akan naik. Yang berlaku ialah harga petrol sedikit menurun dan hanya diesel sahaja yang naik.
Sebelum ini pun, saya sudah tertanya-tanya kenapa harga Ron95 yang tidak bersubsidi lebih mahal daripada harga Ron97 yang tidak bersubsidi. Namun, mungkin ramai yang tidak perasaan akan keganjilan itu.
Secara umumnya langkah mengikut harga semasa ini mungkin perlu buat masa ini. Sekurang-kurangnya rakyat tidak diperbodohkan dengan alasan yang pelik-pelik ketika menaikkan harga minyak. Jika harga minyak dunia naik, maka rakyat sudah menjangka akan kenaikan, begitu juga jika berlaku penurunan.
Selain itu, yang masih menimbulkan persoalan ialah tentang duit subsidi yang selama ini digunakan untuk menstabilkan harga minyak. Adakah benar-benar wujud atau hanya sandiwara untuk mempermain-mainkan rakyat.
Jika duit subsidi itu benar-benar wujud, ke manakah akan disalurkan selepas ini selepas tidak lagi digunakan untuk subsidi.
Hakikatnya, banyak lagi persoalan yang ditinggalkan tanpa jawapan. Cuma, sebagai rakyat saya amat berharap penurunan harga minyak ini akan menstabilkan kos sara hidup agar tidak meningkat sewenang-wenangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan