Shahbudin Husin
Kedudukan Perdana Menteri ketika ini bukan saja merudum di mata rakyat tetapi juga berada di kedudukan paling teruk di mata sebahagian bekas pemimpin UMNO sendiri.Ada pemimpin UMNO yang pernah menjadi menteri kabinet mengakui bahawa beliau ketika ini tidak boleh langsung memandang wajah Perdana Menteri, terutamanya melalui televisyen.
Katanya, beliau akan mengalih siaran berita di televisyen yang sedang ditontonnya jika muncul siaran berkenaan ucapan yang melibatkan Najib.
Tambahnya, dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beliau juga tidak menonton langsung sama ada ucapan atau sidang akhbar yang disampaikan oleh Najib yang berulangkali disiarkan melalui televisyen.
Sambil mengakui bahawa Najib ketika ini merupakan pemimpin paling lemah, beliau juga menyatakan tidak faham dengan sesetengah keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri yang jelas tidak membawa kebaikan kepada negara.
Menurut bekas pemimpin itu lagi, mendengar pelbagai perkara yang diucapkan oleh Najib sejak kebelakangan ini membuatkan perasaannya semakin sakit dan kacau serta percaya sebahagian besar rakyat juga berperasaan sedemikian.
Jika rakyat biasa yang tidak lagi mahu menonton atau membaca berita berkenaan Najib, ia mungkin dianggap sesuatu yang normal kerana sejak pemerintahannya sudah begitu banyak beban dan kesusahan yang sepatutnya diselesaikan dengan bijaksana olehnya, tetapi dipindahkan kepada rakyat atas alasan untuk kepentingan jangka panjang negara.
Malah jika ahli UMNO biasa pun mulai "menyampah" dengan gaya kepimpinan Najib yang semakin hari semakin teruk ini, barangkali ia juga boleh difahami.
Tetapi dengan adanya bekas menteri sendiri turut "meluat" sehingga tidak mahu lagi melihatnya ketika muncul di televisyen, ia adalah petanda jelas bahawa penolakan kini makin meluas dan merata terhadap Perdana Menteri itu.
Tidak seperti Perdana Menteri sebelum ini, baik Mahathir Mohamad mahupun Abdullah Badawi, walaupun mereka juga dibenci dan tidak disukai oleh ramai orang, tetapi tidaklah ia sampai ke tahap mereka tidak mahu lagi memandang wajahnya.
Malah Mahathir misalnya, walaupun mencipta ramai musuh politik sepanjang pemerintahannya, tetapi hujah dan idea-segarnya sentiasa dinanti setiap hari sama ada oleh yang menyokong atau membencinya.
Dalam buku Najib Perdana Menteri terakhir yang saya tulis dan terbitkan pada 2011, ada menyebut mengenai seorang ayah kepada salah seorang pemimpin kanan UMNO yang terus menutup televisyen jika berita mengenai Najib disiarkan.
Mungkin juga sebenarnya ramai lagi yang mempunyai perasaan sama terhadap Najib ketika ini, cuma ada yang berani berterus-terang dan pula yang hanya menyimpan dalam hati saja.
Menjelang PRU 14 dan ketika luahan rasa tidak puas hati rakyat dapat didengari di mana-mana, adanya seorang bekas pemimpin UMNO sendiri yang sampai tidak boleh lagi menatap wajah Najib, ia secara langsung adalah gambaran penolakan yang seharusnya meresahkan Najib.
Ini kerana, jika bekas pemimpin UMNO sendiri pun sudah ke tahap itu perasaannya, sudah tentulah rakyat dan pengundi biasa lebih parah lagi keadaannya. Semua mereka ini hanya menunggu masa dan ketika saja untuk menzahirkan perasaan masing-masing melalui peti undi
http://shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan