Georgetown: Masjid menjadi tempat beribadat, tetapi seorang lelaki menjadikannya sebagai ‘lubuk’ mencari rezeki secara apabila cuba mencuri wang dalam tabung di Masjid Terapung, Tanjung Bungah, di sini, Isnin lalu.
Namun, perbuatan jahatnya itu bukan saja gagal kerana tabung kosong, malah wajah dan aksinya turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid terbabit.
Berikutan itu, lelaki berkenaan kini menjadi buruan polis yang sedang mengesannya bagi membantu siasatan berhubung cubaan mencuri wang tabung masjid terbabit.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, suspek berusia 20-an, berbaju biru dan berseluar coklat dilihat menggunakan sebatang buluh yang diletakkan gam pada hujungnya untuk memancing wang dalam tabung.
Bagaimanapun, tabung terbabit kosong dan secara kebetulan, seorang siak tiba menyebabkan suspek ketakutan dan melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal melalui rakaman CCTV mendapati suspek masuk ke masjid seorang diri dan dilihat berlegar-legar di ruang solat.
Menurutnya, suspek dilihat mengeluarkan buluh yang disembunyikan dalam bajunya dan meletakkan gam sebelum cuba mengait wang dalam tabung.
“Suspek mencuba beberapa kali namun gagal kerana tiada wang di dalamnya dan dia yang menyedari kehadiran siak, cuba melarikan diri.
“Beberapa kariah masjid cuba mengejar suspek namun dia berjaya meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti suspek menerusi rakaman CCTV dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
AKSI seorang lelaki mencuri wang di dalam tabung Masjid Terapung, Tanjung Bungah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan