"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan Terbaharu DAP Ada Motif Lain Bukan Sekadar Jawatan Timbalan Speaker II

Tranungkite
Zulkifli Sulong, pengarang analisis dan rencana The Malaysian Insider mempertikaikan motif terbaharu serangan DAP berkaitan dengan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Memetik sumber kanan PAS yang tidak dinamakan berkata serangan terbaharu DAP itu berkemungkinan mempunyai motif lain.

“Apa tujuan DAP sebenarnya. Apakah mereka bertujuan menekan PAS agar keluar PR atau ada tujuan lain,” soal seorang pemimpin kanan PAS yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata, isu itu terlalu remeh untuk diperjuangkan DAP setelah speaker DUN dipegang DAP iaitu Hannah Yeoh.

“Saya bimbang DAP mempunyai agenda lain,” katanya, lapor Zulkifli dalam analisis terbaharu bertajuk “Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain.”

Analisis Zulkifli mendapati terdapat percanggahan kenyataan DAP berkaitan isu tersebut.

Menurutnya, tuntutan itu menjadi lebih buruk apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang juga timbalan setiausaha DAP Selangor dan calon DAP yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Speaker II bercakap mewakili parti.

Ng berkata permintaan itu wajar kerana DAP mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR yang hanya ada 12.

Disamping itu, Ng turut mengakui wujud perjanjian selepas tamatnya kemelut menteri besar apabila pemimpin PR bersetuju melantik satu lagi timbalan speaker.

“Persoalan sekarang kenapa PKR boleh ada menteri besar, tambah (kerusi) exco? Itu persoalan yang timbul,” katanya.

“Saya difahamkan, ia dipersetujui pemimpin PR,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Ng terpaksa diperbetulkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang menjelaskan PR tidak pernah bersetuju dengan jawatan timbalan speaker II itu.

“Tidak benar. Pemimpin PR tidak pernah bersetuju untuk memberi kita timbalan speaker II itu.

“Kami (DAP) yang memintanya,” kata Pua.

Menurut Zulkifli, selain timbalan speaker II, DAP juga memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.

Cadangan DAP itu menimbulkan kemarahan sesetengah pihak dalam PAS. Para penyokong kumpulan ulama dalam PAS mengambil kesempatan menyerang DAP sekeras-kerasnya ekoran isu ini, lapornya.

“Sudah terang lagi bersuluh DAP Selangor memang tamak dan haloba, tujuan pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk menguasai pentadbiran PBT melalui wakilnya sebab mereka tahu mereka tidak dapat meguasai negeri kerana adanya Sultan yang berkuasa melantik menteri besar.

“Mereka juga lahapkan jawatan timbalan speaker meskipun majoriti mengundi untuk wakil PAS. Tujuan DAP adalah membalas dendam kerana matlamat mereka mengangkat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar selepas itu memperkudakan beliau tidak kesampaian,” tulis Setiausaha PAS Wilayah Persekutuan Khairul Anuar Abdul Manap melalui Facebooknya.

Zulkifli turut membayangkan tindakan terbaharu DAP itu seolah-olah mencari sebab untuk meninggalkan PR, mengulangi episod lama, DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001, apabila tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan negara Islam.

“Ketika membuat keputusan itu pada 2001, DAP sedang mempersiapkan dirinya untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

“Kini, pilihan raya negeri Sarawak bakal menjelang lagi.

“Pada 18 Oktober lalu, DAP Sarawak menyatakan ia menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam PR,”lapornya.

Zulkifli turut memetik kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang berkata DAP negeri itu akan meninggalkan PR jika kumpulan ulama PAS, yang memperjuangkan hukum hudud, menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar,” kenyataan Chong dipetik.

Tiada ulasan: